Sebenarnya tidak ada rahsia berkaitan pembubaran DUN Melaka. Tiada gosip atau sembang kencang. Cuma bagi orang biasa mungkin tidak dapat nampak permainan ini. Bagi peguam pun mungkin tidak dapat nampak kecuali jika ditilik dan diteliti satu persatu.
Isunya adalah pembubaran dibuat pada 4 Okt. Permintaan untuk pembubaran adalah pada 4 Okt selepas sidang media Idris Haron dan kawan-kawannya pada pagi 4 Okt. Sidang media Idris Haron dan kawan-kawannya pada 4 Okt.
Pengumuman pembubaran pada 5 Okt oleh Speaker DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. Kata Speaker, warta akan diterbitkan pada 5 Okt (sehingga kini saya belum lihat warta itu, sesiapa yang ada boleh tolong share). SPR pula keluarkan kenyataan pembubaran itu dibuat di bawah Per. 19(2) Perlembagaan. Per. 19(2) adalah merujuk kepada kuasa TYT untuk bubarkan DUN.
Manakala permintaan Ketua Menteri untuk bubarkan DUN sekiranya beliau hilang kepercayaan majoriti ahli DUN adalah di bawah Per. 7(4) dan bukan 19(2).
Jadi kesimpulan yang kita boleh buat:
1. Ketua Menteri telah pohon pembubaran dengan mengutus surat kepada TYT berikutan penarikan kepercayaan oleh Idris Haron adalah pada 4 Okt.
2. TYT bubar DUN selepas menerima surat itu setelah menimbangkannya.
3. Timbul juga persoalan, kenapa perlu gopoh gapah sangat nak bubar DUN. Tidakkah pihak TYT terfikir untuk consult KKM, polis, pejabat penasihat undang-undang, SPR dan lain lain untuk pertimbangan?
4. Kenapa dikatakan pembubaran itu dibuat di bawah Per. 19(2) dan bukannya Per 7(4)? Kenapa TYT tidak terlebih dahulu berjumpa dengan pihak yang ada majoriti untuk mendapatkan gambaran penuh dan membuat pertimbangan wajar?
5. Speaker tidak ada kena mengena dengan permintaan untuk bubarkan DUN. Tetapi Speaker telah menyibukkan dirinya dalam hal yang dia tiada kaitan. Bukan fungsi Speaker pun hendak isytihar bubar DUN. Speaker ini fungsinya dalam DUN sahaja dan bukan di luar DUN. Apakah ada silap mata di situ kita tidak tahu.
6. Sebab itu jika Adly ingin bawa kes ini ke Mahkamah untuk cabar proses pembubaran itu adalah wajar kerana hanya melalui proses ini sahaja kita dapat tahu cerita sebenar. Sebab nanti perlu ada afidavit-afidavit yang difailkan. Dan jika ada pertentangan fakta mungkin boleh ada sesi soal balas lisan pula. Isu ini bukannya perkara remeh kerana ianya melibatkan isu perlembagaan.