Malaysia Dateline

Apabila kaum dan agama dijadikan alat strategik meraih sokongan

Isu yang berada di hadapan kita – tidak kira sama ada ia dilebel sebagai “penyatuan ummah”, “perpaduan orang Melayu”, Muafakat Nasional” mahupun yang terbaru “maruah Melayu” kesemuanya berkisar pada hanya satu asas atau teras perbincangan – iaitu kehilangan kuasa oleh Umno yang bermula pada 2008 dan pada kemuncaknya memperlihatkan penyingkirannya sama sekali daripada tampuk pemerintahan pada pilihan raya umum 2018. Itu sahaja.

Hampir semua naratif dan polemik yang berbangkit dalam negara berkaitan isu-isu berkaitan bangsa Melayu tidak lain hanyalah merupakan usaha terancang oleh ahli strategi Umno supaya isu “bangsa Melayu” terus berada dalam senarai atas menu untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sebab itu isu-isu perkauman dan ‘keagamaan’ sentiasa dimainkan oleh gerakan-gerakan dan individu-individu yang didokongi dan disokong oleh Umno dan kumpulan-kumpulan yang bernaung di bawahnya untuk memberi peluang kepada Umno kembali mendapat kepercayaan rakyat terutama orang Melayu .

Harus diingat bahawa Umno semasa hayat kuasa politiknya bukan calang-calang “kehebatannya”. Walaupun sudah tewas dalam pilihan raya, ia masih mempunyai rangkaian keahlian dan penyokong di peringkat akar umbi. Cuma rangkaian-rangkaian ini tidaklah secergas mana semasa Umno berkuasa. Begitupun parti ini masih mempunyai sumber pemikir yang mencukupi untuk merancang strategi bertujuan mengembalikan Umno pada kedudukannnya sebelum ini.

Dalam mana-mana masyarakat sekalipun, isu kaum atau bangsa (dan juga agama) adalah isu yang cepat mendapat tindak balas daripada kelompok bangsa atau agama yang diungkitkan.

Di Amerika Syarikat misalnya, Donald Trump memenangi pilihan raya presiden pada 2016 atas tiket kaum – kaum kulit putih. Penganalisis politik Amerika menyimpulkan bahawa mesej “Amerika untuk orang Amerika” dengan makna “Amerika” itu merujuk kepada kaum kulit putih telah diterjemahkan sebagai undi bagi Trump pada tahun tersebut. Malah selepas menang pun, Trump meneruskan dasar mengutamakan kaum kulit putihnya dalam semua aspek yang memperlihatkan sokongan kepada beliau terus bertahan.

Di India, parti yang memenangi pilihan raya umum tahun ini ialah BJP – sebuah parti Hindu berhaluan ekstrim. Narendra Modi yang memimpin parti itu menjanjikan dalam manifesto partinya agenda pengHinduan India sekiranya parti itu menang. Sekali lagi kita menyaksikan bagaimana rakyat India yang majoritinya Hindu telah memberikan sokongan lebih besar kepada BJP berbanding pilihan raya sebelumnya yang juga dimenangi BJP atas tiket agama.

Fenomena keterikatan sentimen pada kaum dan agama dipanggil sentimen “primordial”. Ini bermaksud manusia akan secara tabiinya cenderung untuk bersama, menyetujui dan prihatin dengan apa sahaja yang berkait dengan kaumnya. Mereka akan bangkit bertindak sekiranya kaum atau agama mereka “diancam”. Oleh itu cukup mudah bagi mana-mana pemimpin politik untuk menggunakan kaum dan agama sebagai alat-alat untuk meraih sokongan menerusi bahasa yang sesuai dan meyakinkan.

Keadaan yang hampir sama boleh sahaja berlaku di negara kita. Umno sebelum ini memang dilebelkan sebagai parti “Melayu” dan Pas pula sebagai “parti Islam”. Kombinasi lebel bangsa dan agama ini cukup mudah dipergunakan oleh kedua-dua parti tersebut untuk menjatuhkan Pakatan.

Berdasarkan kenyataan ini, sejak tahun 2008 pelbagai tindakan telah dilakukan oleh parti dominan Melayu iaitu Umno untuk mengekalkan sokongan daripada orang Melayu dan tentunya isu kaum dijadikan isu utama dalam usaha tersebut. Mulai 2015 pula, Umno berjaya menarik parti “agama”, Pas, sebagai rakan kerjasamanya yang kemudian ditingkatkan kepada kerjasama formal dalam apa yang berlaku baru-baru ini melalui “Muafakat Nasional”.

Ini bermakna gerakan kesedaran bangsa dan agama yang baru dalam negara kita sebenarnya digerakkan oleh Umno sendiri. Dan selepas inipun sekiranya “agenda-agenda” Melayu diutarakan dalam masyarakat, ianya tidak lebih daripada usaha mempastikan sokongan politik orang Melayu kepada parti tersebut kembali pulih dengan harapan dapat menewaskan PH pada pilihan raya umum akan datang.

Cuma yang dibimbangkan ialah cara bagaimana isu kaum dan agama dipermainkan oleh dua entiti politik ini. Walaupun masyarakat Malaysia secara umumnya kekal menjalin keharmonian menerusi kesepaduan yang dibina, naratif bangsa-agama yang dimainkan secara agresif mempunyai potensi mencetuskan konflik dalam masyarakat.

Masyarakat Malaysia semestinya tahu membezakan apakah isu yang benar di sebalik naratif ini dan tidak terperangkap dalam mainan politik mereka yang tidak bertanggungjawab.

* Dr Latiff, bekas profesor madya Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.