Apa yang dilakukan Ustaz Don sehingga rayuan tauliah mengajar ditolak? Ini jawapan MAIS

Oleh KIM SYAZIE

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengesahkan bahawa rayuan tauliah mengajar agama Islam yang dimohon pendakwah selebriti, Ustaz Don Daniyal, telah ditolak.

Mendedahkan perkara itu, Abdul Aziz berkata pihaknya sudah mendengar rayuan termasuk sebab-sebab yang dikemukakan, namun Jawatankuasa Tauliah MAIS tidak bersetuju.

Tanpa memperincikan lanjut sebab penolakan, Abdul Aziz bagaimanapun berkata Ustaz Don telah melakukan perkara yang bercanggah dengan peraturan tauliah di Selangor.

“Ini kerana ada perkara yang dilakukan bercanggah dari segi peraturan ditetapkan iaitu Peraturan 17 (d) Peraturan Tauliah Selangor 2008,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Bagaimanapun Abdul Aziz berkata, pendakwah berkenaan masih boleh mengemukakan semula rayuan untuk mendapatkan tauliah mengajar di Selangor tahun depan.

“Jika hendak buat rayuan lagi tahun depan. Walaupun ditarik, masih boleh merayu… syarat kena tunggu setahun selepas ditarik. Tetapi beliau perlu melalui temuduga seperti biasa sebelum ini,” katanya lagi.

Keputusan penarikan tauliah mengajar Ustaz Don dibuat berdasarkan kuasa Jawatankuasa mengikut subseksyen 118 (3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang dibaca bersama perenggan 17(d) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Pendakwah selebriti itu disiasat mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan doktrin palsu berdasarkan beberapa aduan diterima JAIS.

Baca juga: “Kakak ipar perli konon tak baik minta duit dekat anak, dia tak sedar suami dia berhutang puluh ribu dengan ayah”