Malaysia Dateline

Apa yang Ismail risaukan untuk bawa usul percaya? soal Hatta

Pakatan Harapan (PH) tertanya apakah kerisauan yang membelenggu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sehingga beliau enggan membawa usul undi percaya ke Parlimen.

Ahli Parlimen Lumut, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli berkata, apabila kerajaan baru ditubuh, semua pihak mengharapkan supaya perdana menteri berani untuk berdiri di Dewan mencari sokongan walaupun telah dikatakan dapat sokongan di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

“Tapi untuk mendapatkan keabsahan dari konteks demokrasi berparlimen ini, Kita menjangkakan dia (Ismail) berjiwa besar dan berani membawa undi percaya.

“Tapi nampaknya dia disokong oleh peguam negara yang mengatakan tak perlu bawa usul. Jadi kita masih lagi tertanya-tanya apakah kerisauan perdana menteri untuk bawa usul ini,” katanya dalam sesi perbahasan sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa sama, Hatta menyatakan harapan agar memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dapat mewujudkan kestabilan politik dalam negara dan berjaya menangani wabak Covid-19.

Beliau juga mengingatkan, sekiranya berlaku lagi sekali ketidakstabilan kerajaan, ianya adalah berpunca daripada pergolakan dalam kerajaan itu sendiri.

“Kita harap kita tidak dilabel pengacau. Dalam tempoh tertentu kita tak akan terlibat dengan usaha menjatuhkan PH, kita tak mahu ada pilihanraya sampai satu tarilh dipersetujui bersama.

“Ini pengorbanan besar dibuat pembangkang. Tak ada sebab kita nak memperteguh kerajaan yang sudah sedia ada majoriti. Kerajaan yang tak yakin dengan diri sendiri itulah yang masalah,” katanya lagi.