Apa selepas ICERD?

Apa selepas ICERD?

Kabinet telah memutuskan untuk tidak meratifikasikan ICERD dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan. Kenyataan ringkas itu telah dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada 23 November 2018.

Tiada sebarang penjelasan rasmi diberikan kenapa ICERD tidak mahu diratifikasikan oleh kerajaan meskipun sebelum itu beberapa menteri khasnya Menteri Luar Negeri, Dato’ Saifudin Abdullah telah memberikan kenyataan bahawa kerajaan akan mengkaji untuk meratifikasinya.

Dalam hal lain, PAS, ISMA dan UMNO dilaporkan akan tetap meneruskan rancangan untuk berhimpun membantah ICERD pada 8 Disember 2018. Entah apa tujuan perhimpunan itu dibuat setelah objektif utama bagi membantah ICERD telah tidak lagi relevan apabila kabinet telah membatalkan rancangan untuk meratifikasikan ICERD.

ICERD ini nampaknya telah menjadi satu isu politik yang besar. Perdebatan mengenai baik buruk ICERD nampaknya tidak berlaku di medan yang sepatutnya seperti di forum atau meja bulat bersama pakar-pakar. Sebaliknya, perdebatan mengenai ICERD ini lebih banyak berlaku di facebook, whatapps, ceramah dan youtube di kalangan masyarakat biasa.

Sepatutnya isu seperti ICERD ini dibincangkan secara akademik kerana ICERD ini adalah satu instrumen antarabangsa dan Malaysia sendiri tidak mempunyai pengalaman yang cukup kerana Malaysia hanya baharu meratifikasikan tiga instrumen antarabangsa sahaja. Ramai pengulas ICERD hanya memberikan spekulasi dan andaian tanpa hujah dan fakta yang nyata. Sebaiknya pakar hak asasi antarabangsa terutamanya pegawai PBB yang mempunyai maklumat langsung berkaitan ICERD dijemput untuk memberikan pendapatnya.

Kerajaan juga nampaknya tidak bersedia dengan langkah-langkah memberikan penerangan atau jawapan yang sepatutnya bagi setiap persoalan yang ditimbulkan oleh pihak yang menentang ICERD. Apabila keadaan sudah menjadi semakin polemik baharulah kerajaan memulakan langkahnya untuk memberikan pencerahan. Langkah sebegini adalah terlalu lambat dan ini akan menampakkan kelemahan kerajaan dalam menangani sesuatu isu.

Isu ICERD ini telah diambil faedah politik sepenuhnya oleh PAS dan UMNO untuk menakut-nakutkan masyarakat khasnya masyarakat Melayu bahawa ICERD ini akan menyebabkan kedudukan istimewa orang Melayu, Raja-Raja dan orang Islam akan tergugat. Tambah memburukkan lagi keadaan apabila ada beberapa pensyarah undang-undang, peguam dan bekas hakim yang menyokong kenyataan sedemikian. Padahal, jika dilihat secara umum sebanyak 55 negara OIC telah meratifikasikan ICERD. Hanya Malaysia dan Brunei sahaja negara Islam yang tidak meratifikasikannya.

Begitu juga terdapat 36 daripada 38 negara bersistem monarki yang telah meratifikasikan ICERD termasuklah UK pada 1969, Norway pada 1970, Sweden pada 1971, Denmark pada 1971, Belanda pada 1971, Jordan pada 1974, Belgium pada 1975, Jepun pada 1995 dan Arab Saudi pada 1997.

Justeru, tindakan kerajaan untuk tidak meratifikasikan ICERD ini adalah atas sepenuhnya atas pertimbangan politik dan bukannya atas dasar dan falsafah ICERD itu sendiri. Langkah itu dilihat sebagai suatu langkah untuk meredakan kegelisahan kaum dan bagi mengelakkan polemik menjadi lebih buruk dan membahayakan keselamatan negara. Lagipun, ratifikasi ICERD bukanlah menjadi isu keutamaan dan mustahak atau bersifat serta-merta.

Meskipun tekanan terhadap isu ratifikasi ICERD ini nampaknya telah kendur sedikit tetapi PAS-UMNO masih lagi memainkan isu ini termasuk isu untuk meratifikasikan instrumen antarabangsa yang lain.

Terbaharu, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan Tantawi telah menyatakan instrumen lain juga akan membawa risikko besar kepada negara. Antaranya, Konvensyen Mengenai Penyeksaan dan Layanan serta Hukuman Zalim, Tidak Berperikemanusiaan dan Menjatuhkan Maruah (Uncat) – yang bertujuan menghalang hukuman berbentuk penyiksaan dan melanggar hak asasi manusia, Konvensyen Hak Sivil dan Politik, Konvenan Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya; Konvensyen Perlindungan Hak Semua Pekerja Migran dan Anggota Keluarga Mereka; Konvensyen Perlindungan Semua Orang Daripada Penghilangan Paksa; dan Konvensyen Mengenai Status Pelarian.

Oleh itu, dijangkakan bahawa PAS dan UMNO akan terus menggunakan isu ini bagi meraih sokongan rakyat khasnya pengundi Melayu. PAS dan UMNO kini tidak mempunyai apa-apa isu tuntas yang boleh menggugat kerajaan kecuali membangkitkan semangat nasionalis kebangsaan dan isu perkauman Melayu vs Cina.

Isu sebegini mudah untuk menarik sokongan Melayu tetapi ianya akan berakhir dengan malapetaka jika berlaku pertembungan kaum. Malaysia akan musnah dan kehancuran Malaysia akan mengambil masa yang panjang untuk dibangunkan kembali.

Justeru, rakyat Malaysia mestilah cerdik dan bijaksana serta tidak terpengaruh dengan dakyah songsang pembangkang ini. Kerajaan juga mestilah mengalih tumpuan masyarakat daripada isu-isu perkauman yang langsung tidak membina peradaban dan kemajuan.

Kerajaan hendaklah menumpukan kepada isu meningkat pendapatan rakyat dan mengurangkan kos sara hidup yang makin meningkat. Isu-isu sebegini adalah lebih dekat di hati rakyat. Kerajaan perlu membuktikan bahawa PH adalah lebih baik daripada BN. Para menteri juga harus cermat dalam membuat kenyataan yang sensitif supaya ianya tidak dimanipulasikan oleh pembangkang.