Malaysia Dateline

Apa yang Pas mahu rakyat pelajari dari filem Mat Kilau?

Filem Mat Kilau yang menempah kejayaan sambutan cemerlang telah di sambut baik oleh banyak pihak termasuk mereka yang ingin menumpang kecemerlangan filem Mat Kilau. Antaranya, adalah parti yang mengelar diri parti Islam iaitu Pas.

Dalam keghairahan menumpang kejayaan serta populariti Mat Kilau dengan menggesa orang ramai menonton filem itu di pawagam, Pas seolah-olah lupa di Kelantan, pawagam tidak dibenarkan atas alasan ia boleh membawa maksiat.

Demi saham politik, Pas sanggup melupakan “pengharaman” tersebut seperti juga mereka melupakan tuntutan RUU 355, hudud dan pembelaan kematian Adib.

Pas juga lupa dengan perjuangan tuntutan royalti minyak untuk Terengganu dan Kelantan demi kekal menjadi kerajaan pintu belakang.

Hanya mahu menjaga kerusi Menteri, Senator dan Duta Khas milik Pas, kepentingan royalti minyak untuk rakyat Terengganu dan Kelantan diketepikan.

Mat Kilau adalah pejuang hebat yang menuntut kemerdekaan daripada penjajahan pihak British. Perjuangan anti penjajahan ialah untuk mengembalikan maruah diri dan rakyat di atas bumi kita dan segala hasil bumi Malaya.

Mat Kilau amat konsisten dan tidak berkompromi atas tuntutan kemerdekaan dari semua bentuk penjajahan dan juga atas semua perkara yang berkaitan termasuk hasil bumi Malaya yang diambil hasil lumayannya dari penjajahan.

Hasil bumi rakyat adalah hanya untuk manfaat rakyat tempatan terutamanya mereka yang sudah lama dahagakan sedikit nikmat daripada hasil bumi ibunda setelah begitu lama hidup dalam kemiskinan.

Terengganu dan Kelantan adalah dua negeri ‘tidak bersekutu’ zaman Malaya di bawah British yang miskin sejak sebelum merdeka dan hingga hari ini masih diantara tiga negeri termiskin Malaysia.

Sudah tentu setelah minyak dan gas ditemui di perairan Terengganu dan Kelantan, rakyat amat mengharapkan pembelaan peningkatan taraf hidup daripada hasil minyak ini.

Malangnya, apabila Pas memerintah Terengganu pada 1999, kerajaan pusat di bawah Barisan Nasional (BN) telah menarik balik royalti hasil minyak yang dinikmati sejak tahun 1977.

Setelah Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, pada 2019, bayaran royalti minyak Terengganu dan Kelantan telah dikembalikan kepada kedua-dua negeri tersebut.

Malangnya, tahun lalu kerajaan Perikatan Nasional (PN), iaitu gabungan politik turut dianggotai Pas, telah menarik balik semula bayaran royalti tersebut dari Terengganu dan Kelantan.

Makin malang dan menyedihkan, Pas yang kononnya menyanjung perjuangan Mat Kilau yang menentang segala bentuk penjajahan dalam segala erti kata untuk rakyat telah kelu tidak membantah sepatah kata pun.

Ulama-ulama Pas terus membisu menjadi ulama bisu atas hilangnya hak hasil bumi ini.

Bukankah pengambilan hasil bumi minyak Terengganu dan Kelantan ini tanpa memberi sekurang-kurangnya royalti satu bentuk dan jenis penjajahan ekonomi moden?

Jika Mat Kilau masih ada, sudah tentu ini akan menjadi tuntutan beliau menentang penjajahan ekonomi dua negeri majoriti rakyat Melayu Islam yang miskin ini.

Apa sebenarnya yang Pas mahu rakyat pelajari dari filem Mat Kilau ini jika penjajahan ekonomi yang diperjuangkan Mat Kilau, Pas sendiri membisu dan lari daripada tanggungjawabnya untuk membela?

Kehebatan Mat Kilau bukan hanya duduk di pakaiaan tanjak dan pakaian Melayunya yang boleh dikenakan oleh yang berhormat Pas.

Kehebatan Mat Kilau sebenarnya terletak di dalam semangat perjuangan memerdekakan rakyat yang kurang berada dari dijajah harta bumi bangsa oleh sesiapa pun dengan tidak adil.

Ini telah berlaku dengan hasil minyak Terengganu dan Kelantan puluhan tahun lamanya.
Sekurang-kurangnya wang royalti boleh membantu rakyat Terengganu dan Kelantan sedikit mengatasi kos sara hidup yang makin mencengkam masyarakat .

Adakah Pas lebih bimbang kehilangan kedudukan Menteri, Senator dan Duta Khas dari pembelaan hak royalti rakyat Terengganu dan Kelantan? Ini jenis pejuangan untuk pangkat diri sendiri atau rakyat ?

Bentuk penjajahan bukan hanya boleh dilakukan oleh orang putih dan negara asing sahaja.

Mat Kilau bukan menentang orang luar berkulit putih dari negara asing kerana warna kulit dan asal mereka dari negara lain.

Mat Kilau berjuang menentang penjajahan mengambil hak serta milik bumi kita yang diambil secara tidak adil.

Ini ialah perjuangan sebenar beliau menentang pengambilan hasil negeri yang menafikan hak rakyat tempatan tidak kira bangsa atau negara pihak yang mengambil serta menafikan hak sebenarnya tuan milik asal.

Pas mesti faham semangat dan roh perjuangan Mat Kilau menentang penjajahan yang sebenarnya dan mula bersuara untuk hak royalti Terengganu dan Kelantan dikembalikan.