Malaysia Dateline

Apabila mufti kecewa dengan Pas dan kagum dengan AMANAH

ULASAN: Saya nak bincangkan dalam posting ini ialah klip video kedua yang saya sertakan linknya di bawah. Iaitu video bertajuk ‘Dr. Maza kagum dengan Amanah kerana terlalu setia dengan DAP’.

Asas kekaguman Mufti Perlis ialah Amanah sangat setia dengan DAP. Beliau juga menyatakan kekagumannya terhadap DAP kerana berjaya ‘create’ pengikut yang sangat setia seperti Amanah.

Mufti Perlis berhujah mempertahankan kekagumannya yang luar biasa itu dengan iringan suara nyanyian katak dan kodok yang jelas kedengaran, seolah2 sangat bergembira dengan telatah dan gelagat seorang mufti termuda dan paling popular itu.

Hujah Mufti Perlis tentang ‘kesetiaan’ Amanah yang sangat luar biasa ialah apabila pemimpin Amanah diam atau tidak memberi komen tentang pengedaran komik propaganda DAP ke sekolah-sekolah. Hujahnya lagi, pemimpin Amanah diam dalam isu sebahagian pemimpin DAP ditahan kerana menyokong LTTE.

Hujah Mufti Perlis yang paling kuat dan padu ialah apabila Amanah turut sama mengkritik DZN. Saya kira hujah ini membuatkan katak dan kodok terdiam seketika, kemudian menyanyi lagi beramai-ramai keriangan kerana terasa lucu dengan seorang mufti yang cuba menjadi penganalisis politik tanah air. Lucu dan sangat lucu kerana Mufti Perlis sudah ucapkan terlebih dahulu bahawa beliau bukanlah penyokong tegar DZN.

Di sini saya cuba menjelaskan kenapa klip video Mufti Perlis yang diperantarakan moderator Zamri Vinoth (yang pernah ditangkap polis sebanyak 4 kali sehingga Mufti Perlis mendakwa Islam dibuli di Malaysia) itu menjadi kelucuan dan bahan hiburan katak dan kodok. Ia kerana ‘kekaguman’ Mufti Perlis itu sebenarnya hanyalah kerana ‘kejahilan’ beliau sendiri.

Sabar ya.. jangan marah bila saya kata seorang mufti pun jahil. Semua orang tak kira siapa dia, ada segmen kejahilannya. Tak ada manusia yang alim semua perkara. Mufti Perlis alim dalam bidang Asbab Wurud al-Hadith (sebab sesebuah hadis itu diucapkan atau diriwayatkan), kerana itu bidang kajian kedoktorannya. Tetapi dalam bab lain, beliau serupa orang awam biasa saja.

Kejahilan Mufti Perlis yang pertama ialah tentang fiqh siasah atau sains politik. Semua tahu Mufti Perlis tidak pernah merasa pengalaman menjadi ahli politik kepartian dan tidak pernah berpengalaman menubuhkan sebuah parti bernuansa Islam yang terlibat dalam menjayakan penggabungan beberapa entiti parti politik untuk menjatuhkan sebuah rejim politik gabungan juga yang telah berkuasa lebih 60 tahun dan berada di puncak kuasa hegemoni.

Maka Mufti Perlis tidak tahu menilai betapa mahalnya harga sebuah penggabungan yang telah berjaya menumbangkan sebuah kerajaan kleptokrat yang korup dan mencemarkan nama baik sebuah negara yang pernah dijolok sebagai Harimau Asia Tenggara ini.

Bagi Mufti Perlis, tindakan tidak menyokong DZN (yang tersasul mulut di pentas politik Pas itu) dan tidak menyertai gerombolan ‘Sunnah’nya mengecam atau berperang dengan beberapa orang pemimpin DAP adalah tindakan mengkhianat Islam.

Sebab itu apabila saya membuat satu penghantaran FB bahawa sebelum kehadiran DZN pun, dakwah telah lama berlaku di Malaysia dan orang Islam di Malaysia masuk Islam sejak dahulu tanpa wujudnya dakwah debat DZN. Itu fakta yang jelas.

Namun Mufti Perlis tidak mengendahkan fakta itu lalu membuat rakaman skrin posting saya itu dan menghantarkannya dalam grup Sunnah dengan iringan hadis amaran buruknya perbuatan orang munafik yang bercakap dengan bahasa yang sama dan berwarna kulit yang sama dengan orang Islam tetapi menjadi penyeru ke pintu2 neraka jahanam / دعاة إلى أبواب جهنم . Semua ahli grup itu menjadi saksi kenyataan saya ini. Bahkan lebih jauh lagi Mufti Perlis juga pernah mengatakan akidah orang Amanah sama seperti akidah Lim Kit Siang.

Sedangkan semua muslim yang waras dan sederhana tahu bahawa tak bersetuju dengan pendekatan DZN bukanlah bermakna tak bersetuju dengan Islam atau dengan Nabi Muhammad s.a.w. Bahkan ada sahabah yang tak bersetuju dengan pendekatan Nabi s.a.w. dalam beberapa hal ijtihadi pun tidak dimunafikkan atau dilabel berakidah seperti akidah orang kafir.

Tuduhan2 berat Mufti Perlis itu dibuat sebelum kerajaan membuat keputusan akhir terhadap DZN. Selepas kerajaan membuat keputusan DZN boleh kekal tinggal di Malaysia (tetapi tidak boleh berceramah umum) dan Amanah sebagai satu komponen kerajaan sangat bersetuju dengan pendirian rasmi kerajaan, ia tetap tidak dilihat baik oleh Mufti Perlis.

Kalau benar asas kekaguman Mufti Perlis kononnya Amanah sangat taat setia kepada DAP, sudah tentu Amanah membantah keputusan kerajaan dan menyebelahi beberapa pemimpin India DAP. Tetapi itu tidak berlaku, menunjukkan Amanah taat setia kepada kerajaan, bukan kepada DAP. Amanah taat setia kepada Kabinet Malaysia dan walak kepada kepimpinan Tun Mahathir, bukan kepada DAP atau mana2 parti komponen lain. Dan yang paling nyata, Amanah bukanlah parti Sunnah se-Malaysia atau proksi Wahabi dalam kerajaan. Mohon maaf jika selama ini ia diharapkan demikian.

Maka saya faham kenapa katak dan kodok riuh rendah menyanyi ketika Mufti Perlis menjadi penganalisis politik dalam rakaman waktu malam itu. Mufti pun jahil juga dan menampakkan kejahilannya tanpa diminta sesiapa.

Saya fikir saya sudah menjelaskan kejahilan Mufti Perlis tentang sains politik yang diluahkannya sebagai ‘kekaguman’ itu. Sehingga bertemu lagi dalam siri kedua komentar saya terhadap ulasan Mufti Perlis tentang konsep dan gagasan Rahmatan Lil Alamin.

*Penulis adalah  Pegawai Tugas-tugas Khas II Menteri di Jabatan Perdana Menteri