Malaysia Dateline

Apa sebenar cadangan Mahathir, MAGERAN ke Kerajaan Perpaduan?

Semalam dalam sidang media atas talian usai mengadap YDP Agong, Tun Mahathir menjelaskan beliau ada mencadangkan penubuhan suatu badan khas atau jawatankuasa khas atau suatu majlis khas seperti MAGERAN untuk mentadbir negara bagi menyelesaikan masalah berbangkit seperti pandemik Covid-19 dan ekonomi yang jelas gagal diuruskan dengan baik oleh Kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri bersama Umno, PAS, MCA, MIC dan GPS.

Seperti biasa, ramai yang terlebih lajak dari laju. Dengar saja terus bantah, tidak setuju dan kondem.

Ada yang kata Tun sendiri yang mahu darurat ditamatkan kenapa mahu MAGERAN?

Memang benar Tun bersama Jawatankuasa Tamat Darurat menyerahkan tuntutan kepada Agong untuk menamatkan darurat. Semua tahu bahawa darurat yang diisytihatkan atas tujuan kononnya untuk memerangi covid-19 gagal malah lebih dari itu ia cuma menyelamatkan kerajaan dari tumbang.

Apa yang dicadangkan oleh Tun, (daripada apa yang Tun sebutkan dalam sidang media), beliau mencadangkan penubuhan sebuah badan khas seperti MAGERAN. Kemudian Tun terus sebuut MAGERAN, MAGERAN, MAGERAN yang menyebabkan semua fokus kepada MAGERAN.

Cadangan asalnya ialah penubuhan sebuah badan untuk mentadbir negara menggantikan Jemaah Menteri sedia ada. Sebelum ini pernah dilakukan melalui MAGERAN. Tetapi apa yang dicadangkan oleh Tun bukan MAGERAN sebaliknya sebuah badan.

1) Kenapa tolak MAGERAN?

MAGERAN wajar ditolak kerana penubuhan MAGERAN ini adalah kelangsungan darurat sedangkan darurat tidak diperlukan.

Sebenarnya isu darurat diperlukan atau tidak juga adalah subjektif. Kenapa kita tolak darurat yang ada sekarang?
Jawapannya kerana kita berpandangan darurat ini tidak mampu menyelesaikan masalah malah lebih banyak menimbulkan masalah.

Pandangan ini tidak lain kerana tindakan Kerajaan sendiri yang tidak mengikut niat asal dan cara mengendalikan darurat. Dalam keadaan darurat sedia ada, Parlimen boleh dipanggil bersidang ttapi Kerajaan tidak panggil. Pelbagai Ordinan dibuat yang dilihat tidak adil.

Jika darurat dikekalkan tetapi Parlimen dibenarkan bersidang, mungkin ianya tidak menimbulkan polemik negatif.

2) Bolehkah Agong menubuhkan sebuah badan mentadbir negara menggantikan Jemaah Menteri?

Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan hal sedemikian kerana Kerajaan ditadbir oleh Perdana Menteri dan Jemaah Menteri yang ditubuh melalui Perkara 43 Perlembagaan.

3) Jika tidak ada dalam Perlembagaan, kenapa Tun cadangkan?

Haaaaaa inilah kehebatan Tun yang ramai susah membaca dan mentafsir.

Bacaan aku, Tun mahukan sebuah Jemaah Menteri juga mengikut Perkara 43 Perlembagaan tetapi ianya datang dengan titah Agong dan Majlis Raja-Raja.

Maksudnya Agong memilih seorang Perdana Menteri yang pada hemat Tuanku boleh mentadbir negara untuk tempoh sementara ini bagi tujuan memerangi pandemik dan menaikkan semula ekonomi.

Perdana Menteri ini perlu disokong oleh semua parti politik, sebab itu Agong panggil semua ketua parti untuk dengar pandangan dan cadangan. Apabila seorang Perdana Menteri dipilih oleh Agong dengan sokongan semua parti, Perdana Menteri memilih anggota Jemaah Menterinya sendiri bukan cadangan daripada parti. Wewenang itu pada Perdana Menteri. Sebenarnya ia lebih kepada Kerajaan Campuran cuma untuk menyebut Kerajaan Campuran, ianya dilihat masih ada unsur politik.

Apa yang diperlukan sekarang ialah sebuah Kerajaan atau Jemaah Menteri tanpa unsur politik kepartian. Fokus utama ialah memerangi pandemik, selesaikan vaksinasi rakyat, pulihkan ekonomi rakyat dan negara.

Anggota Jemaah Menteri baru ini hendaklah dianggotai oleh semua wakil parti politik dan teknokrat tetapi tidak boleh ada matlamat politik. Jangan dibawa agenda parti di dalam Jemaah Menteri. Itu maksudnya.

4) Buka Parlimen.

Buka Parlimen sahaja tidak menyelesaikan masalah selagi Kerajaan masih Kerajaan yang sama. Ahli Parlimen boleh berbahas terpekik terlolong maki hamun sesama sendiri di Dewan tetapi masalah tidak selesai. Hanya boleh puashati maki hamun dan ambil elaun kehadiran.

Paling seronok pun boleh kata kita sudah kritik, kita bagi cadangan tapi selagi Kerajaan itu kekal, punca penyakit tidak hilang dan terus membarah.

5) Undi Tak Percaya Tukar Kerajaan.

Ya, jika Parlimen dibuka, undi tak percaya boleh berlaku dan Muhyiddin mungkin tersungkur kerana tiada sokongan majoriti. Tetapi selepas itu apa? Siapa yang ada majoriti? Akan ada pula penjajaran baru?
Sebarang penjajara baru politik waktu ini tidak menyelesaikan masalah utama iaitu pengurusan pandemik dan ekonomi.

Boleh ada penjajaran baru dan Kerajaan Penjajaran Baru ini tetapi apabila politik menunjangi pembentukan, masalah yang berlaku pada PN tetap akan berlaku. Jika ada mana-mana parti tidak puas hati, tarik sokongan, jatuh Kerajaan. Tukar lagi Kerajaan. Masalah selesai? Tidak… Rakyat boleh kerja ? Boleh makan? sendiri fikir.

Penggal Parlimen ini akan tamat pada Mei 2023. Tidak lama lagi. Hanya sekitar 23 bulan sahaja lagi. Tak lama dah.
Kenapa kita tidak boleh untuk waktu ini ketepikan sementara politik kepartian ini dan tumpukan usaha membendung pandemik dan memulihkan ekonomi?

Baki tahun 2021 ini kita pastikan vaksinasi mencapai sasaran 80% atau lebih. Dengan kadar vaksinasi rakyat 80% ini, sektor ekonomi boleh dibuka dan berfungsi semula. Ekonomi boleh tumbuh semula, Sempadan negara boleh dibuka bagi sektor pelancongan antarabangsa. Tahun 2022 fokus utama selain bendung pandemik dari menular semula, ialah pemulihan ekonomi. Gunakan sepenuhnya 2022 untuk pembangunan semula ekonomi.

2023 Januari hingga Mei, berpolitiklah semahunya kerana Mei 2023 Parlimen terbubar secara automatik. Walau pun begitu, dari sekarang hingga 2023 politik masih boleh berjalan seperti biasa cuma Kerajaan tidak dipandu atas kehendak parti politik sebaliknya atas kepentingan rakyat dan negara.

Kerajaan sekarang telah gagal. Perlu ada sebuah Kerajaan Baru yang tiada gangguan kepentingan politik kepartian.

Ini pandangan peribadi aku. Tak setuju pun suka hati la.