Malaysia Dateline

Apa yang Ismail Sabri harapkan dengan MPN?

Albert Einstein menukilkan definisi insanity sebagai:
“Doing the same thing over and over again and expecting different results”.

Kabinet Ismail Sabri Yaakob Perdana Menteri kesembilan adalah Kabinet kitar semula. Mengekalkan ramai menteri yang sama ketika pentadbiran Mahiaddin Yassin yang terbukti sebuah kerajaan gagal.

Menteri pendidikan yang sama walaupun polisi flip-flop. Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang tidak berkesan dan ramai pelajar tercicir dalam pendidikan. Kesenjangan pendidikan melebar antara kaya dan miskin, bandar dan luar bandar.

Walaupun ekonomi negara lumpuh, rakyat hidup susah dan ramai yang hilang pekerjaan dan perniagaan, tetapi menteri berkaitan ekonomi dikekalkan.

Sektor pertanian gagal dimajukan bagi memastikan ‘food security’ dan bekalan makanan cukup untuk mengawal harga makanan, tetapi diteruskan khidmat menteri yang sama.

Cabaran kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah menguruskan pandemik Covid-19 sehinggakan 17,883 nyawa dengan jumlah 1,824,439 rakyat Malaysia yang dijangkiti virus ini. Mahiaddin sebagai peneraju utama kerajaan PN ternyata gagal mengawal pandemik ini.

Kegagalan ini disumbangkan oleh kelemahan tadbir urus termasuk kelewatan perolehan untuk membeli vaksin, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang tidak mencukupi dan tiada pusat kuarantin disediakan.

Namun, Mahiaddin dilantik pula Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri. Sebelum ini Mahiaddin sudah gagal, jadi apa yang diharapkan kerajaan Ismail Sabri dengan MPN?

Adakah MPN satu badan kosmetik? Adakah lantikan ini demi survival politik dan bukan berasaskan pentadbiran yang objektif?

Selain membazir wang rakyat pada saat kantung negara yang kering, ia menambah krisis birokrasi sesudah Kabinet besar dibentuk (69) demi mencapai ‘scheme of things’. Maka, tiada beza antara Ismail Sabri dan Mahiaddin.

Mengulangi perkara sama mengharapkan hasil berbeza adalah satu kegagalan dan insanity.

*FAIZ FADZIL merupakan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang.