Malaysia Dateline

Apabila Sudan mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel

Pengumuman bahawa Sudan bersetuju untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel adalah satu tamparan besar bagi bukan saja umat Islam tetapi juga untuk penyokong-penyokong perjuangan Palestin.

Penulis tidak memperolehi cukup maklumat mengenai proses bagaimana akhirnya Sudan bersetuju mengiktiraf Israel dan mengadakan hubungan diplomatik dengan negara Zionis itu. Tetapi tentunya maklumat itu kini mudah dicari melalui Internet bagi penganalisis dan pemerhati antarabangsa muda khususnya di kalangan media gerakan Islam.

Dari awal tahun 1980-an lagi, penulis mengikuti perkembangan di Sudan, Timur Tengah, Palestin dan dunia Islam untuk menulis mengenainya dari sudut pandangan gerakan Islam. Ketika itu sumber maklumat amat terhad, iaitu hanya dari bahan bercetak iaitu akhbar, majalah dan buku. Setelah 40 tahun berlalu, wajarlah peranan mengulas isu-isu antarabangsa ini dilanjutkan oleh penguls-pengulas muda, sama ada dari kalangan ahli akademik, wartawan mahupun aktivis.

Lebih-lebih kini dengan mudah dan banyaknya mklumat, pengulas muda mampu mencerap lebih mendalam dan pelbagai berbanding pada tahun-tahun 1980-an. Cumanya suasana dan semangat pada tahun 202-ian sudah jauh berbeza dan menuntut penilaian semula. Persoalan adakah gerakan Islam itu masih wujud dan apakah pengajaran yang diperolehi sejak 40 tahun lalu? Tahun 1980-an adalah ketikanya kebangkitan semula Islam berlaku, sedangkn kini perbincangannya adalah mengenai pencpaian, kegagalan dan masa depan gerakan Islmm

Tetapi melihat Presiden Donald Trump dengan angkuhnya mengumumkan perkembangan itu, tentunya para pendokong perjuangan Palestin pasti berasa tersinggung hati. Bagi Trump, ia merupakan kejayaannya untuk mewujudkan perdamaian di Timur Tengah. Menurutnya lagi, akan ada lagi negara Arab yang akan mengadakan hubungan diplomatik dengan rejim Tel Aviv pada minggu-minggu berikutnya.

Sejak Trump memulakan usaha ini, dua negara Arab yang telah membuat demikian ialah Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain. Penulis menjangkakan negara-negara Arab lain yang akan mengikut jejak mereka ialah yng terletak di Teluk Parsi yang Kuwait, Qatar dan kemuncaknyanya, Arab Saudi memandangkan kesemuanya adalah sekutu Amerika.

Sementara negara lain yang berada di luar rantau itu dijangka turut serta ialah Libya yang kini dikuasai oleh Amerika serta juga rejim Yaman yang merupakan sekutu Arab Saudi.

Sebelum inisiatif Trump ini, negara Arab yang sudah sedia mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel ialah Jordan, Mesir dan Maghribi yang mempunyi sejarah politik masing-masing untuk mereka menjadi demikiaan.

Hubungan diplomatik Turki dengan Israel pula adalah dalam konteks negara itu sebagai anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang secara tradisi merupakan sekutu Amerika untuk menghalang pengaruh Rusia, dahulunya Soviet Union.

Tetapi dalam susunan geopolitik serantau hari ini, persaingan yang berlaku adalah antara Arab Saudi dan Iran. Dengan Amerika dan Israel bersekutu dengan Arab Saudi sementara Syria adalah bersama Iran. Turki di bawah Reccep Tayyip Erdogan mempunyai peranan tersendiri.

Negara-negara di Teluk Parsi iaitu Arab Suidi, Kuwait, Bahrain, Qatar dan UAE merupakan anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang sememangnya sejak dari tahun 1980-an adalah golongan konservatif kanan yang bersekutu dengan Amerika dan gelagat politik mereka boleh difahami dan dijangka.

Tetapi tidak Sudan. Selepas Perang Dunia Kedua, Republik Sudan muncul sebagai negara radikal nasionalis kiri Arab yang menolak pengaruh Amerika. Ia bersama dengan Mesir, Iraq, Syria, Yaman Selatan dan Libya pernah satu masa menyertai gagasan Republik Arab Bersatu (UAR) bertujuan menyatukan dunia Arab di bawah fahaman yang dikemukakan oleh Presiden Gamal Nasser. Maka ketika itu pendirian mereka adalah jelas untuk membebaskan Palestin. Di peringkat global pula, mereka adalah sekutu Soviet Union.

Apabila berlaku kebangkitan semula Islam pada lewat 1970-an, Sudan muncul sebagai negara pertama yang mengisytiharkan dirinya sebagai Negara Islam untuk melaksanakan syariah, iaitu lebih awal daripada Iran sendiri. Penulis pernah memperolehi teks perlembagaan untuk itu, yang dikirim oleh kedutaan Sudan di Kuala Lumpur.

