Apa sebenarnya berlaku kepada Felda?

Apa sebenarnya berlaku kepada Felda?

(SIRI 1)

Warga Felda terdiri daripada lebih 112 ribu keluarga peneroka yang sudah masuk ke generasi ketiga dan keempat beserta keluarga kakitangan Felda.

Di seluruh negara mempunyai lebih 300 buah rancangan (perkampungan) Felda yang dibahagikan kepada 15 buah wilayah. Pahang negeri terbesar Felda melibatkan wilayah Jengka (37 buah Felda), wilayah Kuantan dan wilayah Mempaga. Berikutnya Felda di Johor melibatkan wilayah Johor Bharu sekitar 44 Felda, wilayah Segamat, 42 Felda, Felda di Negeri Sembilan (Wilayah Raja Alias) dan di negeri negeri lain termasuk Felda Sahabat di Sabah. Kebanyakan peneroka Felda memiliki sekitar 8 hingga 10 ekar tanah perladangan yang majoritinya ditanam sawit dan sebilangannya di tanam getah.

Sebagai agensi pembangunan tanah terbesar di dunia, kewangan Felda sejak awal penubuhannya dibantu oleh kerajaan khususnya kos kos pentadbiran yang melibatkan jumlah sekitar lebih RM1 billion setahun. Bermula sekitar awal 90-an, kerajaan membuka lebih 300 ribu hektar tanah perladangan sawit di seluruh negara bagi menampung kos pentadbiran Felda bagi memberi ruang kepada Felda berdikari tanpa bergantung kepada kerajaan lagi. Tanah tanah yang ditanam sawit ini diuruskan oleh anak syarikat Felda iaitu Felda Plantation dan memperolehi pendapatan sekitar RM 1 billion setahun. Ia berjaya menampung sekitar 80 peratus daripada keperluan kewangan Felda.

Lebih menarik lagi peneroka, kakitangan Felda dan keluarga mereka turut mendapat keuntungan daripada Felda Plantation ini melalui pegangan saham mereka dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang merupakan salah satu pemegang saham utama Felda Plantation. KPF yang dimiliki warga Felda berada di kedudukan pertama koperasi terbaik di Malaysia untuk beberapa tahun dengan dividen tahunan sekitar 15 peratus setahun.

Selain Felda Plantation, KPF juga pemegang saham utama beberapa anak syarikat Felda yang lain yang bernaung dibawah Felda Holding. Ia satu bentuk model pembangunan masyarakat dan perniagaan yang terbaik kerana peneroka bukan sekadar menyumbang hasil sawit dan getah mereka kepada Felda, tetapi mereka juga adalah pemilik kilang kilang, lori-lori dan sebahagian besar perniagaan Felda melalui pegangan mereka dalam KPF. Namun kesemua kisah kisah indah ini hanya tinggal mimpi buat warga Felda.

Apabila pemerintah yang lalu berusaha keras untuk menyenaraikan Felda Global Ventures (FGV) di Bursa Malaysia, kebanyakan anak anak syarikat Felda yang berkeuntungan besar itu diserahkan kepada FGV khususnya Felda Plantation. Felda menerima sekitar RM6 billion hasil penyenaraian tersebut beserta sekitar RM250 juta setahun. Ia satu tragedi hitam buat warga Felda apabila mereka kehilangan sumber utama kewangan Felda dan juga keuntungan KPF sebelum ini.

Jumlah RM250 juta setahun jauh daripada mencukupi keperluan tahunan kewangan Felda. Begitu juga dengan KPF yang tidak mampu lagi membayar dividen yang tinggi seperti sebelumnya. Manakala sekitar RM1.7 billion daripada wang hasil penyenaraian yang berjumlah RM 6 billion itu digunakan untuk memberi ‘durian runtuh’ kepada peneroka sebanyak RM15 ribu setiap orang. Berbaki RM4.3 billion yang sepatutnya digunakan oleh Felda untuk memulakan perniagaan atau pelaburan baru.

Seperti jatuh ditimpa tangga, setelah hilang pegangan terhadap aset berharga mereka iaitu Felda Plantation, wang hasil penyenaraian yang berbaki sebanyak RM4.3 billion itu juga dimaklumkan sudah habis dibelanjakan. Ke mana pergi RM4.3 billion tersebut? Daripada agensi yang mempunyai berbilion simpanan wang, Felda kini terpaksa meminjam daripada beberapa institusi kewangan dan sebahagian perbelanjaan mengurusnya terpaksa dibayar oleh pihak kerajaan kembali sebagaimana asalnya dahulu termasuklah wang hari raya yang lalu sejumlah RM50 juta ditanggung oleh pihak kerajaan.

Hari ini kedudukan kewangan Felda tenat. Hutang Felda sudah berjumlah RM9 billion. Peneroka peneroka berdepan isu pengurusan ladang dan hutang tanam semula yang tinggi. Suka tidak suka, kesemua ini perlu diselesaikan oleh pemerintah baru.

Siri siri berikutnya akan dihuraikan tentang ke mana perginya wang RM4.3 billion itu dibelanjakan, isu hutang peneroka dan penyelesaiannya, FGV dan reformasi pentadbiran Felda.

*Penulis adalah Timbalan Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak)

COMMENTS

Wordpress (0)