Malaysia Dateline

Lembaga Tabung Haji (TH) akan memperuntukkan jumlah subsidi yang lebih tinggi untuk musim haji tahun hadapan

Apa sebab SPV pegang aset Tabung Haji?

Saya akan cuba mengulas berkenaan keperluan memindah aset tidak untung Tabung Haji kepada penubuhan syarikat tujuan khas (SPV) bagi tindakan jangka pendek dengan bahasa mudah dan difahami orang awam.

Menurut standard laporan kewangan (FRS), sesebuah syarikat harus mengisytiharkan kerugian jika nilai saham yang dibeli jatuh 20 peratus berbanding kos asal secara berterusan dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan. Bagaimanapun, menurut PWC, Tabung Haji menetapkan had ambang (threshold) 70 peratus untuk tempoh 24 bulan. Angka itu diubah dua kali pada 2017, kepada 85 dan 90 peratus.

PWC berkata jika had ambang ditetapkan pada 70 peratus, TH patut mengisytiharkan kerugian sebanyak RM1.313 billon. Jika pada 85 dan 90 peratus pula, kerugian patut diisytiharkan masing-masing sebanyak RM171 juta dan RM1 juta sahaja.

PWC berkata penyembunyian kerugian ini bertujuan menunjukkan jumlah keuntungan yang cukup untuk membayar dividen pada 2012. Akta Tabung Haji 1995 tidak membenarkan pengagihan dividen ketika rugi. PWC berkata jika standard biasa dipakai (had ambang 20 peratus untuk tempoh 12 bulan), jumlah kerugian penuh ekuiti adalah sebanyak RM4.258 bilion.

Bagi mengadapi masalah peninggalan pentadbiran lama tersebut, Tabung Haji dilihat berusaha mengemaskini aset tidak bagus yang dimiliki ketika yang bernilai lebih RM 19.9 billion. Ertinya asset ini semuanya rugi di atas kertas dan jika tidak memberikan hasil kepada Tabung Haji bagi tahun kewangan 2017 dan 2018 kecuali hanya merosakkan kesihatan laporan kewangan Tabung Haji.

Justeru, bagi merawat hal terbabit dengan segera, pihak Tabung Haji memilih untuk memindahkan aset tidak bagus itu semuanya kepada SPV di bawah MOF, ia perlu dilaksanakan kerana tiada entiti perniagaan yang ingin membeli aset kurang bagus pada waktu ini, maka MOF adalah entiti yang tepat bagi tujuan penerima pemindahan dengan penerbitan instrument pelaburan yang baru iaitu Sukuk dan RCPS-i kerana wang pendeposit tabung haji turut dijamin oleh kerajaan melalui MOF. Justeru logik MF bagi pihak kerajaan tampil membantu Tabung Haji.

Aset tidak bagus atau tidak menguntungkan TH dikenal pasti menerusi dua kriteria. Bagi hartanah, ia membabitkan aset dengan hasil kurang dua peratus dan bagi ekuiti, nilai rosot nilai melebihi 20 peratus. Justeru jumlah nilai asset tersebut mencecah RM19.9 billion. Sebagai langkah memantapkan kedudukan laporan kewangan TH bagi tahun 2018, SPV menerima aset TH tadi dan sebagai imbalan akan menerbitkan satu Sukuk dengan bernilai RM 10 bil. Pembeli sukuk adalah biasanya pihak pelabur institusi dalam dan luar negara. Manakala baki RM 9.9 bil lagi melalui terbitan instrument patuh Shariah iaitu Saham Islamik Boleh Ditebus Boleh Ditukar (RCPS-i).

Sefaham saya, tindakan pemindahan kepada SPV dan menerbit instrument pelaburan Sukuk dan RCPS-i tersebut boleh memberi kebaikan kepada TH iaitu :
a. Menjadikan Tabung Haji mendapat tunai sebanyak RM 19.9 bil berbanding terjerat dengan aset tidak untung serta merosakkan tanggungan liabiliti dengan membesarkan jumlah ‘impairment loss’ dalam laporan kewangan Tabung Haji.
b. Memastikan Tabung Haji mampu memberikan dividien kepada pendeposit kerana tanpa penjualan melalui terbitan dua instrument patuh shariah itu, Tabung haji dikira dalam keadaan defisit dengan liabilitinya melebihi aset justeru tidak boleh membayar dividen menurut akta Tabung Haji.
c. Mengurus kewangan dengan lebih baik. Dengan wang tunai tersebut TH sama ada mampu memberi dividen atau membeli aset baru yang lebih berdaya saing bagi tujuan jangka panjang, manakala aset di bawah SPV boleh dikendalikan kemudiannya oleh kerajaan sama ada sebagai GLC bergantung kepada nilai pegangan ke atas aset sekuriti terbabit. Atau juga boleh ditebus semula jika mencukupi syarat-syaratnya.

Adalah hal biasa SPV di bawah MOF bertindak untuk tujuan-tujuan spesifik memegang aset kerajaan atau institusi kerajaan, dahulu pun SPV dibentuk di bawah MOF bagi menerbitkan sukuk Ijarah kerajaan Malaysia yang mana aset-aset kerajaan di letakkan di bawah pemilikan SPV. Juga, di bawah MF itu tidak sama sekali beerti ia dimiliki oleh Menteri kewangan atau timbalannya, tetapi ia adalah dipegang oleh kerajaan Malaysia.