Apa usaha kerajaan untuk bela kebajikan 5000 pendatang haram Malaysia di Korea?

Apa usaha kerajaan untuk bela kebajikan 5000 pendatang haram Malaysia di Korea?

Apakah langkah kerajaan untuk menjaga kebajikan 5,000 rakyat Malaysia yang menjadi pendatang asing tanpa izin di Korea Selatan dan mengapakah mereka dan dua juta lagi rakyat negara ini bertindak mencari nafkah di luar negara?

Perkara itu dibangkitkan ahli parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang ketika berucap membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam.

“Baru-baru ini, media melaporkan bahawa faktor gaji yang rendah dan kekurangan peluang kerja telah memaksa kira-kira 5,000 rakyat Malaysia untuk mencari kerja dan hidup secara haram di Korea Selatan, dan terpaksa menderita pelanggaran hak asasi manusia dan juga dinafikan bayaran gaji.
“Ramai yang terbiar untuk pandai-pandai menjaga diri sendiri selepas mengalami kemalangan di tempat kerja dan dipecat.

“Selain persoalan mengenai apa yang dilakukan oleh Kedutaan Malaysia di Seoul untuk menjaga kebajikan 5,000 rakyat Malaysia yang menjadi pendatang asing tanpa izin di Korea Selatan, persoalan yang perlu kita tanyakan adalah mengapa 5,000 rakyat Malaysia ini membawa diri ke Korea Selatan?” soal ketua ahli parlimen DAP itu.

Menurut Kit Siang, selama setengah abad kira-kira dua juta rakyat Malaysia telah berhijrah ke negara asing untuk membantu membangun dan memodenkan negara-negara tersebut.

Mereka, katanya berhijrah ke Australia, New Zealand, United Kingdom, Amerika Syarikat dan lebih dekat lagi, Singapura untuk mencari kehidupan yang lebih baik.

Lima ribu rakyat Malaysia yang menjadi pendatang asing tanpa izin di Korea Selatan dan dua juta rakyat Malaysia yang telah berhijrah ke negara lain dalam tempoh setengah abad yang lalu, jelas beliau telah mencipta¬† ‘diaspora rakyat Malaysia’ yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Mereka tergolong daripada generasi yang paling bijak di negara ini dan sepatutnya mencari ‘Impian Malaysia’ mereka itu di tanah air, tetapi mereka terpaksa meninggalkan ibu pertiwi untuk mengejar Impian Malaysia di luar negara,” tegasnya.

Menurut beliau, negara telah kehilangan arah tuju sepanjang tempoh enam dekad yang lalu berbanding negara-negara yang lebih mundur dari segi ekonomi, pendidikan dan politik tetapi kini telah mengatasi Malaysia dalam semua bidang ini.

Negara-negara tersebut, katanya bukan hanya lebih kaya, maju dan makmur, bahkan lebih demokratik dan menghormati prinsip-prinsip tadbir urus yang baik dan kedaulatan undang-undang.

“Kita telah terkebelakang di anak-anak tangga negara-negara dari segi kecemerlangan dan pencapaian sejak separuh abad yang lalu.

“Ini digambarkan dengan ‘cemerlang’ oleh Indeks Persepsi Rasuah (TI) Transparency International (TI) 2017, di mana Malaysia menjunam ke ranking paling rendah dalam tempoh 23 tahun,” ujarnya kesal.

8.5
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 9.0