Malaysia Dateline

Apa Tok Moy sudah buat untuk rakyat di Kukup?

 

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengingatkan pengundi di Parlimen Tanjung Piai agar memilih Pakatan Harapan (PH) memandangkan hanya kerajaan memerintah dapat melaksanakan pembangunan di kawasan penghujung Benua Asia itu.

Anak kelahiran Tanjung Piai itu berkata, prestasi kerja Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kukup, Md Othman Yusof atau lebih dikenali Tok Moy boleh dijadikan sebagai contoh jelas bahawa mengundi BN sama sekali tidak berfaedah kepada rakyat.

“PRU-14 lepas, BN menang di Dun Kukup. Siapa wakil rakyat Kukup? Mana dia sekarang?

“Muka pun tidak nampak. Bila dia menang tapi partinya kalah, dia tidak boleh buat apa.

“Apabila jadi pembangkang, berbuih mulut bercakap, nak keluar anak tekak pun, peruntukan ada pada kerajaan,” tegasnya dalam ceramah kelompok di pusat daerah mengundi (PDM) Sungai Durian malam tadi.

N.56 Kukup merupakan salah satu kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) di kerusi Parlimen P.165 Tanjung Piai selain N.55 Pekan Nenas.

Untuk rekod, Tok Moy juga tidak hadir pada hari penamaan calon, 2 November lalu.

Tok Moy  yang merupakan Pengerusi Umno Bahagian Tanjung Piai juga dikenali sebagai jurucakap Forest City iaitu projek pulau buatan di selatan Johor.

Dia juga menjadi pengarah eksekutif Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV), pemaju utama projek yang menyasarkan pelaburan asing dan kontroversi menjelang PRU-14 lalu.

Sehubungan itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, hanya PH sebagai kerajaan negeri bahkan pusat mampu menunaikan janji pembangunan kepada rakyat.

“Hanya kerajaan memerintah boleh laksanakan projek sebab ada peruntukan untuk memyampaikannya kepada rakyat. Itu tanggungjawab kita.

“Sekiranya, Wee Jeck Seng (calon BN) menang, dia tidak boleh buat apa-apa sebab dia jadi (wakil rakyat) pembangkang,” ujarnya dalam slot 20 minit ceramahnya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu memberitahu sokongan kepada PH setakat malam tadi dilihat sedang mendahului walaupun mengakui tidak banyak.

“Ini malam-malam terakhir sebelum menamatkan kempen. Nampaknya, rakyat semakin menghampiri dan memberi sokongan kepada PH.

“InsyaAllah, kita (PH) sedang mendahului tetapi tidak banyak. Jangan pula kita leka dan cuai,” pesannya lagi dalam lokasi ceramah kelompok beliau keempat malam tadi.

Walaupun kawasan Parlimen Tanjung Piai merupakan kerusi tradisi MCA-BN sebelum dirampas PH pada PRU-14 dengan majoriti tipis 524 undi, masalah nelayan dan potensi pelancongan di kawasan dekat Taman Negara Johor iaitu Tanjung Piai dan Pulau Kukup itu masih terus diperkatakan.

Kedua-dua Taman Negara tersebut serta sebahagian besar aktiviti perikanan yang terletak dalam DUN Kukup dilihat gagal dimanfaatkan wakil rakyat era kerajaan BN.

Jeck Seng yang sekali lagi menjadi calon kitar semula BN pula sudah dua penggal menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai selain sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas pada 2004 hingga 2008.

Tinjauan Malaysia Dateline semalam juga mendapati rata-rata kampung nelayan dihuni majoriti masyarakat Melayu di Dun Kukup berada dalam keadaan menyedihkan berbanding kampung nelayan Cina seperti di Kukup Laut yang dilengkapi lorong berkonkrit antara unit kediaman.

Paling usang dengan infrastruktur jeti nelayan adalah di Jeram Batu diikuti Sungai Boh dan Pengkalan Penghulu.

Sehubungan itu, kerajaan PH sebelum ini menyatakan komitmen untuk membina semula dan menaik taraf ketiga-tiga jeti terbabit yang dijangka bermula tahun hadapan bagi kemudahan nelayan mencari rezeki.