Bolehkah Malaysia menghapuskan reputasinya sebagai “kleptokrasi dalam bentuk terburuk” di seluruh dunia apabila gaji Ketua Setiausaha Negara (KSN) sebanyak RM29,125 dianggap “terlalu sedikit” oleh seorang bekas Perdana Menteri?
Untuk setengah abad yang lepas, Malaysia – seperti yang dikatakan oleh Yusuf Hashim yang berusia 76 tahun – telah menjadi sebuah “negara yang rosak”, dahulunya salah satu negara yang berpotensi menjadi Harimau ekonomi tetapi kini mungkin salah satu daripada kleptokrasi yang terburuk di dunia!
Kita telah ditinggalkan di belakang Taiwan, Korea Selatan, Singapura, dan Hong Kong dari segi pembangunan ekonomi dalam setengah abad yang lepas. Adakah kita akan ditinggalkan lebih banyak negara dalam setengah abad yang akan datang – mungkin kepada Indonesia dan Filipina?
Kita telah menyaksikan Diaspora Malaysia pertama di mana lebih daripada sejuta rakyat Malaysia yang berbakat dan cemerlang pergi ke serata dunia untuk menjadikan negara lain hebat, sedangkan mereka sepatutnya berada di Malaysia untuk menjadikan Malaysia hebat.
Pandemik Covid-19 selama dua tahun ini telah menghalang Diaspora Malaysia kedua dari berlaku. Kini apa wabak Covid-19 ini beralih daripada fasa pandemik kepada endemik, dengan Malaysia dan seluruh dunia mula terbuka semula, bolehkah kita menghidupkan harapan dalam kalangan rakyat Malaysia yang masih ada masa hadapan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, untuk mengelakkan Diaspora Malaysia kedua daripada berlaku?
Semalam saya bertanyakan diri saya sendiri: Bolehkah Malaysia menghapuskan reputasinya sebagai “kleptokrasi dalam bentuk terburuk” di seluruh dunia apabila gaji Ketua Setiausaha Negara sebanyak RM29,125 dianggap “terlalu sedikit” oleh seorang bekas Perdana Menteri?
Sekiranya gaji bulanan Ketua Setiausaha Negara – penjawat awam Nombor Satu negara – sebanyak RM29,125 ini dianggap “terlalu sedikit”, bagaimana pula dengan gaji kira-kira 1.6 juta penjawat awam lain di dalam negara?
Malaysia jelas sekali telah terpesong dalam usaha pembinaan negara bangsa selama setengah abad yang lepas, dan satu-satunya jalan keluar untuk kita menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia adalah dengan dengan mengembalikan negara kita kepada prinsip-prinsip asas yang telah dipersetujui oleh bapa penubuhan negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – Malaysia sebagai sebuah negara beraja berperlembagaan, dengan demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, integriti awam, hormat terhadap hak asasi manusia, dan perpaduan negara yang terbentuk dari kepelbagaian masyarakat berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya di mana tidak wujud pembahagian rakyat kelas pertama atau kelas kedua berdasarkan kaum, agama, atau kawasan?
Saya pertama kali masuk ke Parlimen pada bulan Februari 1971, dan amaran saya dalam ucapan pertama saya di Parlimen 51 tahun yang lepas mengenai penyalahgunaan Dasar Ekonomi Baharu telah dibuktikan tepat. Saya katakan di Parlimen pada tahun 1971:
“Sebagai seorang sosialis demokratik, kami berdedikasi kepada matlamat menghapuskan kemiskinan dan kemunduran ekonomi, tanpa mengira kaum. Kami menyokong apa-apa dasar yang akan membantu menaikkan taraf kehidupan orang Melayu yang miskin. Tetapi kami membantah keras penggunaan hak keistimewaan Melayu untuk menambahkan kekayaan orang kaya Melayu, sedangkan orang miskin Melayu terus miskin dan ditindas.”
