Malaysia Dateline

Apakah komen dan kritik kerajaan dianggap berita palsu?

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil mempersoalkan apakah asas Jabatan Penerangan Malaysia mengklasifikasikan kritikan terhadap kerajaan dan pemimpinnya boleh disifatkan sebagai berita palsu.

Dalam muatnaik di Facebooknya hari ini Fahmi berkata, beliau agak risau bila membaca grafik Jabatan Penerangan Malaysia semalam berkenaan ‘berita palsu’ (fake news), khusus bab ‘menanam kebencian terhadap kerajaan pemerintah dan pemimpin’ adalah satu bentuk berita palsu.

“Apakah Akta yang menjadi asas kepada takrifan ‘berita palsu’ seperti yang digunakan di sini?

“Adakah Kerajaan berkata kita tidak lagi boleh komen atau marah bila ada menteri yang kata air suam boleh bantu bunuh virus Covid-19?” soal beliau.

Kata beliau, adakah menteri tidak boleh dikrtitik sekiranya beliau membazirkan alat pelindung diri (PPE) dan ia ditegur para doktor, atau apabila menteri mengajak mahasiswa bermain TikTok.

Begitu juga katanya apabila ada grafik Kerajaan yang mengajak isteri menegur suami dengan menggunakan nada Doraemon.

“Yang betul tetap betul. Yang salah perlu ditegur.

“Kita semua mahu bersama melawan Covid-19. Kita semua mahu selamatkan ekonomi negara.

“Tapi kita semua juga mahu bersuara bila wujud keperluan untuk bersuara. Ini bukan perkara palsu,” kata Pengarah Komunikasi PKR itu.

Baru-baru ini Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mendapat kritikan yang meluas apabila beliau mengeluarkan kenyataan bahawa meminum air suam boleh membantu membunuh virus Covid-19.

Terbaharu, idea kontroversi menganjurkan pertandingan Tik Tok, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad, mendapat kecaman warga internet kerana beliau sepatutnya bersikap lebih sensitif menangani isu-isu melibatkan kepentingan mahasiswa dalam tempoh krisis wabak Covid-19 .