Malaysia Dateline

APEC 2020: Mesyuarat pertama pegawai kanan bincang keutamaan

Mesyuarat Pertama Pegawai Kanan (SOM1) Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik 2020 (APEC 2020) di sini berada dalam keadaan sibuk untuk perbincangan dan agenda menyokong secara langsung bidang keutamaan APEC 2020 sebelum pegawai kanan berkenaan mengakhiri mesyuarat mereka esok.

Pengerusi SOM APEC 2020, Hairil Yahri Yaacob berkata sejak bermulanya mesyuarat berkaitan SOM1 pada 3 Februari lepas, mereka telah membincangkan pelbagai topik termasuk perdagangan dan pelaburan, kerjasama ekonomi, mobiliti perniagaan, keselamatan makanan, pembangunan mampan, prosedur kastam, hak harta intelektual dan kesihatan.

Malaysia yang menjadi tuan rumah APEC 2020, telah membentangkan tema, bidang keutamaan dan penyampaian dalam semua mesyuarat berkaitan SOM1 dan kertas kerja latar belakang berkaitan dengan penyampaian itu yang menyokong bidang keutamaan ini, katanya.

Bidang keutamaan tersebut adalah meningkatkan naratif perdagangan dan pelaburan; penyertaan ekonomi inklusif melalui ekonomi digital dan teknologi dan memacu kemampanan inovatif, katanya.

Malaysia telah memilih tema ‘Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan yang Membawa Kemakmuran Bersama’ untuk APEC 2020, yang mencerminkan bahawa falsafah yang mendokong persidangan ini adalah ‘Perkongsian Kemakmuran’.

“Dipandu oleh aspirasi mewujudkan peluang sama bagi semua rakyat di rantau ini, APEC 2020 akan memberi tumpuan kepada kegiatan dan inisiatif yang dapat dilakukan oleh APEC sebagai satu kumpulan untuk merealisasikan tema tersebut di tiga bidang utama yang berkaitan,” kata Hairil Yahri dalam ucapan pembukaan di SOM1 di sini hari ini.