Malaysia Dateline

Apabila Amien Rais tubuh Parti Ummat di Indonesia

Pentas politik Indonesia mula cergas dengan persiapan bagi menghadapi pilihan raya tahun 2024. Pesta demokrasi Indonesia menyaksikan pilihan raya bagi pelbagai peringkat dengan kemuncaknya ialah persaingan untuk jawatan presiden. Walaupun penggal pemerintahan masih panjang tetapi persiapan untuk pesta demokrasi itu sudah mula dilakukan. Antara perkembangan baharu ialah Tokoh Reformasi, Amien Rais meninggalkan Parti Amanat Nasional untuk menubuhkan Parti Ummat.

Presiden Joko Widodo pula sudah menyandang jawatan itu dua penggal dan tentunya tidak dibolehkan bertanding lagi. Beliau pastinya tidak boleh menjadi seperti Sukarno dan Suharto yang menjadi presiden berpenggal-penggal. Inilah antara hasil dari Reformasi tahun 1997. Mereka mengehadkan tempoh sandangan jawatan presiden untuk mengelak berlaku penyalahgunaan kuasa. Banyak negara di dunia sudah membuat peraturan sedemikian kerana serik dengan gelagat pemimpin yang salah guna kuasa kerana terlalu lama memerintah. Gerakan Reformasi yang dilancarkan bagi menentang Suharto adalah berdasarkan pada penentangannya terhadap KKN, korupsi, kolusi dan nepotisme, ciri-ciri yang ada pada pemerintahan Suharto. Kolusi itu bermaksud kesepakatan gelap antara ahli politik berkuasa dengan ahli-ahli perniagaan untuk kepentingan bersama dengan merugikan negara. Sementara nepotisme bermaksid projek-projek pemerintah dibolot oleh kaum keluarga, sanak saudata dan sahabat handai ahli politik yang berkuasa.

Sejarah Indonesia terbahagi pada tiga era, Sukarno yang memimpin Revolusi, Suharto dan Reformasi. Era Suharto dinamakan sebagai Orde Baru atau Orba. Ia juga boleh membawa maksud bahawa Sukarno itu adalah Orla atau Orde Lama. Walaupun baharu dan lama itu boleh merujuk pada perbezaan masa, tetapi dari sudut lain, ia juga menunjukkan bahawa sistem yang Sukarno bawa itu adalah lapuk, sementara Suharto membawa cara pemerintahan lebih baik dan sesuai pada zamannya.

Tetapi ketika Sukarno memimpin Revolusi Indonesia pada tahun 1945, beliau membuka orde baharu untuk negaranya bagi menggantikan sistem lama yang lapuk dan bobrok iaitu penjajahan dan kolonialisme Belanda. Perkataan orde berasal dari bahasa Belanda. Dalam bahasa Inggeris ia disebut Order. Dalam bahasa Melayu, ia disebut aturan atau tata.

Apabila berlaku Reformasi, Orde Baru Suharto sudah menjadi lama, lapuk dan bobrok. Tetapi kalau Revolusi dan Orde Baru didominasi oleh masing-masing seorang presiden iaitu Sukarno dan Suharto tetapi era Reformasi sudah menyaksikan lima presiden iaitu BJ Habibie, Abdurahman Wahid, Megawati Sukarnoputri, Susilo Bambang Yudhoyono dan sekarang ini. Jokowi.

Sistem politik Indonesia berbeza daripada Malaysia. Ini kerana kedua-duanya dijajah oleh kuasa penjajah berbeza, British dan Belanda. Namun ia tetap berkaitan kerana sebelum penjajah itu sampai, Malaysia dan Indonesia berada dalam lingkungan politik tradisi serupa.

Revolusi Indonesia memberi pengaruh besar kepada perjuangan menuntut kemerdekaan di Malaysia. Sukarno turut dikagumi. Walaupun berlaku Konfrontasi, tindakan Sukarno itu turut mewarnai rupa bentuk Malaysia. Kemunculan Suharto juga memberi pengaruh kepada Malaysia. Daripada Tun Razak hingga kepada Mahathir Mohamad.

Maka begitu juga apabila Reformasi berlaku di Indonesia ekoran krisis kewangan Asia. Reformasi bukan sekadar menggantikan Presiden Suharto tetapi ia mengubah sistem pemerintahan supaya demokratik dengan rakyat turut berpeluang menikmati kemakmuran bersama negara.

Kepentingan Reformasi hanya berada pada kedudukan kedua selepas Revolusi. Seperti Revolusi Indonesia, pengaruh Reformasi turut sampai ke Malaysia. Sebahagian rakyat negara ini berasa perlunya negara ini diperintah secara demokratik dan bersih daripada korupsi, penyelewengan dan dominasi parti politik tertentu saja. Rakyat negara ini juga mahu berasa mereka juga berpeluang menikmati kemakmuran bersama.

