Apabila mi segera sudah dikenakan GST

Apabila mi segera sudah dikenakan GST

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar membantah tindakan kerajaan mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terhadap barangan makanan segera yang dinikmati kebanyakan orang, seperti mi segera.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar membantah tindakan kerajaan mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terhadap barangan makanan segera yang dinikmati kebanyakan orang, seperti mi segera.

“Pelaksanaan GST menzalimi rakyat berpendapatan rendah dan sederhana kerana banyak makanan biasa rakyat yang dikenakan cukai itu.

“Pembentangan penyususunan semula pelepasan dan pengenaan cukai GST pada 4 Mac 2017 oleh Menteri Kewangan Malaysia dengan memasukkan pengenaan GST ke atas mi segera, mi dan laksa kering manakala dalam masa yang sama mi kolok tidak dikenakan GST adalah amat mengejutkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahfuz berkata, beliau bersetuju mi kolok tidak dikenakan GST kerana ia makanan orang kebanyakan dan bawahan dan mempersoalkan pelaksanaan GST ke atas mi segera.

“Persoalannya kenapa mi segera, mi dan laksa kering dikenakan GST sedangkan ia adalah makanan orang kebanyakan dan orang susah. Dalam kalangan pelajar-pelajar universiti dari kalangan keluarga berpendapatan rendah, untuk membeli makanan lain memerlukan perbelanjaan besar manakala mi segera yang jauh lebih rendah harga menjadi pilihan untuk mengalas perut,” katanya sambil menambah mi segera juga menjadi pilihan golongan berpendapatan rendah apabila tiba pertengahan bulan.

Beliau memberitahu, menurut laporan Persatuan Mi Segera Dunia (WINA) yang berpangkalan di Jepun, permintaan mi segera di Malaysia adalah sebanyak 1.30 bilion peket pada 2012, 1.35 bilion (2013) 1.34 bilion peket (2014) dan 1.36 bilion peket (2015) atau 3.73 juta peket sehari.

Beliau berkata, sudah pasti peniaga makanan akan menaikan harga mi segera serta mi dan laksa yang menggunakan mi dan laksa kering yang dijual di warung atau restoran mereka.

“Tidak terlepas bagi suri rumah yang nak memasak laksa dan mihun goreng di rumah untuk hidangan keluarga terpaksa menanggung peningkatan kos perbelanjaan bulanan,” katanya lagi.

Justeru beliau menegaskan, ketidakadilan GST terserlah apabila rakyat yang berpendapatan rendah di luar lingkungan pendapatan menjadi mangsa untuk membayar cukai itu.

“Pelaksanaan GST sebanyak 6 peratus ini yang menekan rakyat memberi isyarat Umno-BN akan terkubur dalam pilihan raya akan datang serta menampakkan kerajaan Umno-BN begitu bermasalah dalam pengurusan kewangan negara dengan memerah wang orang miskin melalui pengenaan GST keatas makanan orang miskin.

“Suatu kecelekaan bagi rakyat Malaysia kerana jika mahu selamatkan negara dari bankrap terpaksa membayar GST ke atas mi segera,” katanya.

TAGS