Malaysia Dateline

‘Apabila kadang-kadang kita berasa malas sangat’

Rasa macam malas nak menulis kolum ini hari ini. Hari ini hari Selasa 3 Mac. Saya diminta serahkan tulisan untuk kolum ini pada petang Selasa setiap minggu. Tapi sejak beberapa hari ini saya jadi malas nak berfikir. Bila semalam editor mengingatkan “esok ada kolum” pun saya malas nak fikir apakah saya akan menyiapkannya atau tidak.

Biasanya kalau saya rasa tak sempat atau tak dapat menyiapkannya kerana sebab-sebab tertentu, kesibukan terlalu atau tak sihat, saya akan maklumkan pada editor dan dia akan mencari tulisan ganti. Hari ini tidak. Saya malas nak fikirkannya.

Kemalasan ini barangkali bermula Ahad lalu, apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri Malaysia dengan pasukannya yang terdiri daripada tokoh-tokoh yang saya langsung jadi malas nak berfikir apa-apa lagi. Pun malas nak berkata apa-apa. Biar sajalah dulu. Saya nak berehat.

Nak tengok fesbuk pun malas. Dah tahu dah apa isi-isi di dalamnya. Nak tengok tivi lagilah malas. Dah lama dah sebenarnya saya tak tengok tivi. Dan dalam kemalasan itu pada pagi Ahad yang bagi sebahagian orang adalah hari yang bersejarah dan ramai yang mengadap tivi untuk menonton satu peristiwa bersejarah, saya menerima mesej watsap dari seorang sahabat.

“Salam hangat,” katanya. “Sdra Dins berada di mana sekarang?”

“Di USJ,” jawab saya.

“Jam berapa lapang?”

“Sekarang lapang.”

Tak lama kemudian kami pun bertemu di restoran tak jauh dari rumah saya, tempat yang biasa kami bertemu. Biasa-biasa saja. Tak ada apa-apa agenda atau topik tertentu yang menarik untuk kami bincang. Lebih satu jam juga kami bersembang. Syed Shahir sahabat saya itu sempatlah menghabiskan dua keping capati. Saya hanya minum dua gelas barli limau panas.

Malam itu saya membuka ruang fesbuk Syed Shahir Syed Mohamud. Saya tahu dia akan menulis di fesbuk sebab dia meminta pembantu restoran itu mengambil gambar kami. Begini yang ditulisnya:

“Sementara sebahagian orang sibuk dengan urusan mereka di istana pagi tadi maka kami berdua berada di sebuah kedai makan di Selangor. Datuk Shamsuddin Osman @ sdra Dinsman dan saya minum air barli lemon 2 gelas, teh o tanpa gula 1 gelas dan capati cicah kari ikan 2 keping.

“Banyak hal yang kami bualkan yang berkisar mengenai kegiatan seni-budaya, sastera dan masyarakat dan di hujungnya adalah disentuh sedikit mengenai hal politik. Pada awal perbualan, sdra Dinsman menyebut bahawa beliau hanya nak fikirkan tentang kegiatan seni-budayanya antara lain tentang teater terkini beliau yang akan dipersembahkan. Kebetulan di kaca tv pada waktu itu sedang berlangsung wawancara dalam bahasa Tamil yang saya tak faham apa isi perbualan mereka. Begitulah kisahnya.”

Saya tak menjawab status fesbuk Syed Shahir itu malam itu. Kebetulan saya perlu hadir di Panggung Eksperimen Universiti Malaya kerana saya dijemput untuk diberi anugerah penghargaan Karnivel Teater UM 2020. Esoknya barulah saya jawab. Saya share statusnya dan saya tulis:

“Syed Shahir Syed Mohamud selalu ada apabila saya ingin membincang sesuatu. Kadang-kadang dia yang menyuarakannya dulu. Dia teman berfikir dan berbincang yang selalunya memberi nilai tambah. Dari politik ke seni-budaya ke politik lagi ke seni-budaya lagi. Dan kami seperti sedang mengusahakan sesuatu untuk seni-budaya dan politik. Hahhaa…”

Dan di fesbuk rupa-rupanya telah banyak mesej ucapan-ucapan tahniah dari kawan-kawan kerana ada sahabat-sahabat di Universiti Malaya telah memuatnaik petikan video upacara penganugerahan tersebut. Saya share dua daripada status itu, iaitu Lenny Erwan dan Duratul Ain Dorothy.

Syed Shahir terbaca status dari Lenny Erwan dan dia mengomen: “Dalam perbualan yang memakan masa hampir lebih 80 minit kelmarin maka hal ini tidak disebut langsung walaupun kami bicara soal seni-budaya. Apapun tetap bangga dengan kejayaan sahabat. Syabas!”

Dan saya menjawab komentar itu: “Maaf tuan Syed Shahir Syed Mohamud, saya berasa kurang selesa nak bercerita hal seperti ini awal-awal kepada kawan-kawan. Saya mohon maaf.”

Begitulah – sekadar nak bercerita mengisi ruang kemalasan yang diakibatkan oleh kemelut politik yang bertele-tele dengan penuh keliru dengan permainan-permainan manipulasi kuasa dan pembohongan dan pengkhianatan dan malah agama pun turut terbancuh dalam permainan dan perebutan kuasa itu.

Dengan permohonan ampun kepada Yang di-Pertuan Agong (yang baru saja menganugerahkan saya gelaran Datuk pada 1 Februari lalu), saya tidak yakin yang kerajaan baru yang akan dipimpin oleh Muhyiddin akan membawa kestabilan kepada suasana politik Malaysia dan seterusnya membawa kemajuan dan kemakmuran serta menjulang nilai-nilai Islam yang mulia (yang didambakan oleh kebanyak ahli Pas peringkat bawah).

Saya tidak melihat bahawa kemelut dan krisis politik yang tumbuh dan berkembang tidak lama selepas pemerintahan bercelaru Perdana Menteri ke-7 Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak menghormati janji dan manifesto parti sendiri itu (dan dari situ bercambah pula pelbagai aksi pengkhianatan), akan berakhir dengan terlantiknya Muhyiddin sebagai PM-8.

Dan yang menjadikan saya bertambah malas sejak peristiwa perletakan jawatan PM-7 pada Ahad 23 Februari itu ialah perihal beberapa program seni-budaya oleh kumpulan PAKSI (yang saya sertai) yang telah terganggu dan malah terbatal oleh kerana krisis politik itu.

Mengapa harus terganggu? Dan mengapa harus terbatal? Ini adalah soalan penting yang saya fikir harus dijawab dan dicari penyelesaiannya oleh saya sendiri bersama kawan-kawan/komrad, khasnya di dalam kumpulan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI).

Lebih sepuluh tahun lalu saya telah menulis mengenai persoalan ini. Antaranya rujuk tulisan berjudul “Tidakkah budayawan boleh membantu menjernihkan?” dalam buku “Pemikiran dan Perancangan Seni Budaya” (2012). Bahawa seniman-budayawan harus mampu “berdiri” bebas di tengah-tengah masyarakat, dan melaksanakan peranan mereka bagi “menjernihkan” suasana kehidupan masyarakatnya.

Kassim, Hasni, Yassin, Nasser, Lena, Ridzuan, Chan, Syed, Ahkarim, Anbakri, Salwah, Shariffah, Ayudez … kita ada banyak lagi kerja di hadapan dan perjalanan kita masih jauh. Jomm! Saya pun tak boleh layan lagi rasa malas ini.