Malaysia Dateline

Apakah puak Bersatu tidak reti bahasa, soal MT Umno

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan sikap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung titah Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

Beliau menegaskan Seri Paduka Baginda telah menzahirkan pandangan bahawa perlunya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta efektif untuk menangani Covid-19 dan masalah ekonomi negara.

“Bersorak puak PPBM (Bersatu). Mereka kata itu isyarat dari istana iaitu kurangkan politiking dan bantu kerajaan sedia ada.

“Sebelum ini puak PPBM terpukul beruk bila YDP Agong bertitah adakan sidang Parlimen secepat mungkin dan tiada keperluan darurat disambung,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Untuk rekod, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah pada 16 Jun lalu menzahirkan pandangan keperluan adanya pentadbiran kerajaan yang stabil serta berkesan dalam menangani pandemik dan memulihkan ekonomi negara.

“Apakah puak PPBM ini tidak reti bahasa. Ada pihak mahu hadiahkan Kamus Dewan kepada pemimpin PPBM. Jangan tak terima pula,” sinisnya.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan minggu lalu menegaskan pembukaan sidang Parlimen bagi membolehkan pelan pemulihan negara yang dibentang kerajaan dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahaskan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Kenyataan tersebut susulan sesi Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja yang kali kedua diadakan bagi membincangkan mengenai isu kesihatan dan politik negara, dengan pertama kali diadakan pada 25 Oktober tahun lalu.

Selama hampir 4 jam pertemuan membabitkan lapan Raja-Raja Melayu itu berlangsung di Istana Negara yang selesai kira-kira jam 7 malam.

Walau bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam reaksinya, berkata Tuanku hanya berpandangan supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Setiausaha Agung Pas itu juga berkata, kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin pada 15 Jun bahawa Parlimen boleh bersidang sekitar September atau Oktober, juga bertepatan dengan saranan ‘secepat mungkin’ yang dizahirkan Al-Sultan Abdullah.

“Yang di-Pertuan Agong pun tidak menitahkan supaya persidangan Parlimen perlu diadakan pada bulan tertentu, sebaliknya secepat mungkin,” kata Takiyuddin pada Bicara Harakah, ‘Proklamasi Darurat: Berjaya atau Sebaliknya’ secara maya, 16 Jun lalu.

LANJUT MENYUSUL