Malaysia Dateline

APEC gagal capai persetujuan akibat perselisihan Amerika Syarikat dan China

Pemimpin Asia Pasifik gagal untuk menghasilkan ‘communique’ pada sidang kemuncak APEC di Papua New Guinea buat pertama kali dalam sejarah akibat perselisihan Amerika Syarikat (AS) dan China berkaitan soal kerjasama perdagangan dan pelaburan, menurut laporan Reuters.

Persaingan antara AS dan China juga turut memberi fokus kepada AS dan sekutunya dalam memberi respon kepada program Belt and Road Initiative (BRI) China.

“Anda juga faham keadaan dimana terdapat dua kuasa besar di dalam satu bilik,” kata Perdana Menteri Papua New Guinea, Peter O’Neill ketika sidang media penutup sidang kemuncak berkenaan, apabila ditanya negara mana di antara 21 rakan negara Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang tidak bersetuju.

Tambah O’Nell, isu perselisihan adalah berkaitan perkataan World Trade Organization (WTO) dan usahama untuk membuat perubahan terhadap badan itu seharusnya dimasukkan ke dalam Deklarasi Pemimpin atau tidak.

“APEC tidak mempunyai piagam berkaitan soal WTO, ini ialah fakta. Perkara yang berkaitan badan itu seharusnya dibangkitkan di WTO itu sendiri,” jelas beliau.

Deklarasi Pemimpin akan dikeluarkan setiap tahun apabila persidangan APEC berlaku sejak tahun 1993 lagi.

O’Neill berkata, selaku hos APEC, beliau akan mengeluarkan kenyataan pengerusi, walaupun tidak jelas jangka masanya. Malah, Presiden AS dan Russia juga tidak hadir ke mesyuarat APEC ini. Bagi AS, Naib Presiden Mike Pence telah menghadiri APEC.

Manakala Presiden China, Xi Jinping hadir ke sidang kemuncak ini dan telah bertemu dengan pemimpin kepulauan Pasifik untuk berbincang soal BRI, yang telah menjadi perhatian negara-negara Barat.

AS dan sekutunya, Jepun, Australia dan New Zealand akan memberi bantuan daripada segi pembekalan elektrik dan internet kepada Papua New Guinea berjumlah USD 1.7 billion (RM 7.1 bilion).

Wang Xiaolong, pegawai kanan ekonomi yang bersama delegasi China di APEC menyatakan bahawa kegagalan untuk mencapai persetujuan dalam memberi kenyataan bersama, “bukanlah perselisihan antara dua negara tertentu,”.

Kata beliau, kebanyakan negara ahli komited untuk meneruskan sistem perdagangan pelbagai hala dan menyokong WTO yang kukuh dan berfungsi sepenuhnya.

“Secara jujurnya, kami masih berada di tahap awal perbincangan dan pelbagai negara mempunyai pelbagai pandangan bagaimana untuk maju kehadapan,” kata beliau.

Manakala seorang diplomat yang terlibat dengan perundingan itu berkata bahawa perselisihan diantara AS dan China, yang telah berterusan sepanjang minggu, menjadi lebih buruk apabila Menteri Luar China membantah dua perenggan di dalam deraf kenyataan tersebut.

Antara lain, isu berkaitan ialah “amalan tidak adil dalam perdagangan” dan usahasama perubahan terhadap WTO, serta berkaitan pembangunan yang mampan.

“Kedua negara ini berselisihan sehingga menutup ruang pengerusi mesyuarat untuk mendamaikan antara dua negara tersebut,” tambah diplomat berkenaan yang enggan dinamakan.

“China tidak gembira apabila rujukan diberikan kepada WTO yang menyalahkan negara yang mengamalkan aktiviti perdagangan yang tidak adil,”.

Bukan musuh sesiapa

Pence di dalam ucapan beliau berkata taarif AS kepada barangan China bernilai USD 250 bilion tidak akan berubah, sehingga China mengubah dasar perdagangannya. Beliau turut menyenaraikan beberapa isu perselisihan AS dengan China.

“Antara lain, ia adalah berkaitan amalan perdagangan, taarif dan kuota, penukaran teknologi and juga penipuan hak harta intelektual,”.

“Ia bukan hanya berkaitan isu hak asasi manusia dan kebebasan untuk belayar di lautan,” kata beliau kepada pemberita.

Pence juga turut merujuk secara terus berkaitan program BRI China, menjelaskan bahawa negara lain tidak seharusnya menerima hutang dan berkompromi dengan isu kedaulatan negara.

BRI pertama kali diajukan pada tahun 2013 untuk mengembangkan jaringan laluan daratan dan laut di antara benua Asia, Afrika dan Eropah, dengan pelaburan infrastruktur yang berjumlah bilion dolar dari China.

Papua New Guinea, selaku hos APEC, merupakan negara yang mempunyai 8 juta penduduk. Tetapi hampir 4/5 rakyatnya tinggal diluar bandar dengan infrastruktur yang daif.

Kata Menteri Luar Papua New Guinea, Rimbink Pato, negara beliau tidak nampak keperluan untuk memilih pihak.

“Bagi kami, Papua New Guinea menerima pelaburan dari China dan juga AS. Dasar luar kami ialah untuk menjadi rakan kepada semua, dan bukannya menjadi musuh,” jelas beliau.