Malaysia Dateline

Apakah kenyataan Takiyuddin berpotensi sebagai “lawak jenaka teristimewa abad ini”

Saya telah sempat membaca keseluruhan kenyataan media rasmi YB Menteri Undang-Undang bertarikh 20 hb April 2021.

Jujurnya, saya tidak begitu pasti adakah kenyataan media itu mampu meyakinkan rakyat atau makin menambahkan lagi kebencian rakyat kepada Kerajaan Tebuk Atap yang ditubuhkan tanpa mandat rakyat ?

Saya juga tidak begitu pasti adakah kenyataan itu berpotensi untuk dilabelkan sebagai ” lawak jenaka teristimewa abad ini” ?

Untuk berlaku adil, saya harus katakan di sini, ya, benar tidak sukar untuk rakyat menerima kenyataan beliau bahawa Kerajaan PN ada mengambil langkah- langkah tertentu yang beliau katakan perlu bagi memerangi wabak Covid-19.

Bagaimanapun, beliau juga, bagi saya, harus bersikap jujur mengakui adakah semua langkah itu telah berjaya meyakinkan rakyat apatah lagi para pelabur-tempatan atau asing-ia adalah perlu untuk memerangi Covod-19 atau ianya adalah perlu bagi menyelamatkan survival atau kelangsungan kehidupan politik kerajaan tebuk atap itu sendiri?

Kita ambil contoh misalnya langkah untuk meletakkan negara dalam keadaan darurat. Dengan digubal beberapa Ordinan Darurat tanpa melalui Parlimen dan secara jelas menggantung Parlimen dan Dun-dun, adakah langkah tersebut boleh ditafsirkan sebagai langkah-langkah yang perlu, jauh sekali munasabah?

Memandangkan YB Menteri Undang-Undang ini adalah seorang Ahli Parlimen di negeri Kelantan, menurut hemat saya, beliau seharusnya lebih berhati hati dan ada rasa malu untuk meminta para pengamal undang-undang untuk bertindak mengikut lunas undang -undang dan dan memberikan pencerahan dan kefahaman tentang undang-undang kepada masyarakat.

Tidaklah beliau sedar bahaw semasa undang-undang darurat di Negeri Kelantan ingin digubal, undang-undang tersebut telah melalui proses semak imbang di Parlimen. Ya, ianya dibentangkan, dibahas dan diluluskan di Parlimen!!!

Untuk makluman YB Menteri, hakikatnya apa yang telah dan sedang dilakukan oleh pengamal undang-undang di negara ini adalah memberikan pencerahan dan kefahaman undang-undang sebenar kepada masyarakat bahawa amat tidak perlu Kerajaan bertindak bagi menasihati YDPA untuk mengisytiharkan darurat, meluluskan Ordinan Darurat tanpa sebarang perbahasan di Parlimen dan membenarkan Parlimen digantung.

Sebagai satu contoh, berdasarkan undang-undang, adakah bukan dikira satu amalan diskriminasi yang bercanggah dengan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan apabila ada beberapa institusi lain selain Parlimen yang dibenarkan untuk beroperasi semasa darurat sedangkan institusi Parlimen pula masih tidak dibenarkan beroperasi?

Saya memohon bertanya kepada YB Menteri, adakah Kerajaan yang ada sekarang ini tidak lagi rasa bahawa Parlimen sewajarnya terus berperanan sebagai institusi semak dan imbang apabila Kerajaan tidak lagi merasa bersalah boleh meluluskan beberapa polisi dan undang-undang tanpa melalui proses semak imbang di Parlimen?

Adakah Kerajaan tidak rasa bersalah dengan penggantungan fungsi semak imbang Parlimen itu pada masa ini, hakikatnya nasib dan kepentingan rakyat yang sedang dipertaruhkan.

Dengan tindakan terkini yang Kerajaan PN sifar mandat ini lakukan iaitu meluluskan sebuah lagi ordinan darurat iaitu Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 dengan memasukkan subseksyen baru kepada seksyen 6 iaitu membenarkan kumpulan wang amanah atau wang dari Dana Amanah digunakan bagi tujuan “pemperolehan vaksin dan segala perbelanjaan yang berkaitan dengan vaksin…” di mana Ordinan ini boleh dan telah diluluskan tanpa sebarang perbahasan jauh sekali melalui pengundian di Parlimen, di mana fungsi Parlimen?

Adakah YB Menteri Undang-Undang tidak merasa bersalah atau berdosa membiarkan wang rakyat di dalam Kumpulan Wang Amanah Negara tersebut boleh digunakan sewenang -wenangnya tanpa perlu terlebih dahulu ianya tertakluk kepada satu proses semak imbang yang “rigid” di Parlimen ?

Dilaporkan bahawa setakat hujung tahun 2017, nilai harta di Kumpulkan Wang Amamah Negara tersebut – yang diuruskan oleh Bank Negara itu- berjumlah RM 16.9 bilion.

Adakah nilai harta selumayan itu begitu mudah boleh diluluskan tanpa perlu melalui sebuah proses semak imbang di Parlimen?

Jika di media sekarang ini agak rancak dilaporkan dan didedahkan butiran penghujahan pihak pendakwa tentang penggunaan wang dari Kumpulan Wang Amanah Pencen ( KWAP) dalam kes yang melibatkan mantan Perdana Menteri , tidakkah YB Menteri rasakan rakyat juga berhak mahukan Ahli Parlimen yang mereka pilih melalui pilihanraya melindungi “keselamatan” wang dari Kumpulan Wang Amanah Negara ( KWAN) dengan berbahas di Parlimen?

YB Sepang.

22 April 2021
10 Ramadan 1442 hijrah.