Malaysia Dateline

Apabila wakil rakyat singgah warung jamah bihun sup…

Aksi bersahaja Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menghadap semangkuk bihun sup di kawasan diwakilinya menarik perhatian warga maya.

Dikongsikan di Facebook rasminya, hampir 10,000 pengguna media sosial itu meninggalkan tanda ‘suka’, ‘sangat suka’ dan ‘prihatin’ hanya dalam tempoh sejam gambar itu dimuat naik.

“Singgah makan tengahari sat di Warung Kak Jah, Sungai Semambu. Alhamdulillah, bihun sup utara Kak Jah memang sedap!

“Jemput singgah kalau mai,” tulisnya diakhiri dengan #PermatangPauh.

Nurul Izzah yang merupakan anak sulung kepada pasangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dilihat lama ‘hilang’ dari radar politik tanah air.

Wakil rakyat berusia 41 tahun tersebut sebelum ini mengkritik kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dianggap lembap dalam usaha mengotakan janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau juga menggemparkan politik tanah air apabila melepaskan semua jawatan di dalam PKR termasuk Naib Presiden dan Pengerusi PKR Pulau Pinang pada Disember 2018.

Bagaimanapun, Nurul Izzah menafikan dakwaan penarikan diri di dalam parti atau sebarang jawatan disebabkan kecewa dengan politik kepartian.

Sebaliknya, bekas wakil rakyat Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan itu berkata lebih selesa menjalankan tugas membantu rakyat sebagai Ahli Parlimen.

Nurul Izzah turut meletak jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang ketika itu dipengerusikan oleh wakil dari parti kerajaan PH, dan timbalannya juga Ahli Parlimen kerajaan.

Walhal, PH dalam manifestonya mahu Pengerusi PAC diisi oleh Ahli Parlimen pembangkang.

Dalam wawancara akhbar Singapura, The Straits Times pada Mac 2019, Nurul Izzah menyifatkan Dr Mahathir sebagai bekas diktator dan mengakui sukar bekerja dengannya.