Malaysia Dateline

Apandi lupa, Hussein Onn dan Badawi juga pernah uji keabsahan di Parlimen

Hujah bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bahawa perdana menteri tidak perlu menguji keabsahannya di Dewan Rakyat, dikritik sebagai dangkal dan tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong.

Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran berkata, Apandi lupa bahawa kedua-dua bekas perdana menteri iaitu Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Ahmad Badawi juga pernah menguji keabsahan mereka di Dewan Rakyat sejurus selepas mengisi kerusi nombor satu negara itu.

“Agong mahukan sebuah pemerintahan yang stabil dan hebat untuk menangani masalah negara, terutamanya kerana pengendalian pandemik Covid-19 yang buruk di bawah kepimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

“Oleh kerana terdapat ‘preceden’ berkenaan hal itu di negara kita dan di negara-negara lain di bawah sistem pemerintahan parlimen demokratik, Apandi perlu menarik semula hujahannya yang lemah dan berhenti melindungi pemerintahan rapuh yang dipimpin Ismail,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kulasegaran menambah, Perdana Menteri yang takut menguji majoriti di Parlimen adalah kerana sokongan mereka yang rapuh seperti Mahiaddin.

Memetik Utusan Malaysia, Apandi menyifatkan bahawa keabsahan jawatan Ismail Sabri tidak perlu ditentukan di Dewan Rakyat.

Malah katanya, sokongan majoriti terhadap Ahli Parlimen Bera itu juga tidak perlu dibuat menerusi undi percaya bagi mengabsahkan jawatan beliau.

Menurutnya, jawatan seseorang Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri sah apabila Yang di-Pertuan Agong yakin seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan.

Bagaimanapun minggu lalu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menitahkan bahawa perdana menteri baharu perlu menguji keabsahan dan sokongannya di Parlimen.