Malaysia Dateline

Apakah solusi kepada isu kalimah Allah?

Isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible bukanlah isu yang baru di Malaysia tetapi seringkali berbangkit dan pastinya akan membawa kepada polemik berpanjangan dan menguji hubungan antara penganut Islam yang majoriti dan penganut Kristianiti yang minoriti dalam negara kita ini.

Keputusan mahkamah berhubung isu ini membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristianiti di dalam penerbitan agama mereka dan bagi tujuan pendidikan. Itulah skop kebenaran yang diberikan, tidak lebih daripada itu. Justeru tidak timbul isu akan timbulnya penggunaan kalimah Allah pada tempat dan situasi yang lain seperti pada jenama barangan, perkhidmatan dan sebagainya.

Meskipun begitu dalam keadaan sekarang di mana isu agama adalah isu yang sensitif, maka perlulah usaha ke arah penyelesaian dibuat dengan jujur dan bijaksana oleh semua pihak yang terlibat. Kedua-dua pihak Muslim dan Kristian perlu terus berdialog dan berbincang serta meneliti fakta yang berkaitan dengan penggunaan kalimah suci itu dalam kehidupan masing-masing.

Melihat kepada kemungkinan-kemungkinan penyelesaian kepada isu ini, kita tentunya perlu tahu apakah hujah yang dikemukana kedua-dua pihak bagi mempertahankan pendirian masing-masing – di pihak Muslim bahawa kalimah tersebut tidak wajar digunakan oleh mereka yang bukan Muslim dan bagi pihak Kristian pula mempertahankan penggunaannya.

Kalau ditinjau pendapat dan pendirian beberapa pihak dalam kalangan Muslim yang barangkali mempunyai autoriti dalam membuat kenyataan mereka, terdapat dua aliran di sini, yang tidak bersetuju dengan penggunaanya di luar islam dengan pihak kedua yang tiada masalah sekiranya ia digunakan.

Hujah utama bagi mereka yang menolak kebenaran menggunakan kalimah Allah untuk apa jua tujuan ialah bahawa ini akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan Muslim dan turut mencemar kesucian agama.

Barangkali antara solusi yang boleh dikemukakan ialah mengambil pendekatan sejarah asal usul kalimah Allah dalam agama manusia dan bahasa yang digunakan untuk menyebut kalimah itu. Dan yang terutamanya bagaimana kaitan kalimah itu dengan manusia terdahulu di zaman sebelum Nabi Muhammad (s.a.w).

Sememangnya agama yang kita kenali sebagai Islam sudah wujud sejak Nabi Adam (a.s) lagi kerana baginda adalah manusia pertama yang beriktikad dengan ketauhidan Tuhan. Dari segi bahasa pula perlu dilihat apakah bahasa yang digunakan dalam kitab-kitab yang diwahyukan bermula daripada sebelum Taurat iaitu wahyu yang diturunkan sejak aman Nabi Ibrahim (a.s).

Kajian tentang bahasa dan seterusnya kalimah khusus bagi menyebut Tuhan yang Maha Esa masih belum memberikan fakta jelas apakah kalimah sebenar yang digunakan dalam kitab-kitab lama itu. Yang dapat dipastikan setakat ini ialah penggunaan kalimah bagi menggambarkan atau menyebut nama Tuhan yang Maha Esa. Ini terdapat di dalam kitab Taurat yang dikenali sebagai Perjanjian Lama atau Old Testament tetapi disebut Torah bagi penganut Judaisme (agama orang Yahudi). Di dalam kitab Taurat, Tuhan yang Maha Esa dipanggil Alaha dalam bahasa Aramaic, bahasa kuno yang digunakan di zaman Nabi Ibrahim (as) dan sebelumnya.

Manakala dalam kitab Injil (Perjanjian Baru – atau New Testament), sebutan bagi Tuhan yang Maha Esa ialah Eloha dan kata jumhurnya Elohim. Injil atau Bible juga terdapat dalam bahasa Latin dan perkataan Tuhan yang Maha Esa di sini ialah “Eli” atau “Eloi” kerana inilah panggilan yang dipercayai penganut Kristianiti dibuat oleh Jesus ketika berada di atas salib dalam kata-kata masyhurnya “Eli, Eli, lama sabachthani” (Oh Tuhan, kenapakah meninggalkan aku?”).

Daripada sedikit huraian di atas adalah jelas bahawa kalimah yang digunakan dalam teks atau kitab yang lama dari sudut sejarahnya selain dari sudut bahasa yang digunakan membawa sebutan yang hampir sama dengan kalimah “Allah”. Hal yang sama boleh diperhatikan dalam nama-nama yang digunakan oleh kitab-kitab sebelum al-Qur’an. Contohnya nama beberapa nabi seperti Nabi Ibrahim (Abraham), Musa (Moses) dan lebih tepat lagi Abraham atau Abram dalam bahasa Aramaic dan kemudian Ibrani (Hebrew). Malah dalam bahasa Ibrani, Nabi Musa dipanggil Mose atau Moshe, nama yang kini agak popular dalam kalangan orang Yahudi.

Ini bermakna agama langit sememangnya akan mempunyai beberapa persamaan bukan sahaja dari segi kandungan ajarannya, kisah-kisah yang terdapat di dalam kitab-kitabnya, malah tokoh-tokoh utama seperti nabi-nabi yang diikuti. Cuma disebabkan perbezaan bahasa pada zaman yang turut berbeza, panggilan bagi Tuhan, Nabi dan tokoh-tokoh juga berbeza. Apa yang perlu dilakukan ialah berlaku jujur dengan mengemukakan fakta tentang penggunaan kalimah-kalimah tertentu dalam kitab masing-masing menurut bahasa asalnya.

Oleh itu perbincangan antara agama, antara sarjana agama daripada kalangan Muslim dan Kristianiti perlu meneliti aspek ini bagi mencari solusi penggunaan kalimah-kalimah yang terdapat dalam al Qur’an yang dikira sebagai eksklusif kepada penganut Islam. Kontroversi kalimah Allah barangkali boleh diatasi dengan membuat perbandingan kesarjanaan kitab-kitab yang berbeza daripada asal usul penggunaan kalimah-kalimah dalam bahasa asal sesuatu kitab – Aramaic dan kemudiannya Ibrani bagi Kitab Perjanjian Lama dan Baru, dan bahasa Arab bagi al-Qur’an.

Isu ini semestinya diberi input ilmiah yang boleh merungkai kekusutan yang timbul. Pergeseran antara agama tidak membantu sesiapa. Solusinya mestilah dibuat dengan tersusun dan dengan dialog yang berterusan.

 

Dr Latiff, bekas Prof Madya di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur