Malaysia Dateline

Apabila rakyat Malaysia amat dambakan perubahan

Minggu lalu suasana negara adalah penuh dengan keterujaan. Tidaklah semua rakyat teruja. Sebahagian besar rakyat hanya tertumpu kepada masalah kehidupan harian masing-masing.

Mereka mencari jalan untuk hidup selesa dalam suasana lockdown penuh ini. Suasana sekarang ini merupakan cabaran bagi orang ramai. Mereka yang tidak mempunyai masalah kewangan pun berasa tertekan dengan keadaan ini.

Kebebasan mereka tersekat dan kebosanan beserta kebimbangan juga menghantui dunia mereka. Antara jalan keluar bagi menghadapi keadaan ini ialah dengan mengikut perkembangan dunia melalui media sosial.

Tetapi melalui media sosial terutama kumpulan WhatsApp, mereka tidak akan terlepas daripada berita-nerita politik yang tertular. Mungkin mereka tidak mengambil berat atau memberi perhatian terhadap perkembangan yang berlaku tetapi sekurang-kurangnya pada perkiraan akhir, sebahagian rakyat Malaysia adalah pengundi, yang mana mandat merekalah sesebuah kerajaan ditubuhkan.

Sementara itu, sebilangan besar yang lain sentiasa mengikut perkembangan politik. Pengikut-pengikut perkembangan politik ini terbahagi dua. Mereka yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional dan golongan pembangkang.

Para penyokong kerajaan terdiri daripada lima golongan. Pertama, penyokong PN dengan parti utamanya ialah Bersatu dan Pas. Kedua, penyokong Barisan Nasional yang menyokong kerajaan.

Ketiga, penyokong BN yang menolak kerajaan PN. Keempat, penyokong Gabungan Parti Sarawak. Kelima, orang yang tidak menyokong mana-mana parti tetapi mendukung kerajaan PN.

Dalam golongan inilah terdapat mereka yang menganggapnya sebagai kerajaan Melayu-Islam perlu dipertahankan.

Mereka yang menyokong kerajaan PN mungkin tidak teruja dengan apa yang berlaku minggu lalu. Antara mereka, mungkin ada yang menganggap berita dan maklumat politik yang tertular itu  hanyalah propaganda atau mainan persepsi pendukung-pendukung pembangkang bagi tujuan-tujuan politik.

Sebaliknya bagi pendukung pembangkang, berita-berita yang tertular minggu lalu adalah menarik dan mengujakan, tidak kiralah sama ada ia benar atau tidak. Penyokong pembangkang ada tiga golongan.

Pertama, penyokong Pakatan Harapan. Kedua, penyokong parti-parti pembangkang tetapi bukan penyokong PH. Di dalam golongan inilah terletak penyokong parti Pejuang dan Mahathir Mohamad. Ketiga, golongan yang tidak menyokong mana-mana parti politik tetapi menolak kerajaan PN.

Kemudian, ada satu golongan rakyat yang tidak memihak pada mana-mana parti politik tetapi mereka menganggap kerajaan PN tidak mentadbir dengan baik dalam menghadapi wabak Covid-19.

Realitinya pula ialah minggu lalu sebahagian rakyat Malaysia teruja dengan berita yang tertular berhubung dengan kemungkinannya ada perubahan pada politik negara.

Ia merupakan petanda bahawa rakyat negara ini mendambakan perubahan. Tentulah perubahan kepada keadaan lebih baik daripada sekarang.

Harapan yang sudah berulangkali berkecai sejak negara ini dilanda wabak Covid-19 bermula Februari tahun lalu. Setiap kali harapan itu berkecai, timbul pula sinar baharu, untuk dimusnahkan oleh perkembangan politik yang berlangsung.

Kepercayaan rakyat terhadap adanya harapan kian menipis tetapi tidak terus hilang. Ini kerana tidak ada apa yang boleh mereka lakukan kecuali berharap.

Suasana mengharap ini mungkin berlaku kerana rakyat negara ini tertekan. Apa yang disebut lockdown penuh menjadikan hidup begitu tidak normal. Bukanlah tidak biasa dengan lockdown, iaitu setelah setahun melalui PKP pelbagai peringkat tetapi keadaan begini yang berlarutan ini menyebabkan tekanan ini dirasa begitu berat.

Angka jangkitan virus Covid-19 harian masih tidak menurun dengan mendadak. Kerajaan sudah dipersalahkan. Rakyat pun sudah dipertanggungjawabkan. Jadi apa saja berita yang boleh mencetuskan sinar harapan tentu diterima dengan keterujaan.

