Malaysia Dateline

Apabila kuasa dan tahta mengaburi politik Malaysia

Bagaimanakah sejarah politik Malaysia diukir rapi nanti oleh Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila kedua-dua mereka akan berada di kerusi bertentangan dalam Dewan Rakyat nanti dengan satu kerusi di sebelah kerajaan dan satu lagi di sebelah pembangkang.

Walaupun perkara ini memang agak tidak masuk akal bagi rakyat biasa tetapi dalam politik tidak ada sesuatu yang mustahil kerana semuanya serba mungkin apabila kuasa dan takhta mengaburi segala-galanya sepertimana yang dizahirkan ketika ini.

Demikian dinyatakan oleh Jawatankuasa Mahasiswa AMANAH Nasional, Muhammad Abrar Sadiq.

Soalnya, persoalan yang timbul kini apakah Tun Mahathir akan tetap duduk di kerusi bersebelahan dengan pembangkang sewaktu persidangan Parlimen atau pun sebaliknya.

“Ia merupakan satu tamparan hebat kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana Tun Mahathir dan beberapa Ahli Parlimen dalam Bersatu tetap menunjukkan semangat kebersamaan Pakatan Harapan (PH).

“Sekali gus ia menafikan Muhyiddin mendapat sokongan serta menjadi pilihan parti secara keseluruhannya. Ini jelas membuktikan Bersatu berpecah kepada dua sepertimana yang wujud di negeri Kedah dan Pulau Pinang apabila Adun Bersatu masih lagi bersama PH memimpin kerajaan negeri.

“Tidak dapat dinafikan dalam situasi politik caca merba dan penuh konflik ini, Muhyiddin cuba untuk memenangi pemilihan dalaman Bersatu dan menewaskan Datuk Seri Mukhriz bagi menyelamatkan karier politik beliau,” tegasnya.

Sejajar dengan itu kata Abrar lagi, AMANAH pula yang telah terkenal dengan sifat setiakawan dan jiwa besar pimpinan dan ahlinya sudah pasti mengambil langkah terbaik untuk menerima siapa sahaja memantapkan lagi pasukan sedia ada.

Malah ujarnya, pemimpin utama AMANAH pula senantiasa tenang dalam menghadapi situasi politik negara walaupun terdapat segelintir ahli dan pendokong AMANAH yang tetap lantang menentang apa jua bentuk kerjasama dengan Tun Mahathir kerana bimbang akan berulangnya permainan licik sepertimana yang berlaku sebelum ini.

Tambah beliau, PH tidak lagi perlu bergayut atau menaruh apa jua harapan kepada Tun Mahathir dalam suasana politik negara ketika ini dan segala yang telah berlaku harus menjadi peringatan bahawa bidalan bangsa ‘harapkan pagar, pagar yang makan padi’ senantiasa menjadi nostalgia hitam yang amat tragik.