Malaysia Dateline

Apakah Menteri Undang-undang tidak menghina mahkamah?

Ulasan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Takiyudin Hassan kononnya berlaku ketidakadilan ketika Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman ke atas Datuk Seri Najib Razak mengejutkan pelbagai pihak terutama netizen.

Ini kerana, kalau menteri yang menjaga undang-undang tidak boleh menghormati keputusan mahkamah, siapa lagi yang diharapkan berbuat demikian di negara ini.

“Mujur dia tak dilantik jadi Ketua Hakim Negara. Harus bebas orang bersalah satu Malaya dibuatnya,” kata Azli Yusof, Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor melalui facebooknya ketika mengulas tulisan Setiausaha Agung Pas.

“Dulu kutuk mantan Menteri Pertahanan hanya lulusan kulinari, sekarang Menteri Undang-undang boleh ‘hina’ keputusan Mahkamah Tinggi,” tulis netizen Deli Koesoma Cempakancana ketika mengulas mengenainya.

Sehubungan itu, ada juga netizen yang bertanya, apakah kenyataan Menteri Undang-undang ini tidak menghina mahkamah.

“Adakah Menteri Undang-undang benar-benar berkata hukuman Mahkamah semalam tidak adil.

“Adakah ini tidak menghina mahkamah. Oh my Malaysia,” tulis Jamzuri Ardani melalui facebook beliau.

Takiyuddin menulis melalui twitter beliau tentang penghakiman Hakim Datuk Nazlan Ghazali itu sambil mengepilkan gambar beliau menziarahi Najib pada lewat malam bersama presiden dan timbalan presiden Pas.

Namun ia kemudiannya dipadamkan oleh beliau.