Kejayaan Reformasi Indonesia adalah atas sumbangan banyak pihak, daripada pelbagai aliran, baik kalangan umat islam, nasionalis hinggalah kepada golongan kiri. Tetapi ketokohan Amien Rais menonjol kerana beliau telah mendorong mahasiswa supaya melancarkan demonstrasi yang akhirnya membawa kepada pengunduran Suharto dan pemulihan demokrasi di negara itu.

Kewibawaan Amien adalah tinggi ketika itu, bukan saja sebagai cendekiawan dan ahli akademik tetapi juga pemimpin Muhammadiyah, pertubuhan Islam kedua terbesar Indonesia. Dalam sejarahnya, Muhammadiyah adalah pertubuhan gerakan Reformis masyarakat. Beliau menubuhkan Parti Amanat Nasional yang disertai oleh banyak pendukung Muhammadiyah. Namun ia merupakan parti bersifat nasional yang inklusif. Apa yang dimaksudkan dengan amanat nasional ialah hasrat dan kepentingan kebangsaan Indonesia.

Walaupun mempunyai dana besar untuk berkempen, beliau kalah pada Gus Dur yang bergabung dengan Megawati. Gus Dur dan Megawati juga berperanan besar dalam pelawanan menentang Suharto. Gus Dur adalah pemimpin Nahdlatul Ulama, pertubuhan Islam terbesar di Indonesia. Dalam sejarahnya, ia ditubuhkan sebagai reaksi pada kemunculan Muhammadiyah. Walaupun asalnya ia merupakan gerakan konservatif tetapi kini dalam banyak hal, ia lebih progresif daripada Muhammadiyah. Gus Dur menubuhkan Parti Kebangkitan Bangsa yang muncul sebagai wadah pendukung Nahddlatif Ulama. tetapi ia tidaklah eksklusif dan ada tokoh Nahdlatul Ulama yang menubuhkan parti lain. Megawati pula adalah ketua Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan yang menampilkan dirinya sebagai pewaris Sukarno dan Parti Nasional Indonesia. Gabungan PKB dan PDIP berjaya menghalang kepresidenan Amien.

Tetapi bagi sebahagian daripada pendukung gerakan Islam, mereka tidak memandang tinggi pada PAN dan PKB. Sokongan mereka adalah kepada Parti Keadilan Sejahtera. Anak-anak muda lebih cenderung untuk mendukung PKS yang menjadi popular kerana disiplin dan hala tuju jelas. Maka ia berpengaruh ke atas mana-mana parti yang mengemukakan calon presiden. Namun begitu, imej PKS tercalar apabila ada ahli politik mereka terbabit dengan korupsi apabila menyandang jawatan menteri.

Melihat nama Parti Ummat yang ditubuhkan Amien, maka dapat dibayangkan bahawa tujuannya dikhususkan untuk meraih undi umat Islam. Tetapi bukan saja Parti Ummat yang muncul baru-baru ini, PKS pun mengalami perselisihan dalamnya yang melahirkan Parti Gelora. Selain itu, Parti Masyumi yang merupakan parti zaman Sukarno baru saja dihidupkan semula.

Parti Ummat, Parti Gelora dan Parti Masyumi akan turut berusaha meraih undi daripada umat Islam di Indonesia. Bagaimanapun, daripada tinjauan pemerhati, parti-parti baharu ini sukar untuk menjejaskan kedudukan parti-parti besar yang sedia ada.

Amien popular ketika baru berlangsungnya Reformasi. Dengan melihat prestasi Gus Dur hingga terpaksa diusahakan supaya digantikan dengan naibnya, Megawati, mungkin kalau Amien menjadi presiden ketika itu, ia adalah lebih baik daripada Gus Dur dan Megawati.

Tetapi politik Indonesia kini tidak berpusat pada presiden semata mata. Di belakangnya ada parti politik, baik dari segi jentera mahupun wibawa. Amien dan PAN tidak dapat menandingi PDIP dan PKB. Malah selepas Megawati, yang dipilih rakyat adalah bekas jemeral iaitu Susilo.

Kini, peristiwa Reformasi semakin jauh dari ingatan rakyat walaupun banyak kebaikan dan kemajuan yang berlangsung di bawah Jokowi sekarang adalah hasil daripada peristiwa Reformasi.

Namun apa yang mengecewakan para pendukung Reformasi adalah hasil daripada tinjauan suara orang ramai baru-baru ini. Sebabnya ialah daripada kalangan presiden-presiden Indonesia, kebanyakan orang telah memilih Suharto sebagai presiden terbaik.