Tentulah dengan pengalaman sejak adanya media sosial, banyak berita-berita politiik itu palsu. Sungguhpun begitu harapan tetap digantung terhadap berita berita  itu.

Kadang-kadang dirasakan bahawa mengapa ada orang tergamak untuk menipu dan membuat berita palsu? Begitu juga dengan orang ramai yang menular berita palsu. Tidakkah menipu itu melanggar etika dan ajaran agama?

Seolah-olah kalau mengenai politik, menyebar penipuan adalah sesuatu yang dibolehkan. Ini kerana menipu dianggap taktik dalam politik. Seperti juga pengkhianatan dalam politik. Ia juga dianggap strategi dan dibolehkan.

Tetapi orang menipu dan menyebar berita palsu bukan saja mengenai politik, tetapi dalam hal-hal lain termasuk kesihatan dan agama sendiri. Ada antara mereka yang menipu kerana ia adalah gurauan dan lawak semata-mata.

Seolah-olah melawak dan gurauan membolehkan seseorang itu menipu. Dalam hal agama pun, dari zaman berzaman, ia juga tidak terlepas dari penipuan, kalau tidak masakan muncul hadis-hadis palsu.

Keterujaan minggu lalu berkaitan dengan pertemuan Yang di-Pertuan Agong dengan ketua-ketua parti politik. Sebelum peristiwa itu berlaku, mulalah tertular bahawa sesuatu yang besar akan berlaku pada minggu lalu.

Di penghujung minggu, tertularlah cadangan penubuhan Majlis Gerakan Negara yang dikemukakan oleh Mahathir. Maka tentulah ia menjadi perdebatan antara pelbagai pihak politik.

Bagi mereka yang memegang kuasa tentulah mahu mempertahankan kedudukannya. Begitu juga pada pihak yang mahu mendapatkan kuasa, kehendak mereka untuk memperolehnya dapat difahami.

Tetapi bagi rakyat yang berada di luar orbit politik, mereka mahukan perubahan daripada keadaan sedia ada. Keutamaannya adalah untuk mengatasi wabak Covid-19 dan diikuti dengan keseimbangan ekonomi.

Tetapi pada keseluruhannya, rakyat Malaysia mahukan kebangkitan semula negara ini. Mereka mahukan semangat baharu. Keadaan sekarang tidak boleh dilanjutkan. Kerajaan yang ada pastinya akan cuba lagi untuk memenuhi kehendak rakyat. Tetapi pada waktu ini, keyakinan rakyat terhadap mereka sudah kian tipis dan mungkin sudah hilang.

Tempoh darurat akan berakhir pada Ogos ini. Tujuan darurat pula adalah untuk menangani wabak Covid-19 ini. Tetapi kalau wabak ini masih tidak dapat diatasi maka kemungkinannya ialah darurat ini akan dilanjutkan.

Negara ini mempunyai sistem demokrasi dan perundangan yang memberi jalan bagi rakyat Malaysia dapat mengatasi segala bentuk masalah yang dihadapi. Termasuklah dalam soal menghadapi wabak penyakit. Juga dalam soal bagaimana darurat dilaksanakan.

Tetapi dalam perkiraan akhir, ia bukan soal sistem dan peraturan semata-mata. Lebih penting lagi ialah peranan manusia yang terlibat dengan sistem itu. Apa yang lebih penting ialah sikap dan cara mana seseorang pemimpin menggunakan sistem dan peraturan yang ada untuk kebaikan rakyat.

Walaupun banyak pihak termasuk PH dan PN menolak cadangan Mageran yang dikemukakan oleh Mahathir tetapi terdapat satu mesej yang beliau sampaikan. Cadangan bagi membentuk Mageran itu boleh dipertikaikan atau dikritik tetapi ia boleh diambil pengajaran daripadanya.

Mesej itu ialah negara atau sesiapa yang memegang kuasa mestilah kreatif untuk menyelesaikan masalah. Atau sekurang-kurangnya itu dapat menghimpun satu pasukan kreatif.

Tetapi kreatif pun tidak mencukupi. Ia mesti berkesan. Ia juga ada tempoh. Rakyat tidak akan sabar. Jika sesuatu cara tidak berkesan, satu cara baharu mesti dikemukakan dan dilaksanakan. Rakyat sentiasa menuntut perubahan. Zaman moden ini adalah era demokrasi berinternet. Sesebuah kerajaan tidak boleh gagal.

Rakyat mungkin tidak boleh menggambarkan Mahathir menjadi perdana menteri kali ketiga. Zaman beliau sememangnya sudah berlalu. Tetapi idea, sikap dan semangat beliau wajar dijadikan pengajaran dan panduan.