Pada hari keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam baginda telah menggesa kerajaan dan semua pihak, tanpa mengira kepercayaan politik, untuk merangka rancangan jangka panjang untuk mengembalikan negara ke arah kemuncak kejayaan dalam era pasca pandemik.
Baginda bertitah: “Perpaduan dan kebersamaan dalam sebuah masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang; adalah sebenarnya merupakan resipi dan kekuatan dalam membentuk aspirasi nasional. Ia adalah merupakan tiang kemakmuran negara dan menyumbang kepada keamanan dan kestabilan.”
Saya telah cadangkan penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk merangka rancangan untuk Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia menjelang ulang tahun ke-100 negara, sama ada pada tahun 2057 atau 2063. Kita perlu berfikir untuk jangka panjang, bukan untuk beberapa tahun, tetapi untuk beberapa dekad yang mendatang.
Baginda Yang di Pertuan Agong tepat sekali dalam menitahkan yang pemulihan dan kebangkitan semula yang kita mahukan ini tidak mungkin tercapai sekiranya rakyat terus berpecah belah dan gagal untuk mewujudkan kestabilan di dalam negara.
Kita semua mempunyai Impian Malaysia – untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik untuk anak-anak dan cucu-cucu kita, sebuah negara hebat bertaraf dunia, dan bukannya untuk membiarkan Malaysia menjadi sebuah negara gagal.
Saya kini seorang oktogenarian, tetapi saya masih berpegang erat kepada Impian Malaysia kerana harapan akan terus kekal membara di dalam dada manusia.
Hakikat di mana rakyat Malaysia dari Diaspora Malaysia pertama kembali untuk mengundi pada tahun 2018 menunjukkan kepada kita walaupun mereka tidak berada di Malaysia untuk tempoh yang lama, mereka masih peduli dengan Malaysia dan tersentuh apabila mereka merasakan terdapat harapan untuk perubahan yang lebih baik.
Saya telah melawat China beberapa kali, tetapi saya tidak pernah berasa seperti di rumah di China. Apabila saya terbang kembali ke Malaysia, terdapat perasaan kembali ke rumah. Saya percaya inilah perasaan yang dirasakan oleh rakyat Malaysia berbangsa Cina dan India.
DAP telah lama dimomokkan sebagai anti-Melayu, anti-Islam, anti-India, dan baru-baru ini sebagai anti-Cina oleh agen propaganda MCA/Gerakan.
DAP bukanlah sebuah parti yang anti-Melayu, anti-India, anti-Cina, anti-Kadazan, anti-Iban, atau anti-Islam, atau anti mana-mana agama. Kami adalah parti yang mengutamakan identiti kami sebagai rakyat Malaysia dan hanya kemudiannya diikuti oleh identiti etnik, agama, atau kawasan.
Kami mahu setiap rakyat Malaysia, baik Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Iban, untuk melihat diri mereka sebagai pertamanya rakyat Malaysia – satu identiti yang melangkaui semua identiti etnik, agama, atau kawasan yang lain.
Rakyat Malaysia mempunyai pelbagai identiti, sebagai orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, atau Muslim, Buddha, Hindu, Kristian, atau berasal dari Johor, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, tetapi kita semua mempunyai satu identiti bersama yang menyatukan kita semua – sebagai seorang rakyat Malaysia!
Masa hadapan Malaysia sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia akan terjamin apabila kita mencapai “titik perubahan” di mana majoriti rakyat Malaysia melihat diri mereka sebagai pertamanya rakyat Malaysia sebelum identiti-identiti lain mereka.
Tidak ada sebab untuk kita tidak berjaya mencapai Impian Malaysia untuk negara kita menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia kerana kita berada di kedudukan bertuah yang merupakan titik pertemuan empat tamadun hebat dunia – Melayu/Islam, Cina, India, dan barat – sekiranya kita berjaya kembali kepada prinsip-prinsip pembinaan negara bangsa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Baca juga: Sultan Selangor titah Idris Ahmad hadir program Bon Odori supaya fahami beza agama, budaya