Pada tahun 1980-an itu penulis membaca mengenai Sudan daripada Arabia, sebuah majalah yang diterbitkan di London dan dibiayai oleh seorang ahli perniagaan Arab Saudi. Majalah itu bertujuan untuk menjadi suara media dunia Islam setanding Time dan Newsweek. Majalah Barat tidak akan menyiarkan laporan-laporan mengemai dunia Islam. Malah penulis sempat bertemu dengan wartawan yang menulis laporan itu, yang merupakan seorang warga Sudan apabila beliau mengunjungi Kuala Lumpur.

Selepas tumbangnya Kekhalifahan Uthmaniah, umat Islam melihat Arab Saudi sebagai Negara Islam yang mengamalkan Syariah. Tetapi Arab Saudi adalah sebuah negara beraja konservatif yang dilihat tidak progresif dan moden untuk dijadikan contoh ketika itu.

Negara pertama yang mengisytiharkan dirinya sebagai Republik Islam ialah Pakistan. Idealisme Pakistan bukan saja untuk menjadi negara Muslim India tetapi adalah sebagai negara Islam contoh, moden dan progresif. Tetapi sejarah menunjukkan Arab Saudi dan Pakistan gagal untuk muncul sebagai model bagi negara-negara Islam lainnya.

Ada satu masa sebelum Revolusi Iran, sebahagian kalangan umat Islam melihat Libya di bawah Muammar Gaddafi sebagai model. Mereka mengharapkan gagasan Buku Hijau beliau sebagai satu resipi bagi menegakkan negara Islam pada zaman moden yang progresif, adil dan berkebajikan. Buku Hijau turut banyak diedarkan di negara ini.

Ketika kebangkitan semula Islam muncul pada penghujung tahun 1970-an, berlaku kerjasama antara Presiden Jaafar Numeiry dan pemimpin Ikhwanul Muslimin Sudan, Hassan Turabi. Negara itu diisytiharkan sebagai republik Islam yang melaksanakan Syariah. Gambar yang disiarkan oleh media antarabangsa ialah Jaafar membuang arak ke sungai.

Selepas Sudan, barulah Iran menjadi Republik Islam ekoran Revolusi Islam dan diikuti dengan Afghanistan apabila Mujahidin dapat mengalahkan rejim komunis negara itu untuk menubuhkan sebuah emiriah.

Tetapi setelah 40 tahun berlalu, projek Afghanistan itu adalah suatu kegagalan. Iran pula tidak boleh dijadikan contoh. Paling malang ialah Sudan. Negara itu terperangkap dengan perang saudara dan keganasan serta kehilangan wilayahnya apabila Sudan Selatan diisytiharkan merdeka dan menjadi sebuah negara majoriti Kristian.

Pada tahun 2019. dengan kesusahan yang begitu lama, rakyat Sudan keluar ke jalan raya untuk menuntut demokrasi dan kehidupan lebih baik. Sepanjang 2020, Sudan segera berubah. Ia membatalkan pelaksanaan Syariah. Kerajaannya bersetuju untuk membayar pampasan pada Amerika terhadap kerosakan akibat keganasan. Amerika juga bersetuju mengeluarkan Sudan daripada senarai negara pengganas. Negara lain yang masih dalam senarai ini ialah Iran, Syria dan pertubuhan Hamas.

Tangan CIA adalah ketara dalam perkembangan ini. Tetapi Trump berjaya melakukan apa yang Ronald Reagan, George Bush, Bill Clinton, George W Bush dan Barack Obama gagal. Sedangkan Trump tidak mempunyai pengetahuan dan pemahaman megenai dasar luar berbanding presiden terdahulu. ditambah pula bahawa kepimpinannya yang kacau-bilau.

Namun dari awal lagi Trump komited dengan doktrin ketuanan kulit putih Amerika yang mendukung kepentingan Yahudi dan Israel. Beliau bertindak secara tidak konvensional tetapi untuk itu dijangka mampu meraih undi bagi pilihan raya presiden November ini.

Doktrin Trump adalah kerjasama erat sekutu Amerika di Timur Tengah iaitu Israel dan Arab Saudi untuk menyekat Iran. Baginya, apa yang penting bagi Palestin bukannya sebuah negara tetapi perdamaian. Dalam percaturan ini Israel bukan saja selamat tetapi mampu berkembang sementara Iran dapat dikepung. Masalah Palestin, Yaman dan Syria akan diselesaikan kemudian.

 

Penulis berpengalaman luas dalam dunia kewartawanan sejak awal 1980-an, bekas pengarang Mingguan Malaysia, bekas pengarang kumpulan Harakah dan pernah menerbitkan majalah Dunia Islam.