Malaysia Dateline

Apabila Biden hentikan perang di Yaman

Minggu lalu, Presiden Joe Biden mengeluarkan arahan eksekutifnya berkaitan peranan tentera Amerika Syarikat (AS) di pentas dunia. Pada asasnya, ia membatalkan dasar Donald Trump supaya AS kembali aktif menjadi polis dunia.

Kalau Trump berpegang pada dasar America First iaitu mengutamakan negaranya berbanding dunia, Biden pula mahu memulihkan hubungan ketenteraan dengan sekutu-sekutunya. Apa yang dimaksudkan dengan sekutunya ialah negara-negara yang bersama AS ketika Perang Dingin melawan Soviet Union.

Sekutu utama AS ialah negara-negara yang menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, NATO. Dasar Trump adalah memanggil pulang sebahagian besar tentera AS dari Jerman.

Arahan itu menimbulkan ketegangan hubungan antara NATO dan Washington. Ini kerana Eropah masih berasa bimbang terancam dengan Rusia walaupun komunisme sudah tiada. Biden membatalkan arahan Trump itu.

Sekutu-sekutu AS di Asia Pasifik ialah Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Australia dan New Zealand. Mereka semua berhadapan dengan kemaraan China. Dalam hal ini, dasar Biden dan Trump tidak berbeza. Cumanya Trump ada berjumpa Kim Jong-un, Biden kata dia tidak akan berbuat demikian. Ini kerana ia tidak membawa perubahan. Sekutu AS di Asia Selatan pula ialah Pakistan.

Tetapi rantau paling penting bagi AS ialah Timur Tengah. Sekutu utama AS tentulah Israel diikuti Arab Saudi dan negara-negara Teluk yang terdiri daripada Emiriah, Qatar, Bahrain dan Kuwait.

Di rantau ini, dasar Biden berlainan daripada Trump. Tetapi Trump hanya mengembalikan dasar lama AS sebelum Trump menjadi presiden. Apa yang dilakukannya adalah menurut pendirian yang ditetapkan oleh Parti Demokratik.

Sama ada Parti Republikan atau Parti Demokratik, kedua-duanya adalah pro-Israel. Tetapi Trump dengan jelas mengukuhkan kedudukan Israel.

Ada fahaman dalam kalangan Republikan bahawa apabila Israel utuh dan kewujudannya tidak tergugat, maka dunia Arab akan akur dan perdamaian dapat diwujudkan. Hak kenegaraan Palestin tidak diambil kira.

Sebab itu Trump mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu negara Israel. Beliau memindahkan kedutaan AS ke situ. Trump menyokong Baitulmakdis Barat dan Timur disatukan walaupun bahagian timur itu adalah hak Palestin.

Kemudian beliau berusaha supaya negara Arab mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel, bermula dengan Emiriah, diikuti Bahrain, Sudan dan Maghribi, akhir sekali ke arah Saudi.

Presiden Joe Biden pada 4 Februari lalu menamatkan sokongan Amerika Syarikat kepada Arab Saudi dalam peperangan di Yaman.

Tetapi Biden tidak mengambil jalan itu. Sebaliknya, beliau mahu kembali pada usaha rundingan damai antara Israel dan Palestin. Pertimbangan dikembalikan pada dasar penyelesaian dua negara, iaitu penubuhan Palestin berdaulat yang hidup aman berjiran dengan Israel.

AS mempunyai seteru di setiap rantau. Di Eropah ialah Rusia. Di Asia Pasifik ialah China. Di Timur Tengah ialah Iran. Sementara sekutu utama AS di Timur Tengah dalam berdepan dengan Iran ialah Israel dan Saudi.

Tetapi apa yang berlaku sepanjang Trump berkuasa ialah perang proksi di Yaman. Perang saudara di Yaman itu melibatkan Saudi dan Iran, dengan Washington menyokong Riyadh.

Perang Yaman mendatangkan bencana kemanusiaan yang besar. Tanpa mengira siapa yang menjadi mangsa, pengeboman yang berterusan mengakibatkan kemusnahan dan kematian. Belum dikira lagi kecederaan, kekurangan makanan dan kebuluran.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan banyak negara dunia menyeru supaya dihentikan peperangan kerana bencana kemanusiaan yang ditanggung oleh orang awam di sana.

Tetapi seruan mereka tidak dipedulikan. Baru saja menjadi presiden, Trump membenarkan pengeboman ke atas sasaran Yaman. Sasarannya dikatakan ialah pengganas IS tetapi siapa yang jadi mangsa bom itu tidak diketahui.

