Malaysia Dateline

Lim Kit Siang has continued to keep the pressure on the Najib administration over the 1MDB

Apakah Umno sedia bekerjasama dengan SPRM dapatkan semula dana 1MDB?

Tokoh politik veteran DAP Lim Kit Siang, menyifatkan penubuhan pasukan khas SPRM bagi tujuan menyiasat dan mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB yang dianggarkan RM270 juta daripada 41 individu sebagai langkah permulaan yang sangat baik daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

Katanya, langkah tersebut mendapat respons segera daripada pemangku presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan yang berkata parti itu akan mencabar permohonan perlucutan sivil terhadap 41 responden dalam isu berkenaan di mahkamah.

Hal ini kata Kit Siang, menunjukkan warna kleptokrat sebenar Umno bahawa bahana kleptokrasi bukan hanya tertumpu kepada seseorang tetapi keseluruhan pimpinan Umno.

Soal beliau, apakah Mohamad Hassan dan pimpinan Umno masih mendakwa bahawa skandal 1MDB yang melibatkan siasatan dibuat di 10 negara asing itu hanya sebahagian daripada imaginasi SPRM?

Sehubungan itu katanya lagi, memandangkan saman perlucutan sivil yang dibuat oleh SPRM terhadap 41 individu itu membabitkan Umno bahagian, adakah pimpinan Umno bersedia untuk menerima hakikat kewujudan skandal 1MDB yang membuatkan Malaysia dikenali sebagai kleptokrasi global?

Adakah Umno bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan rasuah itu untuk membersihkan nama Malaysia daripada terus dilihat sebagai kleptokrasi global disebabkan 1MDB? tulis beliau dalam blognya semalam.

Semalam, SPRM memfailkan permohonan perlucutan sivil terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.