Malaysia Dateline

Apa yang berlaku bila Rusia-Ukraine berperang terhadap keselamatan makanan dunia

Awal minggu ini sebanyak empat buah kapal berisi penuh makanan khususnya bijiran berlepas dari pelabuhan Ukraine ke beberapa buah negara seperti Turki, Itali, China dan Lubnan. Ia susulan rundingan yang dilakukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melibatkan Turki, Russia dan Ukraine.

Rundingan ini berpunca daripada amaran PBB bahawa keberangkalian akan berlaku krisis makanan global yang boleh mengakibatkan kebuluran besar-besaran sehingga boleh memberi kesan kepada 10 juta nyawa melibatkan berpuluh buah negara di Asia, Afrika dan Eropah yang bergantung bekalan makanan dari Russia dan Ukraine.

Melalui rundingan ini, Ukraine diberikan kebenaran untuk mengeksport hasil pertanian mereka khususnya gandum, jagung, barli dan minyak bunga matahari. Kesemua kapal-kapal ini akan diperiksa agar tidak digunakan untuk membekalkan senjata dan satu zon penampan sejauh 10 batu nautika diwujudkan bagi memberi jaminan keselamatan kepada kapal kapal tersebut. Kesemua operasi ini dipantau oleh wakil dari PBB, Turkiye, Russia dan Ukraine berpusat di Istanbul.

Gabungan di antara dua negara ini menjadikan Russia dan Ukraine sebagai salah satu daripada tiga pembekal utama makanan dunia khususnya gandum, jagung, barli dan minyak bunga matahari. Ia merupakan bahan untuk membuat makanan asasi kepada penduduk di pelbagai benua khususnya roti. Manakala Russia pula merupakan pembekal utama baja kepada dunia sekaligus turut sama memberi kesan kepada pengeluaran sektor pertanian di seluruh dunia.

Sekurang-kurangnya 33 buah negara bergantung bekalan gandum sebanyak 30 hingga 100 peratus daripada Ukraine dan Russia. Daripada jumlah tersebut, 11 negara seperti Turki, Mesir dan Azerbaijan bergantung lebih 70 peratus bekalan gandum. Malah Eritrea, Armenia dan Mongolia bergantung hampir 100 peratus import gandum dari kedua negara tersebut.

Sebanyak 40 buah negara bergantung bekalan baja pertanian dari Russia dengan China dan Mongolia sahaja bergantung lebih 80 peratus. Manakala Malaysia, Indonesia, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat bergantung sekitar 10 hingga 20 peratus bekalan baja dari negara tersebut.

Perang yang melanda menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan baja. Ukraine berhadapan dengan penutupan pelabuhan dan gangguan sistem pengangkutan khususnya rel keretapi untuk membawa keluar hasil pertanian. Manakala banyak kilang-kilang yang memproses makanan dan bahan mentah ditutup kerana kedudukannya berada dalam zon perang dan kekurangan tenaga kerja.

Begitu juga penanaman baru hasil pertanian terganggu disebabkan kenaikan kos dan hilang keyakinan terhadap keupayaan untuk dijual atau dieksport hasil tersebut. Suasana ini bertambah buruk apabila lebih 10 juga penduduk Ukraine telah meninggalkan negara tersebut dan menjadi pelarian di negara-negara jiran.

Manakala Russia berhadapan dengan sekatan ekonomi menyebabkan kesukaran untuk membawa keluar barangan makanan dan baja ke negara-negara yang memerlukan. Walaupun suasana di Russia lebih aman berbanding Ukraine, tetapi kehilangan pasaran akibat sekatan ekonomi memberi kesan kepada produktiviti di sektor pertanian. Petani-petani juga berada dalam tekanan akibat kekurangan pendapatan dan ia memberi kesan kepada penanaman semula produk pertanian di masa hadapan.

Konflik ini juga memberi kesan kepada kemanusian secara khususnya di Ukraine. Dalam keadaan jutaan mereka hilang tempat tinggal, ia menjadi lebih buruk apabila sebahagian mereka hilang pekerjaan dalam sektor yang berkaitan pertanian dan terkesan dengan kenaikan harga barang.

Begitu juga dengan negara-negara jiran yang terpaksa menerima jutaan pelarian dan memerlukan bantuan makanan untuk hidup. Di peringkat global pula, kekurangan bekalan menyebabkan kenaikan mendadak harga barangan makanan. Ia tidak terhad kepada negara-negara yang bergantung bekalan dari Russia dan Ukraine sahaja, tetapi melibatkan kesemua negara di dunia.    

Tidak mudah untuk negara-negara yang terlibat mencari alternatif baru dari negara-negara lain yang mencukupi untuk keperluan rakyat di negara masing-masing dengan segera. Sebab itulah PBB memberi amaran krisis kebuluran dan kekurangan zat akan melanda dunia jika isu ini tidak diselesaikan.

Walaupun usaha yang dilakukan oleh PBB ini bersifat sementara, namun ia boleh dijadikan satu lonjakan baru kepada usaha untuk memastikan kecukupan bekalan makanan dunia.

Di masa hadapan, usaha yang lebih konkrit perlu dilakukan oleh badan-badan antarabangsa termasuklah mewujudkan konvensyen khas yang mengikat negara-negara yang berkonflik agar memberi jaminan keselamatan terhadap tanam-tanaman, industri pemakanan dan pengangkutan ketika berada dalam suasana perang. Negara-negara yang terlibat juga perlu mengusahakan alternatif baru untuk mencukupkan bekalan samada dengan meningkatkan pengeluaran hasil pertanian di negara masing-masing atau memecahkan kebergantungan import makanan kepada beberapa buah negara lain yang lebih terjamin.