Malaysia Dateline

Apakah Ismail Sabri PM proksi kepada Mahiaddin?

Belum pun Ismail Sabri Yaakob dilantik lagi sebagai Perdana Menteri yang baharu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Mahiaddin Md Yasin sudah pun mengeluarkan kenyataan medianya petang tadi.

Antara intipatinya kenyatan media beliau ialah:

⁃ 50 Ahli Parlimen PN sebulat suara menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri.

⁃ Memaklumkan peranan beliau dalam mengusahakan supaya Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak dan Parti Bersatu Sabah (PBS) di Sabah mengambil pendekatan yang sama.

⁃ Ingin memastikan Ismail Sabri terus melaksanakan dasar-dasar kerajaan PN sebelum ini.

– Memaklumkan sokongan PN kepada Ismail Sabri adalah sokongan bersyarat.

⁃ Antara syarat itu ialah tidak mahu kluster mahkamah diberi sebarang kedudukan dalam kerajaan.

Apakah tujuan Mahiaddin mengeluarkan kenyataan media begitu awal begini, sedangkan Agong belum pun memutuskan lagi pelantikan Perdana Menteri yang baharu?

Adakah Mahiaddin ingin memberitahu Umno bahawa Ismail Sabri adalah calon Perdana Menteri proksinya?

Adakah beliau mahu memberitahu bahawa kerajaan yang wujud yang diketuai Ismail Sabri selepas ini mesti kerajaan PN, bukan apa-apa kerajaan lain selainnya?

Adakah Mahiaddin ingin memberitahu Ismail Sabri bahawa sokongan GPS dan PBS adalah turut diusahakan olehnya dan oleh itu, mesti ada rasa terhutang budi kepadanya?

Seterusnya dengan memberi syarat-syarat tertentu itu, adakah Mahiadddin melalui PN sedang mengancam Ismail Sabri bahawa mereka juga boleh menarik sokongan terhadapnya sebagaimana Umno berbuat demikian sebelum ini jika ada syarat-syarat yang ditetapkan PN tidak dipenuhi?

Nampaknya, jika benar akhirnya Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri, kenyataan media Mahiaddin ini adalah petanda pergolakan dan berantakan sesama sendiri dalam kerajaan PN 2.0 nanti semakin sukar untuk dielakkan.

Mampukah Ismail Sabri dan Umno yang hanya ada 38 kerusi di belakangnya bertahan dengan tekanan PN yang punya 50 kerusi?