Malaysia Dateline

Apabila nilai-nilai tinggi mula pudar dan hilang

Demokrasi bukanlah sebuah sistem yang sempurna.Ya, benar ia mempunyai kelemahan- kelemahan tertentu. Bagaimanapun, ia boleh dianggap sebagai opsyen yang paling munasabah untuk menyusun atur para aktor politik.

Asas keseluruhan demokrasi boleh dikatakan berkisar kepada mantra ini -menghormati suara massa atau suara rakyat. Di situlah letaknya kekuatannya yang agung.

Bercakap dari sudut sejarah, terma demokrasi itu selalunya dikatakan berasal dari dua terminologi Greek ini iaitu “demos”( rakyat ) dan ” kratos” ( memerintah ). Dua perkataan ini kemudiannya digabungkan bagi mewujudkan kosa kata yang baru iaitu” demokratia”.

Memandangkan demokrasi itu berkait rapat dengan suara rakyat, rakyat telah juga dibawa bersama berpartisipasi dalam proses pemerintahan iaitu secara khususnya dalam proses memilih Kerajaan yang akan kemudiannya mewakili mereka.

Bagaimanapun, perjalanan menuju ke demokrasi itu sendiri tidaklah suatu yang sentiasa lurus dan selamat. Ia agak kerap dicemari oleh terlalu banyak tragedi malahan pertumpahan darah.

Meskipun demokrasi amat menghormati “Vox Populi” atau suara rakyat sehinggalah ia kadangkala hampir disamakan dengan ” Vox Dei” atau suara tuhan, pada peringkat awal perkembangannya , bagaimanapun, tidak semua lapisan rakyat di dalam masyarakat dibenarkan untuk berpartisipasi di dalam pentas demokrasi.

Kaum wanita, misalnya, harus berjuang keras bagi membolehkan mereka dibenarkan berpartisipasi di dalam proses demokrasi.

Di Amerika sendiri -bangsa yang sering dianggap juara dalam membela hak asasi dan demokrasi- hak wanita bagi mendapat kelayakan untuk mengundi hanya berjaya diperolehi dan diiktiraf pada tahun 1920 apabila Kongres akhirnya meratifikasi pindaan ke- 19 Perlembagaan Amerika.

Rakyat Malaysia mula, buat kali pertama merasai buah demokrasi pada tahun 1955 apabila Pilihan Raya Umum yang pertama diadakan. Parti Perikatan telah berjaya memenangi majoriti kerusi yang dipertandingkan. Satu kerusi yang berbaki dimenangi oleh PAS.

Sejak dari itu,pilihanraya umum telah diadakan secara terus menerus sehingga tarikh 9 Mei 2018 iaitu Pilihan Raya Umum yang ke 14.

Kebenaran yang harus dikatakan adalah pilihanraya umum di negara ini malangnya tidak sunyi juga daripada amalan yang tidak adil dan tidak demokratik.

Meskipun demikian, para aktor politik di negara ini kelihatannya masih mampu mempamerkan semangat kesukanan yang agak hebat pada masa lampau. Tiada percubaan serius untuk mencuri mandat rakyat meskipun di sini sana masih boleh kedengaran suara lantang yang memprotes kerana tidak puas hati dengan proses penjalanan proses Pilihan Raya.

9 Mei 2018 telah mencipta sebuah sejarah baru dalam susur galur perkembangan demokrasi di negara ini.Tarikh keramamat itu memeranjatkan banyak negara dan bangsa di dunia ini.Banyak negara maju yang agak terkejut. Mereka tidak pernah terfikir negara seperti Malaysia boleh berjaya melakukan pertukaran rejim melalui sebuah proses yang aman damai iaitu melalui pilihan raya @ saluran demokrasi.

Malangnya kejayaan demokrasi itu hanya mampu bertahan sekejap sahaja.Ia hanya mampu bertahan sekadar 22 bulan sahaja.

Peristiwa ” Langkah Sheraton ” membuka pintu laluan kepada pembentukan sebuah Kerajaan tanpa mandat rakyat buat kali pertama di negara ini. Ia bakal menjadi warisan sejarah yang amat buruk bagi negara ini.

Secara tiba tiba, kita juga dapat melihat kebanjiran
kononnya para pakar perlembagaan yang agak ke depan dalam menafsirkan perlembagaan secara harfiah seolah-olah mereka sedang menafsirkan sebuah warkah wasiat.

Mereka ini nampak agak kelihatan seronok dan gembira melontarkan ke tepi begitu sahaja beberapa prinsip prinsip yang bersalut nilai-nilai yang agung dan tinggi yang terkandung dalam perlembagaan itu sendiri.

Nilai-nilai agung dan tinggi yang tercakup dalam doktrin constitutionalism nampaknya cuba dilupakan begitu sahaja. Kesannya, doktrin ketinggian Perlembagaan tidak lagi dihormati dan ingin dipertahankan.

Dengan penuh hormat, saya mengatakan bahawa perlembagaan persekutuan tidak sama sekali mengiktiraf kewujudan Kerajaan yang tidak ada mandat rakyat.Jika tidak, di mana keperluan adanya beberapa peruntukan di dalamnya berkaitan pilihan raya. Ia akan menjadi tidak berguna,tidak penting dan hanya khayalan semata mata.

Pilihan Raya yang merupakan simbol dan tanda aras penting demokrasi memberi erti kewujudan nilai-nilai agung dan tinggi dalam Perlembagaan.

Secara tersirat, ia juga membawa mesej kepada perlunya kewujudan kerajaan bermandat yang wajib bertanggungjawab sepenuhnya kepada
“vox populi” atau suara rakyat.

Dengan penuh rasa dukacita, saya perlu katakan ini. Sebahagian dari aktor politik dan juga ahli parlimen di negara ini malangnya seolah- olah lupa tugas dan tanggungjawab hakiki mereka.

Mereka kadangkala cenderung merasakan bahawa tugas mereka adalah menjadi pegawai kebajikan semata mata. Sedangkan itu hanya sebahagian daripada tugas mereka itu.

Daripada sibuk dan aktif melakukan tugas hakiki mereka di arena penggubalan polisi, mereka cenderung mensia-siakan kepakaran yang mereka adadalam perkara- perkara lain.

Sebahagian daripada mereka juga lupa dan gagal menyedari bahawa mereka juga bertanggungjawab menyebar luaskan nilai-nilai tinggi di arena politik dan pemerintahan. Itulah, bagi saya “raison d’etre” penglibatan seseorang dalam politik.

Justeru, langkah pertama bagi melakukan hal tersebut adalah dengan tidak mengkrompomi prinsip prinsip politik yang tidak wajar dikompromikan.