Malaysia Dateline

Apa sebenarnya ‘Cikguku Suraya’?

Selepas kurang lebih tiga tahun tidak menerbitkan filem, kini penerbit David Teo kembali untuk menghasilkan sebuah filem berjudul “Cikgu Ku Suraya” di bawah syarikat produksi Metrowealth Pictures Sdn. Bhd (MIG).

Perkara itu telah dikongsikan oleh saudara David sendiri menerusi laman Instagram apabila beliau memuat naik foto pelakon baru Chumiee Omey yang berkebaya hijau dengan penampilan seorang guru.

Netizen dan media sosial menggambarkan filem itu adalah inspirasi dari “cerpen popular-kontroversi” pada zaman 90-an dalam kalangan anak-anak muda mengenai kisah Cikgu Suraya dan anak muridnya Amir.

Cakap-cakap ini selanjutnya mencetuskan polemik kemarahan dan macam-macam tuduhan ke atas David Teo yang disifatkan sebagai akan melakukan apa sahaja termasuk menjatuhkan martabat seorang pendidik demi beroleh keuntungan.

Beberapa pihak termasuk rakan media ada yang meminta saya mengulas akan hal ini seawal 29 Januari lalu.

Walaubagaimanapun, mahu berlaku adil dan objektif, saya telah meminta untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada Dato David Teo sendiri.

Tidak lengah menjawab, mesej saya kepada beliau pada hari yang sama telah mendapat respon segera dan saya berkesempatan bercakap dan mendengar sendiri penjelasannya.
Seorang yang mudah, mesra dan rasional. Awal muqaddimah perbualan kami beliau mengucapkan terima kasih atas kepedulian saya.

Ringkasnya, filem Cikguku Suraya itu bukanlah inspirasi daripada novel ataupun cerpen yang disebut-sebut netizen itu. Bahkan saya difahamkan, David sendiri tidak pernah membaca dan tiada maklumat tentang itu.

Cikgu Suraya dalam filem yang bakal diterbitkannya nanti adalah kisah seorang guru yang bangkit menunaikan tugas dan tanggungjawabnya sebagai seorang pendidik.

Namun pada masa yang sama terus “dihantui” ingatannya terhadap adiknya yang telah meninggal dunia. Titik. Itu tidak dilanjutkan, tetapi saya terkesan.

Bagaimana kisah itu nanti diolah untuk menimbulkan unsur-unsur suspen dan menarik, saya percaya itu adalah bidang kepakaran pasukan kerja saudara David Teo.

Rumusan perbualan kami, filem itu nanti dengan imej, citra dan kisah seorang guru – pendidik. Profesion yang sentiasa mendapat tempat dan martabat yang mulia dalam masyarakat.

Walau bagaimanapun, tentu ada sisi hidup mereka yang sangat mencabar yang barangkali selalu kita ambil mudah. Apatah lagi dalam mendepani cabaran pendidikan alaf ke-21. Mereka manusia, bukan robot – “artificial intelligent”.

Belum ada filem Malaysia yang benar-benar menfokus dan mengadaptasi kehidupan serta perjuangan seorang guru dalam negara ini. Itu antara point perbualan saya dengan beliau. Saya percaya, usaha ini yang cuba diterokai oleh David.

Bagaimana beliau mengurus cabaran, menyajikan hasil karya dan mengadaptasi kehidupan manusia dalam filem itu nanti, di situlah keunikan serta kelainan yang mungkin kita semua perlu sabar menunggu dan nantikan.

Agak keterlaluan dan barangkali sedikit “underestimate” apabila kita hanya boleh berfikir seorang penerbit terkenal seperti Dato David Teo hanya mampu menghasilkan filem yang bertaraf ranjang, seks dan seumpamanya.

Pandangan serong seperti ini saya kira terhasil daripada masyarakat kita yang suka “jump to conclusion”, suka menghukum dan seumpamanya. Sesuatu yang saya fikir jauh lebih sadis daripada cerpen Cikgu Suraya tahun 90-an itu sendiri.

Di satu sudut, saya berharap ulasan-ulasan warganet akan menjadi motivasi kepada Dato David Teo dan pasukan untuk menghasilkan sesuatu yang benar-benar luar jangka.
Paling manis dan bermakna, kiranya David berjaya menampilkan sebuah filem genre masyarakat dengan mengangkat tema profesion pendidikan dan perjuangan seorang guru, hubungan psikologis, motivator dan sentimental seorang guru dengan para pelajar dalam pergelutan melahirkan insan-insan hebat untuk Malaysia. Aset negara dalam era Revolusi Industri 4.0.

Ya. Era teknologi tetapi yang tidak langsung menghilangkan psikologi dan diplomasi kemanusiaan. Di situ harganya manusia, terkhusus seorang guru.

Lewat perbualan saya bersama Dato David Teo, saya sempat berkongsi harapan dan impian saya untuk dapat menonton filem hebat mengangkat martabat guru, dan menjadikan semua kita tidak akan pernah sama sekali memandang profesion ini dengan pandangan sebelah mata!

Doa saya kepada saudara David Teo dan pasukan untuk dapat terus berkarya. Saya yakin anda semua boleh melakukan yang terbaik, sekaligus buat kami berasa bangga.

Hidup Insan-Insan Seni! Hidup Guru!

* Penulis merupakan Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional merangkap Ahli Dewan Negara.