Sebelum itu, serangan yang dilakukan oleh Saudi adalah ke atas pihak Houthi yang berada di tengah-tengah orang awam. Sementara pihak Houthi pula melancarkan beberapa roket ke atas pihak Saudi, yang antaranya hampir dengan Riyadh. Maka, ancaman Houthi sudah menjadi soal keselamatan yang penting bagi Saudi.

Perang proksi Saudi-Iran

Houthi yang merupakan pemberontak disenaraikan sebagai pengganas oleh pentadbiran Trump. AS menyokong dan membekalkan senjata kepada Saudi. Negara itu pula menyokong dan membantu kerajaan Yaman. Houthi pula mendapat bantuan dari Iran. Maka, jadilah perang proksi Saudi-Iran.

Pihak Houthi kini menguasai ibu negara, Sanaa. Sementara kerajaan Yaman berpangkalan di Aden dengan pentadbiran eksekutifnya berada di Riyadh. Yaman adalah negara Arab kedua terbesar dan dikategorikan sebagai negara gagal.

Di kalangan dunia Islam, ia dipaparkan sebagai perang mazhab Sunni-Syiah. Houthi disifatkan sebagai Syiah walaupun mazhabnya berbeza daripada Iran.

Asal peperangan itu ialah daripada demonstrasi Arab Spring. Mereka tidak berpuas hati dengan kerajaan Yaman yang mengabaikan rakyat. Ia membawa kepada pemberontakan dan tertubuhnya kumpulan yang dikenali sebagai Houthi.

Biden telah mengeluarkan Houthi daripada senarai pengganas. Namun, AS tetap tidak dapat menerima perbuatan ganas pihak Houthi.

Serentak itu, AS juga menghentikan bekalan senjata pada Saudi untuk digunakan di Yaman. Menurut Biden, keputusan ini adalah semata-mata kerana pertimbangan kemanusiaan. Beliau juga memulihkan huluran bantuan pada Yaman.

Dari segi politik, AS adalah sekutu Saudi. Iran adalah seterunya. AS juga memihak pada kerajaan Yaman dalam usahanya menentang Houthi. Kehadiran IS di bumi Yaman tetap menjadi isu bagi AS. Tetapi menghentikan peperangan adalah untuk kemanusiaan.

Perkara serupa berlaku di Syria. Perang di situ perlu dihentikan demi kemanusiaan. Keutamaannya adalah mengalahkan IS yang mendatangkan penderitaan dahsyat pada orang awam. Ia bukan bermakna AS menerima kerajaan Syria. Sehingga ini, Amerika masih mahukan perubahan rejim di Damsyik.

Penyelesaian politik masih jauh dan mungkin tidak akan selesai walaupun tempoh penggal Biden berakhir. Tetapi bagi orang awam, soal geopolitik itu bukan perkara utama.

Apa yang utama ialah ialah keamanan, keselamatan, kesihatan, cukup makan dan tempat tinggal dengan peluang pekerjaan dan pendidikan bagi generasi akan datang.

Tidak kurang 384,000 individu maut manakala lebih 11 juta rakyat Syria hilang tempat tinggal dan menjadi pelarian sejak 11 tahun konflik berlarutan.

Sebab itu, dalam apa jua keputusan, kerajaan mesti mengutamakan sudut kemanusiaan. Dunia telah menyaksikan kekejaman Perang Dunia Kedua. Ketika Perang Dingin, banyak kekejaman berlaku. Begitu juga selepas perang itu berakhir, ia tidak berkesudahan.

Analisis strategik geopolitik boleh dikeluarkan oleh para ahli bidang itu, termasuk para pemerhati dan wartawan. Tetapi apa yang perlu diambil kira ialah bencana kemanusiaan yang ditanggung oleh orang awam terperangkap dalam perang.

Kisah mereka hanya dapat diketahui oleh laporan para wartawan yang melihat sendiri tempat kejadian. Selain itu, para sasterawan akan mengisahkan cerita-cerita duka manusia dalam peperangan yang berasaskan pada kisah benar.

Ketika tamat Perang Dingin pada tahun 1990, Republik Arab Yaman atau Yaman Utara disatukan dengan Republik Demokratik Rakyat Yaman atau Yaman Selatan. Rakyatnya tentu berharap penyatuan itu akan membawa kepada kemakmuran.

Namun, pemerintah Sanaa tidak menjalankan tanggungjawab. Mereka mengabaikan rakyat seperti mana yang berlaku di banyak negara Arab iaitu Tunisia, Mesir, Libya, Syria, Bahrain, Sudan dan Algeria. Maka, tidak hairanlah demonstrasi Arab Spring berlaku di negara-negara itu.