Apakah MCMC akan beri arahan tarik balik tulisan memfitnah saya, tanya Lim Kit Siang

Apakah MCMC akan beri arahan tarik balik tulisan memfitnah saya, tanya Lim Kit Siang

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang berkata, Raja Petra Kamaruddin didapati patuh pada arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan telah menarik balik tiga artikel berkaitan ahli perniagaan Robert Kuok di laman web Malaysia Today.

Ia kerana tiga artikel berkenaan dikatakan melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Kata Lim Kit Siang, Robert Kuok bukanlah satu-satunya mangsa fitanah dan penipuan Raja Petra Kamaruddin melalui artikel-artikelnya yang disiarkan dalam Malaysia Today.

“Saya telah menjadi mangsa Raja Petra Kamaruddin melalui terlalu banyak artikel dalam Malaysia Today, yang menuduh saya dengan pelbagai tuduhan yang buruk.

“Umpamanya saya dikatakan menerima lebih satu bilion ringgit daripada Israel, saya membiayai portal Malaysian Insight sebanyak RM40 juta, dan Tun Mahathir Mohamad memberi saya RM1 bilion supaya saya bersetuju parti Bersatu menyertai Pakatan Harapan (PH),” kata pemimpin veteran DAP itu melalui tulisan dalam blognya semalam.

Terdapat juga penulis siber yang lain mendakwa Robert Kuok memberi saya RM100 juta, katanya.

“Saya patut bertanya, apa guna Robert Kuok beri saya RM100 juta apabila Tun Mahathir telah memberi saya RM1 bilion, yang berkali ganda lebih banyak,” tambahnya.

Tambah beliau, apakah MCMC akan meminta Raja Petra Kamaruddin dan penulis lain ini supaya menarik balik semua tulisan yang berupa fitnah dan pembohongan itu terhadapnya.

“Ini akan menguji sama ada MCMC merupakan sebuah organisasi yang bebas dan profesional atau ia satu lagi alat pemerintah untuk melakukan kerja-kerja kotor,” kata beliau.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES