APM Kedah siapsiaga hadapi Monsun Timur Laut

APM Kedah siapsiaga hadapi Monsun Timur Laut
Lt Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub memberi penerangan kepada anggota APM semalam.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kedah telah bersiap sedia menghadapi kesan Monsun Timur Laut yang dijangka akan menerima taburan hujan melebihi paras normal.

Menurut Pengarahnya, Lt Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub, berdasarkan kepada data yang diterima dari Jabatan Metereologi Malaysia, enam kawasan di Kedah dijangka akan menerima taburan hujan melebihi paras normal adalah Langkawi, Sungei Petani, Kota

Setar, Baling, Kuala Muda dan Kulim.

Tegasnya lagi, berdasarkan kepada data yang diterima tersebut, hujan lebat kemungkinan berlaku di kawasan berkenaan serta juga beberapa kawasan di Selatan negeri Kedah.

Sehubungan itu jelasnya, APM telah pun bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk banjir.

“13 kenderaan pacuan empat roda dan Sedan, 12 ambulans dan van serta tujuh lori tiga tan akan digunakan.

“Selain itu sejumlah enam buah lori lima tan serta lebih 80 bot termasuk dua buah bot amfibia akan turut digunakan.

“Manakala 1019 anggota telah pun siap siaga untuk digerakkan dalam tempoh 24 jam, ” ujarnya lagi.

Beliau juga berkata, APM mengambil pendekatan awal dengan mengadakan simulasi, taklimat dan memantapkan latihan.

Saran beliau orang ramai tidak harus muda percaya seandainya terdapat sebarang maklumat tidak benar mengenai bencana yang berlaku disebarkan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Sekiranya terdapat pokok tumbang, air naik maupun angin kencang, orang ramai dikehendaki supaya segera menghubungi pihak berkuasa.

“Jika diminta supaya berpindah, maka haruslah mendengar nasihat yang telah diberikan demi keselamatan bersama.

“Maklumat terkini mengenai bencana akan dimuat turun melalui media sosial, ” jelasnya.

Tambah beliau lagi, bagi mendapat maklumat yang tepat dan betul, orang ramai dinasihatkan supaya menghubungi pejabat-pejabat APM berhampiran.