Aplikasi Respons Rakyat Melaka dilancar, ganti SISPAA

Aplikasi Respons Rakyat Melaka dilancar, ganti SISPAA

Kerajaan negeri hari ini melancarkan Aplikasi Pintar Respons Rakyat Melaka bagi memudahkan aduan rakyat dapat disalurkan, diurus dan diselesaikan dengan segera sekali gus menggantikan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, aplikasi tersebut dibangunkan dengan kerjasama Biro Perkhidmatan Awam Jabatan Perdana Menteri dan Bahagian Komunikasi Korporat Ketua Menteri Melaka itu menyasarkan tempoh 15 hari untuk menyelesaikan setiap aduan yang diterima.

Beliau berkata aplikasi itu bertujuan meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih baik dan efisien kepada rakyat selain menambah baik serta memperbagaikan saluran aduan di negeri itu.

“Menerusi aplikasi ini, kita yakin ia boleh dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Melaka di semua peringkat termasuk sektor perkhidmatan awam dan swasta,” katanya kepada pemberita selepas Hari Bertemu Rakyat Perdana Siri 4 Tahun 2019 dan Pelancaran Aplikasi Pintar Respons Rakyat Melaka, di sini hari ini.

Beliau berkata menerusi aplikasi yang boleh dimuat turun di telefon pintar masing-masing, rakyat atau pengadu boleh mengetahui status terkini aduan mereka .

Adly berkata pengadu juga boleh memuat naik video atau gambar berkaitan sesuatu isu yang dilaporkan bagi memberi penjelasan agar tindakan segera dapat dilakukan.

Sementara itu, Adly, berkata Hari Bertemu Rakyat akan tetap diteruskan setiap minggu walaupun aplikasi berkenaan telah diperkenalkan kerana ia merupakan keperluan untuk kerajaan negeri berhubung dan memberi maklum balas secara terus dengan rakyat tentang isu yang dilaporkan.

Beliau berkata sebanyak 10,673 aduan telah diterima menerusi pelbagai medium termasuk Hari Bertemu Rakyat sejak 1 Jan hingga 31 Okt lalu dan 80.88 peratus aduan tersebut telah diselesaikan manakala 19.12 peratus aduan masih dalam tindakan.