Aplikasi perkongsian kereta SOCAR diperluas ke Pulau Pinang

Aplikasi perkongsian kereta SOCAR diperluas ke Pulau Pinang

Aplikasi perkongsian kereta SOCAR memperluaskan perkhidmatannya ke kawasan utara bermula 1 Feb.

Sebaik sahaja dilancarkan nanti,  SOCAR akan mempunyai  50 kereta di Pulau Pinang, terdapat di 21 zon di seluruh pulau dan tanah besar.

SOCAR Malaysia adalah platform perkongsian kereta yang membolehkan pelanggan menempah kereta yang sesuai dengan keperluan mereka bagi tempoh selama sejam, sehari atau seminggu, dengan menggunakan aplikasi mudah alihnya.

Anggota boleh menempah dan membuka kunci kereta dengan menggunakan aplikasi mudah alih dan semua kereta berdaftar dengan platform SOCAR adalah tanpa kunci dan kadar sewanya termasuk petrol dan perlindungan insurans.

“Kami memulakan tahun ini dengan memperluaskan perkhidmatan ke Pulau Pinang dengan sasaran menawarkan perkhidmatan kami ke lebih banyak bandaraya  untuk meningkatkan akses kami dan menawarkan lebih kemudahan kepada rakyat Malaysia yang mahukan alternatif untuk pemilikan kereta,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SOCAR Malaysia Leon Foong dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ketika ini perkhidmatan SOCAR ditawarkan di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang, di lebih 500 zon dengan lebih 15 model kereta untuk dipilih.

Ia turut menawarkan perkhidmatan pada tahun baharu dengan sejumlah 1,000 kereta.

Bagi tempoh 12 bulan akan datang, syarikat menyasarkan untuk menambah jumlah kenderaan mereka kepada lebih 2,500 kereta.

Malaysia ialah negara pertama  mendapat manfaat daripada langkah perluasan oleh syarikat perkongsian kereta Korea Selatan SOCAR apabila memulakan perkhidmatan di Malaysia pada Januari 2018.

Sejak menawarkan perkhidmatan di Malaysia, SOCAR menumpukan untuk menawarkan akses dan kemudahan kepada rakyat Malaysia yang mahu menikmati manfaat perkongsian kereta.

“Pada 2018, kami menyaksikan platform perkongsian kereta diterima pakai di Malaysia dan mencatatkan pertumbuhan menggalakkan. Tahun ini, kami menyasarkan untuk memperluaskan lagi perkhidmatan ini kerana kami ingin menyebar luas gaya hidup multiflex kepada lebih ramai orang di negara ini.

“Kami mahu menyediakan opsyen yang mampu dan fleksibel kepada orang ramai untuk mempunyai kereta atau kereta kedua, dengan itu, kami telah melabur dalam lebih banyak model kereta untuk memenuhi pilihan dan keperluan yang berbeza,” kata Foong.

— BERNAMA