Apa sebenarnya tujuan lawatan kerja PM ke Batang Kali?

Apa sebenarnya tujuan lawatan kerja PM ke Batang Kali?

Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar mempersoalkan apakah sebenarnya tujuan lawatan kerja yang dibuat oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak ke SJKT Batang Kali pada Rabu lalu.

Apakah tujuan sebenar lawatan tersebut? Adakah untuk melihat dan membantu sekolah tersebut atau satu sandiwara politik untuk memancing undi? soal beliau.

Kata Sivakumar, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan pernah menjanjikan bangunan empat tingkat bagi SJKT Batang Kali yang terletak di kawasan Parlimen beliau, namun sehingga hari ini, tidak nampak apa-apa hasil usaha beliau untuk membina bangunan baru empat tingkat itu.

“Malah, beliau terus memberi harapan kosong kepada penduduk Hulu Selangor yang memilihnya sebagai wakil rakyat mereka.

“Suatu ketika dahulu, sekolah ini hanya mempunyai lebih kurang 100 orang murid sahaja. Hari ini, jumlahnya telah meningkat kepada 350 orang murid. Keadaan sekolah tidak dapat menampung pertambahan murid ini.

“Dijangka jumlah murid akan mencecah 500 orang dalam tempoh lima tahun lagi. Ini adalah disebabkan oleh minat ibubapa dan pertambahan kawasan-kawasan kediaman di sekitarnya,” kata beliau dalam kenyataan medianya semalam.

Tambah beliau, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak diberi peluang untuk berinteraksi dengan penduduk Batang Kali dalam lawatan kerja itu.

Malah katanya, pihak PIBG juga tidak dapat ruangan untuk meluahkan hasrat mereka meminta kerajaan membina bangunan 4 tingkat dengan segera.

“Yang lebih menyedihkan lagi ialah wayang kulit yang diatur untuk melancarkan Kelas Abad 21 projek YTL. Kelas itu disiapkan sehari sebelum lawatan Perdana Menteri ke sekolah itu.

“Sebaik sahaja tamat lawatan, semua kelengkapan telah diambil balik dan kelas itu kekal sebagai bilik darjah biasa. Gimik ini untuk menipu siapa? Pengundi atau PM?

Sivakumar berkata, beliau mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan janjinya dengan segera.

“Pengundi Hulu Selangor tidak akan teragak-agak untuk memilih calon Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umu ke-14 (PRU14) jika permintaan mereka tidak ditunaikan.

4.5
OVERALL SCORE
1 user vote x 9.0