Malaysia Dateline

Apakah Mahiaddin sah ketika angkat sumpah PM, Peguam Negara diminta jelaskan

 Peguam Negara Datuk Seri Idris Harun diminta memberikan penjelasan apakah Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin telah mengangkat sumpah dengan nama yang betul dan jika tidak apakah beliau perlu mengangkat sumpah sekali lagi.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri. Lim Kit Siang berkata, memorandum Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Marzuki Mohamah, kepada semua penjawat awam untuk menggunakan nama sah Perdana Menteri, Mahiaddin Bin Md Yasin untuk semua dokumen kerajaan menimbulkan persoalan sama ada Muhyiddin, yang juga dikenali sebagai Mahiaddin, perlu mengangkat sumpah semula di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Perkara ini katanya, juga menimbulkan persoalan sama ada Muhyiddin, yang juga dikenali sebagai Mahiaddin, telah mengangkat sumpah secara betul sebagai Ahli Parlimen Pagoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri Gambir.

“Mungkin Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun boleh memberikan penjelasan,” kata veteran Parlimen DAP itu.

Beliau juga perlu menjelaskan, mengapa tindakan pembetulan ini hanya diambil dua bulan setengah selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak perintah tahanan pencegahan yang ditandatangani dengan nama Muhyiddin semasa beliau merupakan Menteri Dalam Negeri, kata Kit Siang dalam satu kenyataannya.