Malaysia Dateline

Apa visi, rancangan dan tindakan AMANAH selepas 18 bulan dalam kerajaan?

Setelah hampir empat tahun penubuhannya Parti Amanah Negara (AMANAH) kini berdepan dengan cabaran lebih besar daripada apa yang pernah dilaluinya selama ini.

Tahun lalu bersama rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan, AMANAH dilonjakkan ke puncak kuasa apabila PH memenangi pilihan raya umum ke-14 dan terus membentuk kerajaan. AMANAH sebagai komponen PH diberi lima jawatan menteri, lima timbalan menteri dan satu jawatan mengetuai Kerajaan Negeri.

Semua portfolio yang diberikan merupakan ujian dan cabaran besar yang perlu digalas, dan prestasi semua mereka yang diberikan amanah ini sentiasa menjadi perhatian semua pihak, daripada rakyat jelata kepada parti-parti pembangkang, pemerhati luar dan dalam negara dan juga rakan-rakan dalam PH sendiri.

Isunya pada hari ini, PH sedang berdepan dengan masalah imej yang amat negatif. Ini hasil daripada penilaian umum baik dalam kalangan penyelidik berwibawa mahupun pihak-pihak lain yang membuat kritikan terpilih termasuk serangan parti-parti pembangkang yang sering mencipta persepsi negatif terhadap kerajaan PH. Jika diteliti kebanyakan kritikan yang diutarakan oleh banyak pihak, mempunyai asas kepada apa yang diutarakan itu.

Misalnya, prestasi beberapa menteri dan timbalan menteri yang dilihat bukan sahaja tidak berkesan tetapi membawa masalah kepada kerajaan. Malah terdengar juga bagaimana menteri macam tidak wujud di sesuatu kementerian sehingga terkeluar kata-kata sinis dan serangan keras dalam media sosial.

Ini ditambah dengan isu “daulah terpendam” (deep state) yang dikatakan menjadi batu penghalang kepada pembinaan imej PH yang baik dalam kalangan rakyat.

Misalnya, baru-baru ini penganjuran pertunjukan tatu yang kononnya mendapat sokongan Kementerian Kebudayaan dan Pelancungan. Sebelum ini Kementerian Pendidikan turut cuba disabitkan dengan acara-acara yang memberi imej negatif terhadap kementerian dan kerajaan. Sedangkan dalam kes-kes ini nama kementerian telah dipergunakan untuk mempromosi aktiviti atau program yang bercanggah dengan agama dan tatasusila masyarakat Malaysia tanpa restu menterinya.

Jadi timbul persoalan – siapakah yang berkuasa sebenarnya?

AMANAH berada di persimpangan. Prestasi kerajaan bergantung kepada anggota Kabinet dan umum mengetahui beberapa penjawatnya tidak menunjukkan prestasi yang baik.

Tinjauan yang dibuat beberapa pihak selepas kekalahan memalukan di Tanjung Piai, menunjukkan beberapa menteri perlu diganti sama ada portfolio mereka atau direhatkan terus.

Malangnya isyarat ini belum lagi diberi perhatian sewajarnya oleh Perdana Menteri.

Kelambatan pucuk pimpinan kerajaan membuat sesuatu tindakan akan memberi kesan buruk kepada kerajaan itu keseluruhannya. Malah isu-isu politik dalaman PH pun tidak kurang permasalahannya.

Persengketaan terbuka antara kelompok dalam parti komponen PH dan juga antara parti juga banyak menyumbang kepada imej negatif kerajaan sekarang.

AMANAH harus berani bertindak. Takkan kepimpinan AMANAH masih leka dengan “kejayaan-kejayaan” sehingga tidak tahu apakah sokongan rakyat ada pada PH atau pihak pembangkang yang banyak mendapat suntikan tenaga daripada PH sendiri hasil beberapa “kedangkalan” tindakan pemimpin PH.

AMANAH semestinya menampilkan solusi kepada kemelut yang sedang melanda sekarang. Semua kejayaan kerajaan tenggelam tanpa diketahui atau dirasai oleh rakyat.

Sebaliknya naratif yang dibawa oleh pembangkang dan tindakan di belakang tabir oleh daulah terpendam sedang mencurahkan kemusnahan ke atas PH dan kerajaan.

Di mata rakyat sekarang PH berada pada posisi yang paling tidak menyelerakan. Dapatkah AMANAH menanganinya? Apakah visi, rancangan dan tindakan kepimpinan AMANAH selepas hampir dua tahun dalam Kerajaan bagi membawa keluar PH daripada situasi yang dihadapinya sekarang?

Masa akan menentukan.

* Abdul Latiff, bekas prof madya Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.