Malaysia Dateline

Apa yang perlu dipantau oleh MP dalam GLC?

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohd Zuhdi Marzuki, berkata pelantikan ahli Parlimen sebagai pengerusi di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berperanan sebagai wakil rakyat yang ‘memantau’ perjalanan syarikat.

Menurutnya, tindakan itu menjadikan kerajaan benar-benar bertanggungjawab kepada rakyat kerana melantik pengerusi GLC dalam kalangan mereka yang dipilih oleh rakyat.

“Peranan mereka adalah mewakili rakyat memantau perjalanan sesuatu GLC,” katanya dipetik BH yang mempertahan keputusan kerajaan melantik ahli Parlimen sebagai pengerusi di GLC.

Rektor Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) itu menjelaskan pelantikan tersebut memberi kelebihan untuk mereka menjawab persoalan isu berbangkit di parlimen.

“Sebelum ini, soalan berkaitan GLC jika ditanya di dalam Parlimen akan dijawab oleh menteri yang berkaitan dengan GLC terbabit.

“Selepas ini, Parlimen mungkin boleh mewujudkan satu mekanisme supaya soalan berkaitan GLC tertentu dijawab secara langsung oleh pengerusi GLC yang juga ahli Parlimen,” katanya lagi.