Apakah Umno kini sedang mabuk atau khayal?

Oleh NASUHA RAHMAN

Apakah Umno kini sedang mabuk atau berkhayal setelah satu lagi episod terkini apabila keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan pimpinan PN kini.

Malah sudah kali keberapa perkataan gagal menjadi mainan mulut pimpinan Umno mahu pun politikus terhadap kerajaan sedia ada pimpinan Perdana Menteri.

Ketua Pemuda AMANAH negeri Kedah, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad berkata, kegagalan sebenar kerajaan PN ialah ketdakmampuan mereka untuk menerajui kepimpinan negara dengan baik dan cekap ketika penularan pandemik Covid-19 termasuklah percambahan kes bunuh diri ekoran kesengsaraan hidup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sehingga kini.

“Fenomena kibarkan bendera putih pula kini mendapat sokongan rakyat yang terkesan demi kelangsungan hidup ekoran kegagalan kerajaan sehinggakan ada rakyat umpama kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang maupun sinonim dengan merempat di tanah air sendiri.

“Apakah Umno lupa mereka mempunyai 9 Ahli Parlimen yang menjadi menteri dan timbalan menteri. Manakala dua daripadanya menjadi Menteri Kanan dan utama iaitu pertahanan, sains dan teknologi serta inovasi yang menguruskan pangagihan vaksin.

” Ternyata Menteri dan Timbalan Menteri Umno tersebut juga gagal dan bernaung dibawah kepimpinan kabinet Perdana Menteri. Apakah Umno lupa, alpa dan tidak perlu dipersalahkan sedangkan mereka juga menunjangi kerajaan yang merompak mandat rakyat melalui langkah Sheraton, ” tanya beliau.

Jelas Ridhwan lagi, dalam kondisi sekarang adalah tidak wajar pelantikan TPM turut dibuat sedangkan jumlah Menteri dan portfolio kini pun sudah melebihi keperluan dan sepatutnya diminimakan dan dikurangkan saiznya dengan segera.

Sejajar dengan itu ujar Ridzwan, Pemuda AMANAH Kedah berpendapat bahawa Umno juga perlu dipertanggungjawabkan atas pelbagai polemik dan masalah kehidupan rakyat kini dan bukannya diletakkan kegagalan tersebut keatas pundak PN semata-mata.

Walau bagaimana pun tambah beliau, Umno dan PN tidak harus diberi apa jua mandat sekali lagi kerana ia akan mensengsarakan dan membuat rakyat hidup dalam kemelaratan berpanjangan sepertimana yang berlaku tatkala ini.