Malaysia Dateline

Apakah BN, Pas, Bersatu bertanding secara langsung di Sarawak?

Terdapat ura-ura mengatakan bahawa Barisan Nasional (BN) Parti Islam Se-Malaysia (Pas) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan meletakkan calon masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak.

Ini diperkuatkan lagi apabila BN pernah menurunkan calon secara langsung seperti yang berlaku pada PRN11 2016 yang mana Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) , Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) pernah bersama BN ketika itu.

Bagaimanapun, selepas BN tumbang pada Pilihan Raya Umum(PRU) Ke-13 pada 2018, PBB, SUPP, PRS dan PDP telah keluar daripada BN sekali gus membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Langkah Sheraton pada 21 Februari 2020, GPS mengambil keputusan bersekongkol bersama BN termasuk Pas serta Bersatu telah berjaya menumbangkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang secara demokrasi dipilih rakyat semasa PRU13.

Lanjutan itu, GPS sekali lagi menjadi ‘King Maker’ kepada kerajaan baharu selepas Tan Sri Muhyiddin dari Bersatu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan digantikan dengan Datuk Seri Ismail Sabri iaitu gabungan BN dan Perikatan Nasional (PN).

Tetapi yang menariknya pimpinan GPS termasuk Pengerusinya yang juga Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meyakinkan bahawa GPS bukanlah sebahagian daripada gabungan Muafakat Nasional(MN) atau PN.

Bagaikan ‘terang lagi bersuluh’ dengan kenyataan penafian demi penafian itu akhirnya memakan diri apabila kini ada ura-ura BN, Pas dan Bersatu bakal meletakkan calon yang ditandingi GPS pada PRN12 kali ini.

Andai benar berlaku penentangan secara terang-terangan oleh BN, Pas dan Bersatu di kerusi yang ditandingi GPS, maka pengundi di Sarawak boleh menilai bahawa siapa yang sebenarnya ‘rakus’ mendapatkan kuasa?

Atau siapa sebenarnya GPS di mata BN, Pas dan Bersatu walaupun sudah dua kali di posisi yang sama dalam membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan?

Dengan BN memiliki reputasi cemerlang pada PRN Melaka baru-baru ini selepas meraih 21 daripada 28 kerusi DUN dipertanding,kan, maka adalah jelas bahawa pengundi masih lagi melihat logo ‘dacing’ sebagai pilihan.

Justeru, adalah tidak keterlaluan dikatakan jika pengundi di Sarawak masih lagi memilih logo dacing pada PRN12 kelak.

Bagi Pas pula, hasrat mencipta sejarah untuk memenangi kerusi sulung di negeri ini semakin membara apatah lagi di kubu kuat mereka di Beting Maro.

PAS diuar-uarkan akan bertanding di 11 kerusi iaitu di DUN Kemena, Beting Maro, Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Jepak, Lambir, Pujut dan Samalaju.

Bulan lalu, seorang pemimpin PAS Sarawak pernah memaklumkan bahawa tujuan utama bertanding pada PRN 12 ini bukanlah untuk mengganggu GPS namun ia hanya disifatkan sebagai menghidupkan amalan demokrasi.

Sementara itu, Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengesahkan belum menerima sebarang jemputan daripada Parti Bersatu bagi membincangkan PRN12 kali ini.

“Saya tidak tahu (mengenai perbincangan itu). Kita tengoklah nanti, jika ada jemputan, apa tujuan perbincangan itu,” tegasnya semalam.

Kelmarin, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan parti komponen PN dan GPS untuk menentukan strategi serta persiapan menghadapi PRN Sarawak.

Ditanya jika Bersatu meletakkan calonnya pada PRN Sarawak, Abang Johari berkata itu hak mereka namun GPS kekal dengan keputusan untuk bertanding di semua 82 kerusi DUN.

“Biarlah mereka (Bersatu) tetapi kita (GPS) tetap dengan keputusan kita,” katanya.

Maka, melihat perkembangan mutakhir ini adalah tidak menghairankan jika BN, PAS dan Bersatu akan menampilkan calon-calon masing-masing seperti yang berlaku pada PRN Melaka tempoh hari berulang lagi di PRN12 Sarawak kelak.

Apa pun, segalanya akan terjawab apabila berlangsung Hari Penamaan Calon pada 6 Disember nanti.