Malaysia Dateline

Aplikasi Tik Tok tidak membantu individu cemerlang, proaktif

Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) membantah sekeras-kerasnya cadangan penggunaan aplikasi TikTok yang disifatkan sebagai melekakan dan merosakkan penggunaan bahasa.

Setiausaha PKAUM, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz berkata, aplikasi tersebut juga dilihat tidak membantu membentuk individu cemerlang dan proaktif, yang menjadi aspirasi sesebuah negara maju dan membangun seperti Malaysia.

Katanya, Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mahupun Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), adalah sumber pengetahuan tertinggi dan aset penting sesebuah negara.

“Tatkala negara malah seluruh dunia dilanda kemelut jangkitan Covid-19 yang berleluasa, kepada IPTA dan IPTS inilah harapan masyarakat awam bagi mendapatkan penyelesaian masalah dan mengorak hala tuju masa hadapan ke arah kehidupan yang kembali asal.

“Malangnya, menteri yang bertanggungjawab tidak menggembleng sarjana IPTA dan IPTS bagi tujuan mulia sebegini, tetapi lebih senang untuk berhibur bagi mengelakkan jemu tinggal di rumah dengan bermain TikTok,” bidasnya menerusi satu kenyataan.

Dr Noraishah menambah, Menteri melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga sepatutnya menangani masalah terkini yang sedang menghantui komuniti cendekiawan di seluruh negara.

“Menteri bersama KPT perlu memastikan mekanisma pembelajaran efektif berterusan boleh berlaku di setiap kediaman atau ruang isolasi mahasiswa dan pasca-ijazah di negara tercinta kita ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Antaranya ialah memastikan kelengkapan, infrastruktur dan jalur gelombang internet yang mencukupi untuk penggunaan semua warga Institut Pengajian Tinggi (IPT) merangkumi pelajar, pensyarah dan juga guru.

“Ia juga bagi membolehkan matlamat dan proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian dilaksanakan secara komprehensif dan berkesan,” katanya lagi.

Justeru itu Dr Noraishah berkata, pihaknya berharap menteri yang bertanggungjawab ke atas IPTA dan IPTS, mendapatkan nasihat daripada golongan cendekiawan dan sarjana terbilang di IPT dalam mencari penyelesaian kepada masalah runcing yang dihadapi negara ketika ini.