Malaysia Dateline

Apakah rancangan besar Tun M dan Ku Li?

Gabungan kedua tokoh politik lejen tanah air iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah yang dikatakan atas dasar untuk menyelamatkan negara dapat juga ditakrifkan usaha merampas kepimpinan pembangkang atau Pakatan Harapan (PH) diketuai Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jika Datuk A Kadir Jassin berkata “Jadi apabila mereka berkongsi sidang media dan bercakap berkenaan kejatuhan kerajaan PN, tentulah mereka mempunyai asas yang kuat,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Namun pada pandangan saya gabungan kedua-dua politikus besar tanah air ini juga mempunyai asas yang kuat untuk merampas tahta kepimpinan pembangkang. Apa yang dapat diperhatikan bahawa selepas tarikh 15 Disember ini (jika undian berbelah bahagi berlaku atau tidak pun) Pejuang dan Kuli akan bergabung dalam satu strategi yang boleh menggugat kepimpinan PH.

Selain Dr Mahathir mendapat sokongan daripada beberapa ahli parlimen Umno, pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu akan mendapat sokongan yang sama daripada beberapa ahli Umno yang lain menjadikan sokongan ahli parlimen Umno kepada Anwar semakin merosot.

Umno yang kelihatan gagah bagaikan singa dilihat seolah-olah cuba dipecah-pecah dan dilemah-lemahkan oleh hulubalang-hulubang politik daripada Pejuang, tokoh dalaman Umno dan Bersatu sendiri.

Kalau dahulu saya membaca sejarah China di mana empayarnya telah dikoyak rabak setelah menjadi Republik dan berada dalam keadaan kucar kacir semasa Sun Yat-sen menjadi presiden pertamanya dan Yuan Shih Kai sebagai presiden kedua Republik China. Dalam berhadapan dengan pembangkangan dan pemberontakan dari bawahannya, kekuasaan politik Yuan mulai luntur dan China tergelincir ke dalam dua belas tahun perang saudara dan revolusi.

Ketika ini Komunis China dan beberapa kuasa dalaman lain mula mencarik-carik China sehingga Komunis berjaya menguasai dengan pembuhunan dan kekejaman yang membunuh sehingga mencecahkan jutaan penduduk China
Mungkin analogi ini tidak berapa tepat , tetapi dapat dlihat empayar Umno sedang beruntuhan dicarik-carik oleh bekas-bekas hulubang Umno sendri yang menubuhkan blok-blok dan kesetiaan politik mereka sendiri.

Pakatan-pakatan baharu yang sedang dibina juga sedang berlaku dalam kalangan pembangkang di mana satu konfigurasi sedang dicaturkan. Langkah Warisan misalnya dlihat sebagai mensejajarkan dengan gabungan Dr Mahathir- Ku Li.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata partinya akan bertapak di kawasan yang mempunyai populasi masyarakat berasal dari negeri itu yang ramai di Semenanjung.

Beliau berkata, Warisan turut akan membuka cawangan atau bahagian di kawasan lain yang tiada masyarakat Sabah tetapi mempunyai permintaan.

Katanya langkah yang bakal dilakukan parti itu adalah perkara yang dibenarkan dalam Perlembagaan negara dan Warisan bukan parti pertama dari Sabah yang berbuat demikian.

Tidak hanya Warisan, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) pernah bertanding di Semenanjung seperti di Perak… di Pulau Pinang… jadi seperti yang saya nyatakan, kalau parti dari Semenanjung boleh wujud di Sabah, mengapa pula parti dari Sabah tidak boleh wujud di Semenanjung.

Walaupun sesetengah penganalisis poltik tidak bersetuju dengan cadangan Shafie itu kerana objektifnya yang akan tersasar dan terdapat pandangan bahawa terdapat kalangan pemimpin yang “anti-Putrajaya” tetapi jika Shafie adalah calon perdana menteri, adakah para pemimpin masih bersikap “anti-Putrajaya”?

Bahkan nama Shafie sebagai calon perdana menteri di samping Anwar pernah dinyatakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengulangi sokongan beliau terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar dan Presiden Warisan, Shafie sebagai calon perdana menteri sekiranya PH kembali menjadi kerajaan Persekutuan.

Dr Mahathir menamakan Shafie sebagai calon Perdana Menteri blok pembangkang walaupun gagal mempertahankan kerajaannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam.

Menurut Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), itu Ahli Parlimen Semporna itu tetap akan dinamakan sebagai calon Perdana Menteri jika mereka menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau dan lima ahli Parlimen lain berpegang dengan keputusan akhir mesyuarat tidak rasmi antara beliau sendiri, DAP, Amanah, dan Warisan pada 25 Jun lepas.

Kata beliau lagi, walaupun Majlis Presiden Pakatan Harapan telah menamakan Anwar sebagai calon perdana menteri, ia tidak melibatkan beliau dan rakan-rakan dari Bersatu mahupun Warisan.

Kebijaksaaan gabunan baharu dapat dilihat dalam membunuh dua esok burung dengan satu batu, cubaan menjatuhkan Kerajaan PN dan pada masa yang sama menjatuhkan kepimpinan Anwar sebagai ketua pembangkang yang akhirnya dalam melahirkan kerajaan perpaduan.

Tidakkah ini menghidu satu rancangan kudeta PH akan berlaku, adakah Amanah dan DAP akan berubah haluan walaupun telah menyatakan kesetiaan kepada Anwar? Adakah PKR ditinggal sendirian dalam PH apabila pembangkang menjadi kerajaan?

Walaupun isu dakwaan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir mempersenda PKR itu dalam aplikasi Whatsapp yang tular di media sosial telah selesai setelah berjumpa dengan Anwar di parlimen tetapi ia masih menjadi sesuatu yang mencetuskan persoalan.

Bahkan ini yang mendorong bekas naib presiden PKR, Rafizi Ramli, yang telah bersara daripada politik untuk kembali bersuara, memberi peringatan kepada Anwar supaya tidak memikul ‘biawak hidup’ dan membiarkan “opurtunis” mengelilingi dirinya.

Rafizi mempertahankan ketua AMK itu berkata kritikan Akmal mempunyai asas. Akmal dilihat sebagai hasil didikan Rafizi ketika dia aktif memimpin PKR.

Di samping itu slogan-slogan seperti “no Anwar no DAP” walapun tidak semestinya relevan pada setiap masa seperti dijelaskan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Dr Puad Zarkashi, atau sekadar gimik propaganda tetapi intipatinya pada masa-masa tertentu boleh ditafsirkan sebagai rancangan menjatuhkan Anwar sebagai ketua pembangkang.

Situasi politik negara akan berubah  seperti dijelaskan Dr Puad tetapi arah ke mana dengan siapa atau kumpulan yang akan mengetuai kepimpinan pembangkang?

Atau seperti diperkatakan oleh Otai Reformis, Abdul Razak Ismail supaya Anwar tidak membuang masa dengan dakwaan mendapat sokongan daripada ahli parlimen bagi membentuk kerajaan barunya sebaliknya, penyokong tegar presiden PKR itu, berkata sudah tiba masanya Anwar melangkah ke depan dan bertemu dengan pimpinan parti di setiap negeri.

Anwar juga harus merancang strategi dalam percaturan plot-plot kudeta oleh kumpulan-kumpulan oligarki pembangkang yang tidak berada dalam PH?
————————–
Kolumnis adalah pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Konunikasi, Seni Visual, Komputeran, Universiti Selangor (Unisel). Tulisan ini adalah pandangan penulis tidak semestinya pandangan Malaysia Dateline.