Malaysia Dateline

Apakah gelaran ‘Datuk Seri’ samseng akan ditarik balik? Tidak…

Saya tidak ulas lebih awal peristiwa seorang majikan “samseng” berbangsa Cina merotan dua orang “kuli” beragama Islam kerana berpuasa sebab saya hendak tunggu kesudahan siasatan polis.

Dalam keadaan di mana cerita polis terlibat dengan samseng bukan cakap-cakap mulut lagi, kita tidak boleh menolak kemungkinan kes ini didiamkan atau dua orang pekerja Muslim itu memaafkan tauke mereka dan kes ditutup begitu saja.

Sekarang bolehlah saya ulas oleh sebab tauke Cina bersama seorang pembantunya telah dituduh di Mahkamah. Chung Chee Yang, 43, didakwa dengan lima pertuduhan manakala pembantunya, Choo Hin Voon, juga 43, dua pertuduhan.

Maaf cakaplah, bagi saya majikan yang melayan pekerja mereka macam hamba abdi adalah samseng dan dua orang pengawal peribadi berbadan “sendo” yang merelakan diri mereka dirotan macam budak-budak itu adalah jenis kuli. Dalam bahasa Inggeris coolie. Dua pengawal yang dirotan dan diacukan pistol itu adalah Mohd Azminizam Zulkepli, 44, dan Ahmad Shamsuri Zailani, 27. Kalau ikut nama, besar kemungkinan mereka Melayu.

Inilah antara kesudahan kepada kedaifan ekonomi dan integriti orang Melayu. Ada yang bersedia menjadi kuli dan merelakan diri mereka diperlakukan seperti hamba abdi.
Jenis Melayu yang malukan bangsa.

Nampaknya zaman bos pukul kuli macam peladang kulit putih memebelasah hamba kulit hitam di Amerika beratus tahun lalu masih diamalkan di Malaysia. Pelik tapi benar.

Kalau kita tidak mahu perhambaan bentuk baru (neo-slavery) ini berakar umbi di Malaysia maka polis, Pendakwa raya dan para Hakim Yang Arif wajib memandang berat dan bertindak tegas ke atas “slave masters” dan “mistresses” baru ini.

Dalam masyarakat makjuk Malaysia, kejadian seperti ini sepatutnya tidak berlaku kerana ia boleh menyemarakkan sentimen perkauman. Serentak itu, Kementerian Dalam Negeri dan DPRM wajib memperketatkan syarat-syarat pengeluran lesen senjata api dan bertindak tegas terhadap anggota polis yang bersekongkol dengan sindiket jenayah.

Dalam kes “fugitive” (pelarian jenayah) Nicky Liow Soon Hee pula, seorang anggota polis berpangkat ASP telah ditahan di bawah SOSMA. Dia ditahan bagi membantu siasatan berhubung kumpulan jenayah terancang yang diketuai oleh Datuk Seri tersebut.

Banyak juga penggiat media sosial bertanya mengapa gelaran “Datuk Seri” “fugitive” itu tidak ditarik balik? Jawapannya boleh jadi kerana terhutang budi. Lagi pun kalau gelaran itu ditarik balik, pengumuman terpaksa dibuat dan pecahlah rahsia Raja atau Gabenor mana yang bagi bintang itu.

Demikianlah adanya. Terima kasih.