Malaysia Dateline

Apandi tanya empat soalan dari isu Batu Puteh hingga anak jadi jutawan, ini jawapan lengkap Mahathir

Tun Dr Mahathir telah menjawab empat soalan dilontarkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Ikuti penjelasan bekas Perdana Menteri berkenaan:

SOALAN PERTAMA

Kenapa tuntutan kes Batu Puteh di ICJ ditarik balik, pada Mei 2018, dua minggu sebelum tarikh bicara di The Hague? (Semasa itu, Kabinet belum lagi wujud dan penarikan tuntutan itu dibuat tanpa sebarang rujukan/keputusan Kabinet?

1. Tuntutan kes Batu Putih ditarik balik kerana perjanjian dengan ICJ dan Singapura ialah segala keputusan oleh mahkamah akan diterima oleh kedua-dua pihak. Perjanjian yang sama dibuat antara Malaysia, Indonesia dan mahkamah antarabangsa berkenaan Sipadan dan Ligitan.

2. Jika Malaysia tidak menepati dengan syarat mahkamah antarabangsa bahawa keputusan mesti diterima oleh kedua-dua pihak (Malaysia dan Singapura), Indonesia juga boleh buat tuntutan untuk tidak menepati perjanjian yang sama berkenaan Pulau Sipadan dan Ligitan.

3. Janji antarabangsa oleh sebuah negara berdaulat hendaklah ditunai sebagai amanah. Jika tidak, Malaysia tidak akan dipercayai akan tunai perjanjian dengan negara lain. Malaysia akan hilang kredibiliti.

4. Lagipun Malaysia mendapat ‘Middle Rock’ yang boleh ditebus guna sehingga menjadi pulau besar seperti yang diperbuat dengan Pulau Layang-Layang.

5. Kesalahan bermula dengan pegawai Kerajaan Johor menyatakan kepada British bahawa Pulau Batu Putih bukan milik Johor.

6. Fakta baru, jika ada, sepatutnya dikemukakan kepada mahkamah antarabangsa semasa membuat representasi bahawa Pulau Batu Putih adalah hak Malaysia.

SOALAN KEDUA
Kenapa AG pada zaman Mahathir, iaitu TT, telah diarah untuk menjawab surat tuntutan ke atas Sabah oleh pewaris Kesultanan Sulu, yang mana surat bertarikh 19hb September 2019 itu, telah menjadi asas tuntutan mereka diSepanyol dan dikuatkuasakan di Perancis?

7. Tuntutan oleh pewaris Kesultanan Sabah dibuat apabila Malaysia memberhenti bayaran tiap-tiap tahun kononnya kerana serangan orang Sulu ke atas Lahad Datu. Semasa bayaran diteruskan mengikut perjanjian tidak ada masalah dengan pewaris.

8. Tuntutan oleh pewaris Sultan Sulu dibuat semasa pemerintahan kerajaan BN di bawah Najib. Kerajaan BN tidak bertindak untuk menolak jurisdiction (kuasa undangan) mahkamah Sepanyol atau membayar balik bayaran yang telah dihentikan.

9. Tidak ada bukti bahawa tindakan Najib telah dipersetujui oleh A.G pada masa itu atau Kabinet. Najib bertindak tanpa mengikuti proses pentadbiran.

SOALAN KETIGA
Mengapa Kerajaan Malaysia telah membuat penyelesaian secara persetujuan diatas kes pemecatan yang tidak sah terhadap diri saya sebagai AG? (Ini adalah suatu pengakuan bahawa tindak-tanduk Mahathir secara arbitrari adalah salah dari segi tatacara/perundangan).

10. Pemecatan Apandi disebabkan ianya memutus bahawa Najib tidak membuat apa-apa kesalahan berkenaan pengurusan 1MDB, sedangkan seluruh dunia ketahui, dan Department of Justice Amerika Syarikat menyata secara terbuka bahawa terdapat pencurian wang 1MDB oleh “MO1”, iaitu Najib.

11. Apabila AG baru (TT) dilantik, ia mendapati ada kesalahan yang dilakukan oleh Najib. Dengan itu Najib didakwa di Mahkamah Tinggi Malaysia. Setelah perbicaraan dimana Najib diberi peluang pertahan dirinya selama lebih satu tahun, mahkamah menghukum bahawa Najib bersalah dalam 7 kes dan dikenakan denda 210 juta Ringgit dan penjara 12 tahun. Setelah rayuan dibuat dengan Mahkamah Rayuan, keputusan Mahkamah Tinggi didakwa benar dan sah.

12. Semua ini menunjuk bahawa Apandi cuai atau sengaja mendakwa tidak ada apa-apa kesalahan yang dilaku oleh Najib supaya kesnya tidak dihadapkan ke mahkamah.

13. Perbuatan Apandi menunjuk bahawa ia tidak memegang kepada “Rule of Law”. Ia tidak sesuai menjadi A.G. Memangpun Kerajaan berhak untuk menamat pegawai yang membuat keputusan yang jelas salah. Ramai sudah pegawai yang membuat salah dilucutkan dari jawatannya.

SOALAN KEEMPAT
Dalam dunia ini, mana lagi ada seorang Perdana Menteri yang mana anak-anak mereka menjadi jutawan?

14. Sila beri bukti yang anak-anak saya menjadi jutawan semasa saya menjawat jawatan Perdana Menteri.

15. Sebenarnya anak-anak saya tidak pun dibenar berniaga dengan Kerajaan atau menyertai parti Kerajaan.

16. Jika ada anak yang jadi jutawan sila beri bukti akan tarikh gelaran ini diberi kepada mereka, serta bukti kejutan mereka.

17. Jika tidak ada bukti saya anggap kenyataan ini adalah fitnah dan saya berhak bertindak mengikut undang-undang.

Baca juga Mahathir bantah penyelesaian di luar mahkamah antara kerajaan dan Apandi