Apa salah saya dua tahun tidak berceramah di Johor, soal Haslin

Apa salah saya dua tahun tidak berceramah di Johor, soal Haslin

Penceramah agama Haslin Baharim berasa hairan dengan keputusan kerajaan negeri Johor mengharamkannya berceramah di negeri itu sedangkan beliau tidak lagi mengadakan sebarang siri ceramah sejak dua tahun lalu.

Haslin yang mula popular dengan gelaran ‘Ustaz Bollywood’ itu berkata, beliau juga bersedia bertemu dengan Jabatan Agama Islam Johor sekiranya apa yang didakwa, itu ada kebenarannya.

“Apa salah saya? Sudah dua tahun saya tidak berceramah di Johor. Saya rasa kita perlu ada budi bicara sebelum mahu menjatuhkan hukum.

“Saya bersedia berhadapan dengan pegawai  di Jabatan Agama Islam Johor untuk mengetahui apa yang mereka dakwa itu benar atau pun tidak.

“Ini kerana alasan yang mereka beri tidak munasabah dan sedikit sebanyak ia telah mencalarkan reputasi saya sebagai seorang pendakwah di negara ini,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Beliau mengulas  susulan daripada laporan Channel News Asia yang dipetik melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Singapura mengeluarkan larangan terhadap dua penceramah iaitu Mufti Zimbabwe Ismail Musa Menk dan Haslin Baharim itu, selepas merujuk Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Lembaga Pelancongan Singapura serta Lembaga Maritim dan Pelabuhan Singapura.

KDN Singapura berkata, 2 penceramah itu mempunyai pandangan yang boleh menimbulkan sikap tidak bertoleransi, amalan penyisihan yang boleh merosakkan keharmonian sosial dan masyarakat menjadi renggang.

Bagaimanapun reaksi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam, pula dipetik berkata, Malaysia tidak akan mengikut jejak Singapura, sebaliknya membenarkan 2 penceramah agama terkenal, Ismail Musa Menk dan Haslin Baharim berceramah di negara ini.

Hari ini negeri Johor menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim, berkata, jabatan itu akan terus memantau perkembangan ceramah agama di negeri itu, bagi memastikan tiada elemen atau pandangan yang menggalakkan perpecahan kaum disampaikan. Bahkan keputusan itu adalah titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang dikeluarkan hari ini

Menurut Haslin lagi,  dakwaan kononnya beliau  memecah belahkan keharmonian kaum dengan ceramahnya  tidak dapat diterima sekira pihaknya tidak dipanggil bersemuka.

” Jika benar mereka dapat buktikan ceramah saya sama ada di surau atau di dalam youtube  ada yang  benar-benar memecah belahkan keharmonian kaum, saya rela hati sedia menarik balik kata-kata tersebut atau memohon maaf terbuka, jika ada bukti.

“Hingga hari ini saya tidak menerima sebarang panggilan atau surat rasmi daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor mengenai larangan saya berceramah di negeri itu. Satu bukti pun mereka tak tunjuk  sebaliknya  halang saya berceramah.

“Saya bukan duduk di luar negara saya menetap di Kuala Selangor mereka boleh cari saya.

“Sebagai orang Islam jika didapati saya tidak betul, minta tarik baliklah apa yang saya terlepas cakap takan lah nak haramkan ceramah walaupun saya tidak bergantung pun dengan negeri Johor.

“Saya percaya Tuanku Sultan Johor seorang raja yang berhati rakyat. Saya juga bersedia bertemu Tuanku Sultan bila-bila masa untuk tuanku mendengar penjelasan di pihak saya pula.

“Saya rasakan perkara ini berat sebelah kerana tiada penjelasan dan tiada pembelaan di pihak saya. Jika pun polis nak tangkap penjenayah, mereka masih lagi boleh dibicarakan,” ujarnya dalam nada yang sedikit kecewa.

Justeru beliau berkata akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor dalam waktu terdekat ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pengharaman ceramahnya di negeri itu.

6.3
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 4.5
CATEGORIES
TAGS